Tuesday, March 22, 2005

HADI PERBETULKAN PERSEPSI JAHAT BARAT TERHADAP PAS

BBC News baru-baru ini menyiarkan rencana khas mengenai kononnya ancaman keganasan dan militan Islam terhadap rantau Asia Tenggara. Liputan dibuat mengenai keadaan di Selatan Thai, Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Rencana khas ini turut memuatkan temuramah wakil BBC dengan Presiden PAS Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang di rumah beliau di Rusila sejurus selesai kuliah pagi Jumaat. Dari penerangan yang dibuat oleh Tuan Guru jelas persepsi jahat barat terhadap PAS tersasar jauh sama-sekali. Malah hasrat rencana ini untuk memerangkap dan menyerang PAS ternyata gagal.



Tuan Guru ditanya berkenaan kemampuan PAS untuk mendirikan sebuah Negara Islam di Malaysia. Kata Tuan Guru hasrat ini akan tercapai kiranya demokrasi yang diamalkan diwujudkan secara tulin dengan semua pihak diberikan peluang yang sama. Jika ini berlaku tidak mustahil PAS boleh berjaya.

Dalam erti kata lain demokrasi ala Malaysia yang dikongkong oleh kerajaan jelas menyekat peluang PAS. Jika gelanggang demokrasi yang sebenar dibuka, rakyat akan memperolehi penjelasan dan maklumat yang sebenar, dan ketika itu tidak mustahil rakyat akan menerima perjuangan PAS secara menyeluruh.

Wakil BBC kemudiannya bertanya:

Whats your message to those who use violence to get what you want through democracy?

Apakah mesej anda terhadap mereka yang menggunakan keganasan bagi memperolehi (negara Islam) apa yang anda perjuangkan melalui demokrasi?

Kata Tuan Guru:

Matlamat yang betul mestilah melalui cara yang betul. Islam tidak membenarkan cara yang tidak betul walaupun matlamatnya betul.

Ketegasan Tuan Guru dalam hal ini membuktikan sesunggunya garis pemisah yang ketara wujud antara kaedah perjuangan PAS dengan golongan ataupun kelompok lain yang menggunakan kaedah bukan demokratik bagai mencapai matlamat perjuangan Islam.

Wakil BBC seterusnya bertanya:

What if a member of KMM or JI walks into your mosque here, what would you do? Would you hand them over to the police?

Apa akan berlaku sekiranya ada ahli KMM ataupun JI mengunjungi masjid ini, apa akan anda lakukan? Adakah anda akan menyerahkan mereka kepada pihak polis?

Soalan ini merupakan satu lagi soalan perangkap yang cuba mengaitkan langsung PAS dengan KMM dan JI yang merupakan sasaran rencana ini. Ianya juga cuba mencungkil sentimen Tuan Guru terhadap KMM dan JI serta kesediaan Tuan Guru bekerjasama dalam memerangi keganasan.

Tuan Guru menjawab:

Saya tidak membenarkan kalangan-kalangan ini (KMM atau JI) wujud di dalam jemaah saya (di dalam ) kepimpinan saya. Saya menghormati undang-undang yang ada dan memang kita memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis sekiranya kalangan-kalangan yang melakukan masalah bukan hanya kepada negara malah kepada parti sekali, PAS bersedia memecat ahli-ahlinya yang memilih kaedah seumpama ini.

Penjelasan Tuan Guru ini yang pasti disaksikan oleh warga dunia khususnya di sebelah barat sekurang-kurangnya akan dapat memberikan gambaran sebenar darihal perjuangan PAS. Sebarang bentuk tohmahan dan cubaan untuk memburuk dan mengaitkan PAS dengan keganasan telah mendapat komen terus dari lidah Tuan Guru sendiri.

Kata wakil BBC semasa membuat pengambaran di dalam dan luar Masjid Rusila ketika Tuan Guru sedang menyampaikan kuliahnya dalam rencana khas ini:

There is no battle cry from this mosque

Tiada ada laungan keganasan (peperangan) dari masjid ini.

Mudah-mudahan penjelasan Tuan Guru akan mendidik dunia barat termasuklah anak-anak muridnya di sebelah sini darihal asas, kaedah serta matlamat sebenar perjuangan PAS. Benar PAS mahu menegakkan Negara Islam, tetapi melalui kaedah demokrasi.

No comments: