Tuesday, July 31, 2007

Ong Ka Ting dicabar bertanding di Bukit Bintang

Sudah dua hari berturut-turut akhbar The Sun melaporkannya, dan saya difahamkan oleh rakan saya dalam akhbar berbahasa Cina juga ia heboh diperkatakan. Kisahnya, Presiden MCA Ong Ka Ting dikatakan dicabar untuk bertanding di Parlimen Bukit Bintang, iaitu sebuah kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan yang majoriti pengundinya terdiri dari kalangan pengundi Cina (Daftar 2004: Melayu 13%, Cina 75.8, India 10.5%)

Kerusi Bukit Bintang atau dahulunya adalah Kuala Lumpur Bandar sejak zaman-berzaman diwakili oleh DAP kecuali apabila BN memenangi satu petisyen Pilihanraya selepas Pilihanraya Umum 1995 dan calon BN dari MCA Dr Lee Chong Meng diangkat oleh mahkamah sebagai wakil kawasan itu.

Isunya pihak-pihak tertentu dalam masyarakat Cina mencabar bahawa Presiden parti Cina tterbesar di Malaysia sepatutnya bertanding di kawasan majoriti Cina dan bukan sebaliknya. Ong Ka Ting (anak kelahiran Perak) bertanding dan menang di Parlimen Tanjong Piai, Johor (Daftar 2004: Melayu 50.6%, Cina 48.10%, India 1%). Malah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menyatakan kesediannya untuk bertembung dengan Ong di Bukit Bintang jika Presiden MCA itu berani turun ke sana.

Demikianlah realiti politik di Malaysia, DAP berentap merebut pengaruh dikalangan masyarakat Cina dengan MCA dan Gerakan. Umno pula dengan PAS di kawasan majoriti Melayu. Manakala kawasan-kawasan campuran, pertelagahannya adalah secara terbuka antara BN dan parti-parti pembangkang.

Memang jika benar pemimpin-pemimpin MCA berhasrat berjuang untuk kepentingan masyarakat mereka, septutunya mereka unggul di kawasan-kawasan Cina. Tetapi apa yang ada adalah, pemimpin-pemimpin MCA ini kebanyakannya (termasuklah dari MIC) mengharapkan sokongan dan simpati pengundi Melayu yang dibawa oleh Umno. Lalu menanglah mereka dengan mudah di kerusi-kerusi majoriti Melayu.

Mungkin begitulah konsep perkongsian kuasa BN. Soalnya mengapa konsep itu tidak dipanjangkan apabila berbangkit isu-isu yang melibatkan kaum Melayu dan agama Islam. Contohnya dalam isu agama Islam, MCA dan Gerakan lah yang keras menentang pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Dasar Ekonomi Baru atau DEB yang berhasrat menyusun semula masyarakat dengan memberikan bantuan kepada golongan Bumiputera bukan hanya kuat ditentang oleh DAP tetapi juga MCA dan Gerakan.
Bila tiba waktu kempen pilihanraya, jasad orang Melayulah yang ditoreh untuk mendapatkan hasil kemenangan, tetapi apabila berbangkit isu Melayu, lain pula jadinya.

Lalu biarlah ini menjadi pengajaran kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya, berpolitik biar bijak, jalan biar ke hadapan jangan ke belakang!

No comments: