Mawi ke Kelantan: Satu langkah yang dicurigai
Sebagaimana yang saya duga tindakan kerajaan PAS Kelantan mengundang Mawi untuk menjayakan konsert di Kota Bharu sudah pasti mengundang pelbagai reaksi. Menarik melihat betapa satu langkah kecil seumpama ini mendapat respons yang begitu besar. Barangkali kerana yang mencetusnya adalah seorang yang bergelar Tok Guru.
Sahabat saya MSO turut mengulas isu ini dalam artikelnya bertajuk Hiburan ala Mawi dalam PAS yang dimuatkan dalam laman Malaysia Today.
Saya bersetuju dengan beliau bahawa kerajaan PAS ataupun PAS sendiri perlu mengeluarkan satu garispanduan berhubung hiburan yang dibenarkan oleh Islam. Mungkin ianya sedang diusahakan saya tidak pasti.
Namun ada beberapa ulasan dalam artikel beliau yang saya kurang bersetuju lalu merasakan terpanggil untuk memberikan respon. MSO menulis:
Apabila Mawi dibawa ke Kelantan pengasas akademi itu sendiri akan berbangga. Tengok pelajar (penghiburan) yang mereka lahirkan dapat diterima oleh semua orang termasuk kerajaan negeri yang dituduh sebagai menutup bendulnya dengan hiburan rancak selama ini! Tidakkah pertentangan itu menimbulkan kekeliruan kepada kerajaan Pas, atau dilihat sedikit songsang?
Seperkara sahaja bagi menjawab ini, Pas Kelantan khasnya haruslah menghalalkan Akademi Fantasia. Atau Pas kena mengemukakan satu bentuk akademi hiburan baru sebagai alternatif. Dan ia mesti dapat melahirkan seorang pelajar seperti Mawi. Jika mereka merasakan Mawi mampu mengendalikan akademi yang menjadi kegilaan itu, ambillah sebagai modelnya.
Sejarah Islam mencatatkan Omar al Khatab dizaman pra Islamnya tidak disenangi malah digeruni oleh umat Islam. Omar mengamal dan memelihara budaya jahiliyah. Menanam anak perempuan hidup-hidup, peminum arak, seks bebas penyembah berhala dan lain-lain.
Tetapi apabila Omar menerima Islam, semua umat Islam diketika itu bersyukur, doa mereka diperkenankan Allah swt. Omar disanjungi dan malah menjadi Khulafa ar Rasyidin yang kedua dan dimakamkan di makam Rasulullah saw.
Adakah penerimaan Omar bermakna Rasulullah dan umat Islam mengiktiraf dan meredhai perangai beliau sebelum Islam? Sudah tentu semua kita akan menjawab tidak. Adakah apabila Omar telah Islam maka para penganjur jahiliyah berbangga kerana anak didik mereka masuk Islam? Sudah tentu semua kita akan menjawab tidak juga.
Demikianlah juga halnya dengan sahabat-sahabat yang lain seperti Hamzah Abd Mutallib, Khalid al Walid, Abu Sufian, Amru al As, Ikrimah dan lain-lain.
Sudah pastilah Mawi dan AF jauh berbeza dalam hal ini. (Mawi seorang Muslim dan sebagaimana kata Tok Guru telah menjalani pendidikan formal secara Islam)
Kalau semata-mata kerana Mawi berasal dari AF maka kerajaan Kelantan perlu halalkan AF, samalah macam kita beranggapan bahawa segala amalan jahiliyah perlu dihalalkan apabila ada puak jahiliyah seumpama Omar dan lain-lain menyertai Islam.
Saya yakin Kelantan di bawah kerajaan Tok Guru mengambil kira semua ini, gerak kerja dakwah oleh sebuah kerajaan negeri tidak sama dengan gerak kerja dakwah individu atau kumpulan kecil. Tugas dan tanggungjawabnya lebih besar dan berat.
Almarhum Ustaz Fadzil Nor pernah berkata:
Kita mahu PAS supaya menjadi sebuah organisasi dan parti yang Usuliy (Fundamentalis) di segi prinsip, Muasir (Kontemporari) di segi perlaksanaan dan Istiqbaliy (Futuristik) di segi persiapan masa depan. (Ucapan Dasar Muktamar PAS 2001 )
Saya tetap bersetuju dengan langkah kerajaan negeri dan semoga lebih ramai lagi yang seumpama Mawi dapat dijinakkan oleh Tok Guru dan rakan-rakan yang lain demi menjayakan gerak kerja dakwah Islamiah.
No comments:
Post a Comment