Thursday, August 30, 2007

Malaysiaku Gemilang tidak perlu kepada MP badut sarkas

Adakah Malaysiaku Gemilang mempunyai tempat untuk mereka yang tidak memiliki akhlak yang baik dan tidak tahu memelihara etika dan budi bahasa?

Saya percaya tema Hari Kemerdekaan tahun ini yang bersempena 50 tahun usia negara direka bagi menggambarkan betapa negara kita telah melangkah jauh dan kini mampu muncul sebagai negara dan rakyat yang memiliki pencapaian yang baik dan tinggi disegenap aspek kehidupan. Kita bukan hanya membuktikan kemampuan membangunkan negara tetapi juga sepatutunya telah berjaya membangunkan akhlak dan keperibadian rakyat, kerana itulah kita berani mendakwa yang negara kita ini gemilang.

Rakyat setelah 50 tahun merdeka kini gemilang keperibadian dan akhlaknya. Tambahan pula pimpinan yang dinaikkan oleh rakyat samada melalui pilihnaraya umum, atau perlantikan atau pilihan dalam parti, septutnya lebih baik dan mulia dari rakyat kebanyakkan, jika tidak mereka tidak layak menyandang gelaran pemimpin.

Tetapi rupanya Malaysiaku Gemilang sebenarnya tandus dikalangan ahli-ahli Parlimen kita, yang sepatutnya berbangga dan mempamirkan keperibadian yang mulia lantaran parlimenlah institusi yang merupakan simbol kemerdekaan negara dan amalan demokrasi.

Go to hell!, menurut akhbar NST, diucapkan oleh ahli Parlimen Kinabatangan (Umno-BN) Bung Mokhtar, terhadap blok pembangkang dalam Dewan Rakyat semalam.Saya tidak pasti samada sergahan beliau itu dalam bahasa Inggeris atau “Pergi jahanam” kalau dalam bahasa Melayu. Tetapi demikianlah ucapan yang terbit dari mulutnya semalam, bukan di kedai kopi, bukan di dalam hutan belantara di Kinabatangan tetapi di Dewan Rakyat, badan legislatif tertinggi negara!
Semalam dewan dilaporkan menjadi kecoh apabila pihak penyokong kerajaan dari BN dan wakil-wakil pembangkang dari DAP bertikam lidah bermula apabila ahli Parliemn Jasin (Umno-BN) Mohd Said Yusof menyampuk ketika Timbalan Menteri Pelajaran sedang memberikan jawapan dengan mengatakan bahawa DAP adalah tidak patriotik.

Mohd Said dan Bung Mokhtar memang dikenali sebagai dua personaliti yang sering memberikan nama buruk kepada Parlimen, mereka kalau kita ingat sebelum ini terlibat dalam perisitiwa BOCOR iaitu menghina kaum wanita sehingga terpaksa memohon maaf secara terbuka.

Isunya mengapa setelah 50 tahun Merdeka sejak Parlimen pertama diasaskan selepas Pilihanraya Umum 1959, ada diantara pimpinan kita masih menangguk di air keroh, mencari publisiti murahan dengan menjadikan Parlimen seolah gelanggang untuk menunjukkan kemahiran mereka sebagai badut-badut sarkas! Mengapa dewan yang mulia itu, yang sepatutnya membahaskan isu-isu berkaitan kepentingan negara dan perundangan secara rasional dan ilmiah, digunakan sebagai gelanggang untuk memaki hamun dan menghina sesama ahli dewan?

Kita melaungkan slogan Malaysiaku Gemilang tetapi parlimen kita digerhanai oleh badut-badut sarkas seperti Mohd Said dan Bung Mokhtar.

Hari Isnin lepas saya perhatikan dalam Hansard parlimen ketika wakil DAP mengemukakan soalan dalam dewan, Bung Mokhtar dengan agay samsengnya terjerit-jerti menyatakan bahawa soalan yang dikemukakan itu adalahs atu soalan bodoh!

Disini rakyat perlu sedar bahawa dewan mereka iaitu dewan rakyat, yang dipenuhi oleh wakil-wakil mereka iaitu wakil rakyat sepatutnya terdiri dari kalangan mereka yang paling terhormat, paling mulia dan paling berakhlak. Kerana itu jangan lagi kita memilih parti secara buta tanpa menyelongkar keperibadian calon-calon yang dikemukakan. Jangan sampai tunggul kayu pun (meminjam isitlah Tun Dr M) diletakkan sebagai calon, kita pangkah juga.

Malaysiaku Gemilang sepatutunya melahirkan rakyat yang tidak tertipu apabila memilih wakil-wakil mereka. Bangunlah segera dari tidur kita, melainkan kita memilih untuk tersu tidur. Pastikanlah apabila tiba peluang kita sekali lagi nanti, pangkahlah hanya mereka yang berakhlak dan tidak memalukan kita apabila mereka duduk mewakili kita nanti. Mungkin kita perlu katakan “Got to hell” sahaja kepada calon-calon bagaikan badut-badut di sarkas di atas tadi.

No comments: