Setelah Mursyidul Am PAS Datuk Dr
Haron Din secara terbuka menasihatkan mereka yang kecewa dalam PAS agar tidak
memanjangkan hasrat mereka untuk
menubuhkan parti baru, ramai menjangkakan ianya akan membuka kepada pintu kesedaran
dan keinsafan. Bukankah sejarah telah mengajar kita betapa kepelbagaian gerakan
dan parti Islam hanya akan melemahkan perjuangan mendaulatkan Islam.
Yang kecewa sepatutnya berfikiran
panjang, menang kalah merupakan adat pertandingan apalagi sesama Jemaah.
Takkanlah oleh kerana tewas dalam pertandingan atas padang yang sama rata,
tiba-tiba bukan hanya kelambu malah dengan katil-katil mahu dibakar hangus.
Malangnya nasihat seakan mencurah
air ke daun keladi.
Setiausaha apa yang dikatakan
Jawatankuasa Bertindak G18, Dr Dzulkefly Ahmad dengan bersungguh mengatakan
bahawa mereka (kumpulannya itu) akan terus melangkah ke hadapan tanpa mahu
menoleh ke belakang lagi serta terbelenggu dengan apa yang dipanggilnya “old
politics” atau politik golongan lama.
Reaksi beliau itu terbit dalam
akhbar The Star 27 Jun lalu.
Kata beliau:
“We do not want to be embroiled with the embattled lot”
(Kami tidak mahu terlibat dengan
puak yang bermasalah)
PAS yang sebelum ini telah menaja
beliau sehingga menang menjadi wakil rakyat di Parlimen Kuala Selangor selama
sepenggal tiba-tiba hari ini menjadi puak yang bermasalah. Parti golongan lama
kononnya. Hanya semata-mata kerana beliau memperolehi 409 undi dan tewas dalam
pertandingan untuk jawatan AJK Pusat dalam Muktamar PAS yang lalu.
Beginikah sikap orang yang
menggunakan pendekatan “bottom up” atau mendengar keluhan akar-umbi?
Kerana dalam laporan berkenaan Dr
Dzul dilaporkan berkata:
“We are taking the bottom-up approach. We want to put our ears firmly
to the ground and listen to the grassroots.”
Keras sungguh hati dan tekad
gerombolan G18 ini. Jika begitulah pendirian mereka ternyata sebuah lagi parti
Islam bakal lahir dalam waktu terdekat sekurang-kurangnya itulah yang cuba
dibayangkan oleh “kepalanya”.
Tiba-tiba hari ini akhbar yang
sama melaporkan, seorang lagi penggerak gerombolan G18 ini, iaitu Khalid Samad
yang juga ahli Parlimen Shah Alam pula mendesak agar PAS perlu mengubah sikap.
Kata-kata bagaikan ugutan itu
berbunyi bahawa kegagalan PAS menonjolkan apa yang kononnya dikatakan imej Islam
sebenar akan mengakibatkan kumpulan beliau menubuhkan sebuah parti baru.
Kata Khalid lagi ketidakpuasan
hati gerombolan beliau bukanlah atas isu ulamak atau bukan ulamak tetapi kerana
kegagalan PAS mengubah pendekatannya.
Kalau Dr Dzul sebelumnya seakan
bertekad mahu menceraikan PAS, Khalid pula mendesak PAS ubah sikap. Nampak
sangat kekalutan agenda gerombolan ini.
Apa pun bagi saya inilah PAS
tetap pada dasar dan prinsip perjuangannya namun pendekatannya sentiasa dinilai
semula berdasarkan perkembangan semasa. Lalu apakah masalah dengan G18 ini?
Masalahnya mereka menaja pendekatan dan budaya yang sama-sekali tidak dapat
diterima oleh ahli-ahli PAS. Mereka telah menajanya secara bersungguh sepanjang
tempoh berkempen sebelum Muktamar ke 61 lalu.
Dimana mereka pergi, ceramah,forum
atau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan, itulah lagu yang sama yang mereka
nyanyikan dan dalam waktu yang sama tegar menyerang kepimpinan Tuan Guru Hj Abd
Hadi Awang. Mereka berpasukan masuk bertanding, dari jawatan nombor satu iaitu
Presiden sehinggalah ke AJK Pusat.
Mereka punya jentera berkempen
malah rakan-rakan luar dari Pakatan Rakyat pun turut mereka sauk untuk
berkempen buat mereka selain media alternatif yang ada.
Tiba-tiba para perwakilan PAS
sebulat suara berdiri di belakang Tuan Guru Presiden dan menolak bukan seorang
tetapi keseluruhan pasukan mereka. Ini menandakan nilai dan budaya yang mahu mereka bawa ke dalam PAS tidak dapat dihadam oleh ahli-ahli.
Mereka kalah, sesuatu yang tidak
mereka jangka malah sebahagian besar mereka tidak pernah melalui pengalaman
kalah dalam parti sebegitu. Lalu mereka protes.
Maka terbitlah pelbagai tohmahan
dan serangan. PAS itu dan PAS ini, pimpinan itu dan ini. Hakikatnya mereka
telah diberi peluang tapi malangnya perwakilan PAS yang menolak mereka.
Untuk itu bagi saya buat mereka
ini, samada mahu menerima keputusan perwakilan PAS yang mewakili 1 juta
kekuatan ahli, atau memilih menolaknya terpulanglah pada mereka. Kalau akur dan
terima ayuh kita teruskan perjuangan. Kalau tidak, maka tubuhlah apa sahaja
yang tertelan oleh nafsu politik kamu itu.
Jika PAS kamu rasakan tidak
relevan lagi, terlibat dengan “old politics”, maka ikut suka kamulah.
Kalau akur dan boleh terima
keputusan tinggal kekal dalam PAS maka kita tetap bersahabat namun kalau
memilih untuk bersaing maka kami bersedia menghadapi kamu.
Kami di dalam PAS tiada isilah kalah,
samada menang atau syahid, insyallah tidak kenal kekecewaan.
2 comments:
alhamdulillah kerana kamu tidak goncang.
Padat Dan mantap.
Post a Comment