Wednesday, August 15, 2007

Jom fikir sekejap hal ini

Sahabat saya Sdr Anuar Md Nor melontarkan satu idea yang sangat menarik di laman web beliau http://umno-reform.com/. Isunya:

Perpaduan Melayu keperluan PAS dan Umno bersatu

Gelanggang yang dibuka beliau itu kelihatan rancak dibincangkan. Pelbagai komen, cadangan dan kritikan dilontarkan. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang menentang dan menyerang. Saya percaya segala pandangan yang dikemukakan itu datangnya dari anak-anak Melayu yang mendakapi realiti bahawa kuasa politik orang Melayu/Islam setelah menjangkau 50 tahun kemerdekaan ini, suka ataupun tidak sesungguhnya tertambat pada dua parti Melayu/Islam yang terbesar dan tertua dalam negara iaitu antara PAS dan Umno.

Anuar menukilkan dalam karyanya:

PAS dan UMNO adalah parti dominan Melayu. PAS dengan landasan Islam yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan UMNO yang majoriti adalah orang Melayu. Dua komponen ini, PAS dan UMNO mempunyai satu titik persamaan – Islam dan Melayu.

Dan lantas beliau melontarkan beberapa bait soalan yang diajukan kepada umat dan bangsa Melayu itu sendiri antaranya:

Apakah titik persamaan ini tidak boleh dibentuk untuk menyatukan Melayu dengan penyatuan politik dan memperjuangkan agama, bangsa dan negara.Adakah titik persamaan ini tidak boleh digunakan sebagai satu permulaan persamaan antara Melayu. Adakah ini mustahil dilakukan dan perpaduan antara Melayu itu tidak akan dicapai kerana sempadan politik? Adakah wajar kita meletakan perbezaan politik sebagai satu sempadan untuk memupuk perpaduan antara Melayu. Adakah kita akan membiarkan perpecahan Melayu itu berlarutan sehingga kita semakin hari semakin ketinggalan?

Memang menarik lontaran sahabat saya itu, tetapi berapa ramaikah diantara kita khasnya orang-orang PAS dan Umno yang berfikiran demikian? Berapa ramaikah diantara kita yang duduk dalam PAS dan Umno memikirkan perkara-perkara ini?

Saya percaya ramai diantara kita memiliki pandangan yang berbeza-beza di dalam hal ini, masing-masing dengan pegangan masing-masing. Cuma saya tertarik apabila salahs eorang pembaca Anuar bernama Wahida98 mengemukakan pandangan berikut:

Saya menyeru agar semua NGO Melayu dan Islam bangkit dan berusaha mendesak supaya Pas dan Umno bersatu untuk mendokong kemerdekaan tanah air ini demi kemakmuran dan kebahagian untuk semua rakyat Malaysia dari pelbagai rumpun dan bangsa.Buktikan melayu Islam mampu memimpin, memakmur, memajukan negara dan menyatu padukan semua bangsa bekerjasama membahagiakan negara. Bismillahirrahmanirrahim, Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!Merdeka!Merdeka.

Anuar memberikan respon terhadap cadangan ini dengan mengusulkan agar ABIM dan PROWARIS dua NGO Melayu agar mengambil inisiatif dan mengorak langkah ke arah gagasan dan cetusan ini. Anda yang lain bagaimana?

No comments: