Thursday, June 07, 2007

Idris Jusoh: Pilih Nasharuddin bukti PAS tandus pemimpin

Tidak banyak reaksi diberikan oleh pimpinan Umno berkenaan pucuk pimpinan baru PAS selepas Mukatamar ke 53 lalu kecualilah oleh MB Terengganu Idris Jusoh.

Dalam MStar.com Idris mendakwa bahawa keputusan perwakilan PAS mengekalkan Ustaz Nasharudin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden PAS adalah bukti betapa parti itu ketandusan pemimpin berwibawa. Ini kerana menurut Idris Timbalan Presiden PAS itu kalah dengan lebih 8,000 undi di parlimen Besut sekaligus membuktikan penduduk Besut dan rakyat Terengganu amnya menolak beliau.






Kata Idris lagi:

Kalau dah kalah lebih 8,000 undi memang tiada kredibiliti. Lainlah kalau kalah 1,000 undi.

Demikianlah sifir politik dan bacaan MB Terengganu. Dan memang beliau berhak bercakap apa sahaja yang beliau mahu, cuma barangkali beliau terpanggil untuk memberikan reaksi kerana kemungkinan bimbang dengan perkembangan terbaru di dalam PAS lalu terpaksalah melontarkan sesuaut mana tahu ia akan mengusutkan parti Islam tersebut yang telah sedia bertapak di negeri yang baru sahaja beliau perintah sepenggal itu.

Kalaulah kita menggunakan sifir Idris yang longgar ini kita akan dapati rupanya ramai juga kalangan pimpinan Umno Terengganu yang jatuh dalam kategori tiada kredibiliti itu. Menurut ukuran Idris siapa sahaja kalah melebihi 1,000 undi tiada kredibiliti maka Pengerusi FELDA Yusof Nor yang pernah kalah di Parlimen yang sama pada tahun 1999 dahulu pun tiada kredibilit kerana beliau tewas 3,057 undi kepada calon PAS Hasan Mohamad.

Kalau tiada kredibiliti mengapa dilantiknya sebagai Pengerusi FELDA?

Demikian juga beberapa ahli Parlimen dan ADUN Terengganu hari ini pada tahun 1999 dahulu pernah tewas melebihi 1,000 undi, kalau mengikut sifir Idris mereka ini pun sepatutnya tiada kredibiliti tetapi mengapa dikekalkan dalam pilihanraya baru-baru ini, mungkin Umno ketandusan pemimpin juga?

Ahli Parlimen Dungun Rosli Mat Hassan contohnya pada 1999 dahulu tewas kepada calon PAS di DUN Paka dengan 2,686 undi. EXCO Terengganu kini Dr Abdul Latiff Awang pernah tewas pada tahun 1999 di DUN Bukit Payung dengan 2,356 undi. Demikian juga ADUN Alur Limbat Alias Abdullah yang tewas pada tahun 1999 dengan 3,275 undi.

Inilah akibatnya apabila kita bercakap tanpa usul periksa akhirnya ludah jatuh bertepek atas muka sendiri.

Benar Ustaz Nasharudin pernah tewas lebih 8,500 undi di Parlimen Besut dalam pilihanraya lepas, namun ini tidak bermakna beliau akan terus tewas, dan keputusan itu tidak sekali-kali mempengaruhi para perwakilan PAS untuk membuat keputusan dalam memilih pucuk pimpinan mereka. Jika Idris lupa Tun Dr Mahathir pernah tewas di Kota Setar Selatan pada pilihnaraya umum 1969 tetapi terbit sebagai PM Malaysia pada tahun 1981!

Para perwakilan PAS memilih pemimpin yang mereka yakin bukan sekadar dapat menebus Parlimen Besut malah mengembalikan kegemilangan perjuangan mereka ke seluruh pelusuk tanahair. Memang siapa pun dipilih takkanlah Idiris nak memuji dan ucap tahniah pula, maka layaklah Idris menyerang dan mengkritik, kemungkinan dalam hati kecut dan berdentam-dentum. Apa pun kita tunggulah pilihanraya umum yang akan datang, sikap dan pendirian rakyat berubah-ubah, hari ini Idirs mungkin MB, esok belum tahu lagi.

No comments: