Tuesday, June 05, 2007

Ternodakah lagi mahkamah kita?

Kali terakhir seingat saya mahkamah di Malaysia menjadi kalut dan tidak-menentu adalah semasa perbicaraan kes Dato Seri Anwar Ibrahim yang telah kita semua ikuti dahulu. Macam-macam persitiwa dan kejadian yang pelik aneh-aneh mewarnai perjalanan perbicaraan.

Maklumlah kes bukan sekadar melibatkan bekas orang nombor dua negara, lebih penting lagi ianya kes yang melibatkan konspirasi pihak atasan yang perlu dilaksanakan tanpa mencetuskan syak-wasangka awam walaupun akhirnya satu dunia mengetahui kedurjanaannya.






Semalam sekali lagi saya memerhatikan Mahkamah Tinggi di Shah Alam melalui episod yang hampir sama. Kes berprofil tinggi melibatkan penganalisa politik dan bekas penasihat kepada orang nombor dua negara, turut menyaksikan kekalutan apabila seluruh barisan pasukan pendakwaraya ditukar disaat-sata akhir tanpa memberikan sebab-musabab. DPP Tun Abd Majid telah diarahkan mengambil alih dari DPP Salehudin Saidin yang telah mengendalikan kes ini sejak dari awal-awal lagi.

Akibat dari pertukaran LAST MINUTE ini kes bunuh yang melibatkan model Mongolia Altantuya Sharibu itu terpaksa ditunda selama dua minggu. Perbicaraan di mahkamah akan disambung pada 18 Jun nanti.


Bayangkan betapa resahnya bapa mendiang dan keluarga yang telah turun dari Ulan Bator untuk mengikuti kes ini yang telah berjalan sekian lama sejak kejadian pembunuhan pada bulan Oktober tahun lalu. Bersalahkah mereka sekiranya semakin meragui sistem kehakiman kita?

Kemudian dalam mahkamah semalam juga seorang peguambela iaitu Zulkifli Nordin yang mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri telah memohon untuk menarik diri dari mewakili anak guamnya atas alasan terdapat gangguan dan campurtangan serius dari pihak yang ketiga yang menganggu tugas-tugasnya sebagai pegumbela.

Juga dalam mahkamah semalam peguam Karpal Singh yang merupakan peguam pemerhati bagi pihak keluarga mendiang Altantuya membuat permohonan agar seorang peguambela iaitu Hazman Ahmad yang turut mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri agar menarik diri atas alasan beliau mempunyai talian persaudaraan dengan Hakim Mohd Zaki Md Yasin. Menurut Karpal allahyarham isteri Hazman merupakan anak saudara Hakim Mohd Zaki. (Permohonan Karpla telah ditolak).

Apakah kita akan menyaksikan satu lagi perbicaraan seumpama DSAI? Soalnya siapakah yang cuba dilindungi dan siapakah pihak ketiga yang menganggu tugas-tugas pembelaan itu?

Mudah-mudahan sistem kehakiman negara kita akan berjaya membutikan yang keadilan masih teguh dan tidak mudah dicabuli dalam negara kita yang tercinta ini.

No comments: