Friday, August 24, 2007

Gentingku Gemilang
Subur makmur dalam Negara Islam Malaysia


Saya memang berasa terpanggil setiap kali syarikat-syarikat korporat ini mengumumkan laporan kewangan mereka untuk mengenengahkannya kepengetahuan ramai, kenapa? Kerana syarikat-syarikat ini terlibat dalam industri yang HARAM dan bertentangan dengan Islam. Ianya disahkan sebagai kaunter yang tidak syarie oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara. Industri yang melibatkan pengeluaran arak, aktiviti perjudian, amalan riba' dan seumpamanya, semuanya diharamkan oleh Islam secara qatie'.

Namun ia segar-bugar dan subur dalam negara kita. Malaysia yang agama resmi menurut Perlembagaannya adalah Islam, majoriti penganutnya beragama Islam, para pemimpinnya kebanyakkannya terdiri dari orang-orang Islam, dan parti politik terbesar yang memerintah negara sejak Merdeka 50 tahun lalu terdiri dari orang-orang Islam belaka.

Dan di bawah kepimpinan PM kini, fahaman baru Islam Hadhari pula dicipta dan diperkenalkan. Prinsip pertama fahaman ini adalah: Keimanan dan ketaqwaan kepada Illahi.

Lalu saya memang mencuri peluang setiap kali samada syarikat arak, perjudian ini mengumumkan keputusan kewangannya, saya mendedahkannya, supaya masyarakat terutama umat Islam dapat melihat. Inilah biawak-biawak hidup yang kita tanggung dan junjung, dan sudah pasti akan dipertanggungjawabkan ke atas kita nanti, kerana kuasa berada ditangan kita namun kita rela dan redha ianya subur dan maju di bawah teraju kepimpinan kita.

Dalam akhbar hari ini Genting Berhad yang aktiviti utamanya adalah kasino perjudian dan hiburan (satu-satunya syarikat yang dilesenkan oleh kerajaan Malaysia untuk menguruskan aktivit kasino berlesen) mengumumkan prestasi kewangannya untuk suke kedua tahun 2007 ini. Untung suku kedua tersebut (bulan April – Jun 2007) Genting mencatatkan keuntungan bersih RM542.5 juta dengan peningkatan pendapatan sebanyka 42% iaitu sebanyak RM1.98 billion!

Ini bermakna untuk setengah tahun pertama (Jan – Jun) 2007 Genting menjana keuntungan bersih sebanyak RM1.2 billion iaitu dua kali ganda dari keuntungan bersih yang dicatatkannya untuk setengah tahun pertama 2006 lalu. Pendapatan untuk setengah tahun pertama 2007 adalah RM4 billion, peninkatan sebanyak 54%.

Saya tidak iri hati apalagi dengki dengan keuntungan besar Genting ini. Saya dedahkannya untuk memberi iktibar kepada kita, betapa 50 tahun bumi bertuah ini diamanahkan oleh Allah swt untuk kita anak bangsa mentadbir dan memimpinnya. Namun kita seolah tidak memiliki kekuatan untuk memastikan yang perkara-perkara yang dimurkai Allah swt ini dihapuskan sebagaimana kehendak Nya.

Kumpulan Genting memiliki kekuatan kakitangan seramai 40,000 orang, entah berapalah daripada seramai itu terdiri dari anak bangsa yang beragama Islam (pasti ramai). Jangan pula lupa para pengarah dan pemegang saham. Inilah pencapaian kita, eloklah kita sama-sama fikir dan renungkan. Panggilah apa nama sekalipun Islamnya, tetapi yang Haram dan dimurkai Allah tetap Haram kecualilah kita telah memindanya mengikut hawa nafsu dan kehendak kita masing-masing.

No comments: