Monday, March 14, 2005

PAS BUKAN MACAM UMNO

BERNAMA melaporkan MB Terengganu Idris Jusoh sebagai berkata bahawa beliau yakin tidak akan ada calon yang akan menentang Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang bagi jawatan Presiden PAS dalam Muktamar PAS pada awal bulan Jun kelak.

Komen ini beliau berikan ekoran kenyataan Tuan Guru baru-baru ini bahawa beliau bersedia melepaskan jawatannya kiranya ada calon yang memperolehi lebih pencalonan bagi jawatan Presiden. Demikian juga pandangan ahli parlimen Jeli Mustapha Mohamed.



Sungguh prihatin nampaknya pimpinan Umno dalam hal ini seolah-olah bersetuju bahawa jawatan Presdien PAS hanya layak buat Tuan Guru ketika ini.

Tidak seperti ketika pemilihan pimpinan Umno dahulu. Kalangan pimpinan Umno masing-masing heboh dan gawat mengeluarkan kenyataan. Jangan cabar Presiden dan Timbalan Presiden, biarkan dua jawatan tertinggi dalam Umno ini kekal disandang oleh penyandangnya. Malah bila Tengku Razaleigh dicalonkan oleh bahagian Gua Musang, masing-masing kalangan Umno mencerca dan mengutuk Ku Li. Dalam erti kata lain walaupun pada hakikatnya demokrasi itu sebagaimana dalam PAS wujud juga dalam Umno namun ianya tidak pernah dibiarkan bernyawa malah sentiasa sahaja kaku dan layu khususnya dalam pemilihan jawatan tertinggi parti.

Kerana itulah bila Tuan Guru mengeluarkan kenyataan bersedia berundur jika ada lawan yang diberi lebih pencalonan, maka rasa rimas dan panas belaka mereka yang seumpama Idris dan Mustapha ini, heran dan terpegun kerana dalam Umno perkara seumpama ini tidak wujud samasekali.

Dalam PAS tidak ada gesaan pun agar kawasan-kawasan yang sedang bermesyuarat agung kini mencalonkan Tuan Guru sahaja untuk jawatan Presiden parti sebagaimana yang berlaku dalam Umno. Kebebasan diberikan sepenuh-penuhnya, tidak ada garis panduan tidak ada tunjuk ajar, ringkasnya demokrasi beroperasi selancar mungkin dalam pemilihan PAS!

Jauh lagi politik wang. Tidak pernah berbangkit isu membeli undi bagi mendapatkan sokongan dalam PAS sebagaimana wabak dan penyakit kronik yang melekat pekat dalam Umno.

Idris dan Mustapha tidak perlu bimbang orang PAS insyallah sentiasa akur pada disiplin Islam semasa memilih pimpinan dikalangan mereka. Idris dan Mustapha seolah-olah mahu menghasut ahli-ahli PAS agar menolak Tuan Guru lantaran kekalahan PAS dalam pilihanraya umum lalu. Ianya tidak semudah itu. Rasulullah saw sendiri pernah mengharung kemenangan dan kekalahan semasa berhadapan dengan musuh Baginda. Kekalahan bukannya menandakan yang Islam itu kalah tetapi kekalahan bagi pejuang Islam lebih merupakan ujian Allah bagi mengukuh dan meneguhkan lagi pendirian hamba-hamba Nya.

Insyallah umat Islam dan rakyat Malaysia umumnya akan lambat-laun dapat juga melihat dan membezakan antara perjuangan yang benar dan adil serta perjuangan yang bathil dan bohong. Yang jelasnya dalam isu ini tidak syak lagi antara PAS dan Umno memang jauh berbeza laksana langit dan bumi.

No comments: