Thursday, July 12, 2007

Johari berpuas hati, rakyat bagaimana?

Saya pasti Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri sungguh gembira dengan pengumuman Peguam Negara sebagaimana yang tersiar dalam akhbar-akhbar tempatan pagi ini. Apa tidaknya kata Tan Sri Gani Patail beliau telah mengarahkan agar pihak BPR menutup penyiasatan terhadap Johari Baharom atas alasan tidak ada sebarang bukti yang boleh mengaitkan Johari dengan perlakuan atau aktiviti rasuah.

Kata Johari pendedahan kes ini dan publisiti pihak media telah menimbulkan tekanan yang kuat terhadap beliau dan keluarga. Menurut Utusan kata beliau, isterinya terpaksa mengambil cuti 6 bulan kerana tidak sanggup berhadapan dengan masyarakat, manakala anak-anaknya turut merasa tertekan sehingga ada yang ponteng kelas kerana tidak mampu berhadapan dengan kawan-kawan.

Kini beliau sekeluarga boleh kembali tenang dan menjalankan tugas masing-masing.
Cumanya saya agak musykil dengan kenyataan Gani. Kata beliau 5 kertas penyiasatan telah dibuka terhadap tuduhan kononnya Johari menerima sejumlah RM5 juta kerana membebaskan para tahanan yang terdiri dari penjenayah yang ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Pihak BPR kata beliau telah menyiasat penjenayah-penjenayah berkenaan. Dalam 3 kertas penyiasatan, penjenayah-penjenayah ini menafikan ada menyogok Johari lalu ditutup failnya. Manakala 2 lagi turut ditutup kerana penjenayah yang ini pula tidak dapat dikesan sejak dibebaskan.

Setahu saya yang tidak dapat dikesan sehingga hari ini adalah Osama Ben Laden dan konco-konconya, Nordin Mohd Top, itu oleh CIA dan kerajaan Indonesia. Tetapi kalau menurut standard Malaysia jarang-jarang mana-mana individu hatta yang menyorok bawah batu sekali pun yang boleh lepas dari jangkauan pihak Polis yang sememangnya antara yang terhandal di rantau ini dalam hal tangkap-menangkap ini. Lalu saya hairan apabila dua kertas penyiasatan yang disebut oleh Tan Sri Gani itu ditutup atas alasan penjenayah yang telah dibebaskan itu tidak dapat dikesan.

Apa jadi dengan pihak polis yang sepatutnya memantau, apa jadi dengan rekod imigresen dan berbagai lagi kehandalan pihak polis, SB dan lain-lain. Kerana kegagalan mengesan mereka ini sebenarnya akan tersu mencetuskan syak wasangka rakyat dalam kes ini seolah berlaku suatu usaha untuk memendamkan kebenaran.

Saya tidak menuduh Datuk Joe tetapi BPR perlulah dengan kerjasama polis, imigresen dan lain-lain mengesan sehingga dapat mereka itu, barulah kita boleh berpuas hati, berkenduri besar meraikan pembersihan nama Datuk Joe! Jika tidak, saya percaya ramai yang sangsi dan tidak berpuas hati.

Yang nak dikesan bukannya Osama Ben Laden atau Nordin Mohd Top, yang mahu dikesan adalah gangster yang pernah terlibat dalam jenayah, kalau itu pun gagal, saya kira ianya memberikan imej yang buruk kepada negara.

Johari dan keluarga mungkin berpuas hati, tetapi ramai yang lain saya yakin tidak.

No comments: