Monday, July 16, 2007

Bolasepak: Aib besar negara

Ada pepatah Inggeris yang mengatakan bahawa:

The fish rots from the head atau seekor ikan itu akan busuk(rosak) bermula dari kepalanya.

Bermakna apapun badan atau pertubuhan atau perkumpulan malah negara sekalipun kiranya sering dan berterusan bermasalah maka puncanya perlulah dikesan dan dicari dari peringkat tertinggi lagi. Sehubungan dengan ini perkembangan terakhir Piala Asia Kumpulan C kita melihat prestasi Malaysia semakin corot merudum jatuh.

Bermula dengan belasahan 5-1 oleh China semasa hari pembukaan kini dibelasah pula 5-0 oleh Uzbekistan dan pasti tidak berapa hari lagi akan lunyai dibelasah pula lagi oleh Iran.
Itulah mutu dan nasib sukan bolasepak kita. Menerima hakikat ini DYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah terus meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden FAM, suatu tindakan yang berani dan bijak oleh Tuanku. Jika FAM lah punca kemerosotan mutu bolasepak kita maka seharusnya FAM memikul pertanggungjawaban ini. Tetapi masalahnya bukan Tuanku seorang yang duduk dalam FAM, bagaimana dengan penjawat-penjawat lain?

Sebagaimana saranan NST:

Shouldnt the entire FAM council resign?

Walaupun mungkin ada pihak mengatakan yang perletakan jawatan seumpama ini mungkin bukan jalan penyelesaian, tetapi apakah pilihan yang ada pada kita? Maruah negara telah teruk tercalar akibat prestasi sukan ini, malah sebelum ini kita tewas mudah pada negara-negara yang jauh kebelakang dari kita dari sudut pembangunan dan kemudahan infrastruktur.Apa lagi alasan kita?

Kerajaan perlu memberi perhatian serius dan mencari pendekatan yang sama-sekali berbeza dari apa yang diambil kini. Perubahan secara drastik dan total perlu dilaksanakan. Sejak liga semi pro diperkenalkan kita melihat prestasi sukan ini yang sepatutnya melonjak naik menjadi semakin kacau dan buruk diperingkat antarabangsa, pasti disana ada kelemahan dan kesilapan kita.

Saya memuji langkah Tengku Mahkota Pahang itu, tetapi saya rasa prestasi bolasepak kita tidak terjejas dengan penglibatan pihak istana, malah saya kira ianya mendorong dan memberi lebih semangat. Masalahnya apabila masuk campurnya orang-orang politik samada yang masih memegang jawatan politik atau telah bersara dari politik. Mereka inilah yang selalunya membawa sekali lumpur dan kekotoran politik mereka masuk ke padang bola.

FAM seharusnya dibersihkan dari mereka ini yang rata-rata mahu mengaut populariti politik dari sukan ini. Sepak keluar Menteri-menteri Besar dari persatuan bolasepak negeri-negeri dan ahli-ahli politik dari FAM. Bawa masuk bekas-bekas pemain, bekas-bekas jurulatih dan pengurus yang berwibawa dan berdedikasi tanpa ikatan politik. Pihak istana boleh terus memainkan peranan mereka.

Mungkin Menteri Sukan pun perlu diganti, sebab bukan sahaja sejak diperkenalkan liga semi pro, malah sejak beliau duduk di kerusi ini sehingga kini bukan hanya bolasepak malah banyak sukan lain termasuk atletik, hoki dan badminton yang pernah mengharumkan nama Malaysia satu ketika dahulu kini menjadi bahan senda gurau dan aib besar bagi negara?!

Apa macam Cik Azalina?

No comments: