Jenayah di Johor, semua pihak perlu serius
Pada hari kabinet mengeluarkan arahan agar kekuatan anggota Polis di Johor dipertingkatkan untuk memerangi jenayah yang semakin memuncak di negeri itu, semalam juga kebetulan berlaku lagi dua kes rogol selang 6 jam yang melibatkan murid sekolah berusia 16 dan 14 tahun di Johor Bharu.
Sebelum ini pada 12 Jun lalu 3 lelaki telah merogol bergilir-gilir seorang gadis 19 tahun di hadapan teman lelakinya berusia 22 tahun. Pada 13 Jun sekumpulan lelaki bersenjata telah menyamun dan merogol seorang wanita berusia 35 tahun di hadapan teman lelakinya, kedua-dua insiden berlaku di Johor.
Dan semalam TPM Najib Tun Razak yang turut memangku jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, dalam ketiadaan Dollah, telah mengarahkan dalam mesyuarat kabinet agar 400 anggota polis ditambah ke Ibupejabat Polis Kontijen Johor IPK pada kadar segera. Tiga pusat atau balai segera di arahkan ditempatkan di tiga lokasi dalam kawasan Polis Daerah JB. Selain itu kabinet juga mengarahkan agar dikirim 200 kereta peronda polis beserta pemandu terlatih untuk tujuan yang sama.
Kita mengalu-alukan langkah kerajaan ini, cuma persoalannya cukupkah dengan langkah-langkah ini sahaja maka kegiatan jenayah khususunya rogol seumpama ini akan dapat dibenteras dan di atasi di negeri itu?
Kita perlu jujur dan berani mengakui bahawa sesungguhnya langkah keselamatan semata-mata tidak akan dapat mengatasi kegiatan jenayah ini. Pembenterasan maksiat, pembetukan akhlak dan moral khasnya dikalangan remaja perlu turut dilaksanakan.
Anak-anak gadis pada usia yang terlalu muda contohnya bebas bergaul dengan lelaki yang bukan mahram, keluar sehingga ke larut malam, tidakkah ini juga mendedahkan anak-anak ini untuk diperlakukan sesuka hati si penjenayah. Aktiviti hiburan yang keterlaluan membuka peluang kepada anak-anak remaja kita untuk mengambil bahagian dan berseronok-seronok dan akhirnya mereka menjadi mangsa atas kelalaian dan kelonggaran kita.
Sesungguhnya keruntuhan akhlak dikalangan remaja bagi saya adalah salah satu faktor utama yang menyumbang ke arah jenayaha kebinatangan seumpama ini. Cukupkah dengan mengirim 200 kereta peronda akan dapat mengatasinya sedangkan kita pula menganjur dan menggalakkan anak-anak remaja kita bergaul bebas, berhibur tanpa batas, lantas mendedahkan mereka menjadi mangsa manusia bertopengkan binatang yang disuakan dengan peluang terbuka.
Pertingkatkanlah juga pembenterasan aktiviti tidak bermoral, pertingkatkan pendidikan moral dan agama kepada anak-anak remaja kita. Tutup atau kawallah jumlah pusat-pusat hiburan, benteraslah remaja dari berlepak di taman-taman atau tempat-tempat awam dengan pasangan atau kumpulan yang bukan mahram. Pendekatannya perlu holistik dan menyeluruh.
Kehadiran pihak polis yang ramai dialu-alukan, tetap takkanlah akan mampu mengawal atau membenteras terus kenayah yang ada. Pihak-pihak lain juga perlu berperanan, termasuklah ibu-bapa dan penjaga.
Kesan dari memuncaknya kegiatan jenayah khasnya rogol dan samun ini bukan sekadar menjejaskan kehadiran pelancong asing, malah lebih parah lagi ia mengancam keselamatan rakyat tempatan dan masadepan mereka.
Semua pihak perlu serius dalam hal ini, jangan sampai tergadai nasib dan masadepan rakyat.
No comments:
Post a Comment