Monday, June 18, 2007

Jangan lagi lalai di persimpangan

Kita sebenarnya berada dipersimpangan, keliru, was-was dan akhirnya tidak berani melangkah membuat pilihan lalu terus berdiri mengadap persimpangan mengakibatkan mereka yang dibelakang kita tambah kacau dan kalut.

Kita lebih mementingkan diri, kita mahu terus popular walaupun kadangkala terpaksa mengorbankan prinsip, maruah dan harga diri. Kita lakukan apa sahaja asalkan kita disayangi dan kita senang menongkah hidup, itu sahaja sikap kita, lantas kita akan terus terpacul dihadapan persimpangan ini, ke kanan tidak ke kiri pun tidak. Biarlah berdiri ditengah-tengah sini asalkan selamat.

Kerana sikap ini kita saling bertembung dan bertelagah dengan hukum. Tetapi kita tetap memilih untuk duduk dipersimpangan, nanti apa kata rakan-rakan kita, nanti apa kata para pelabur asing. Jika perlu mereka yang bersungguh menuntut untuk kembali kepada hukum itu kita kambing hitamkan, muftikah dia, ulamak kah dia, apa lagi parti politik pembangkang. Kita tidak mahu hilang populariti, kita mahu terus berkuasa jika boleh sehingga 2057 nanti.

Kini berbagai isu muncul satu-persatu, minta untuk diselesaikan, tetapi kita kelihatan seakan termanggu, kalau ke kanan takut dicerca kalau ke kiri takut dimaki, akhirnya isu semakin kusut dan kita terus membatu di kaki persimpangan.

Isu murtad lanjutan keputusan kes Lina Joy tergantung begitu sahaja sehingga hari ini. Apakah tindakan yang kita lakukan untuk mengelakkan kejadian seumpama ini dari terus berulang? Apakah usaha yang telah kita ambil untuk mendekati si murtad tadi?

Hari ini dua orang Mufti memberikan komen berkenaan seorang artis wanita terkenal yang menggondolkan kepala demi menghayatai watak lakonannya, apa sikap kita?

Kita juga seakan sasau apabila berbicara hal aurat terutama yang melibatkan wanita, kita berbangga menjadi kepala kepada Pertubuhan Persidangan Islam Antarabangsa, kita menjaja Islam Hadhari yang salah satu prinsipnya adalah: Keimanan dan ketaqwaan kepada Illahi seantero dunia, tetapi dalam bab aurat wanita bagaimana? Remeh? Kecil?

Ada diantara pimpinan kita yang menterjemahkan hukum ini seolah dalam bab aurat ini antara si wanita dengan Tuhan, yang pentingnya hati, yang zahir tidak penting! Walaupun ada pimpinan wanita yang menutup auratnya, isteri-isteri pimpinan yang mengenakan pakaian Muslimah, tetapi ramai lagi seakan tidak memperdulikan.









Isteri Perdana Menteri, isteri Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Pusat dari kalangan wanita terang-terangan bersikap sedemikian, sedangkan Raja Permaisuri Agong mengenakan pakaian menutup aurat, bagaimana kita mahu menjelaskan kepada anak-anak kita akan DOUBLE STANDARD ini? Apakah kita juga nanti akan mengajar anak-anak kita agar duduk sahaja di pintu persimpangan ini, tidak perlu membuat pilihan, asalkan selamat asalkan popular sudah, begitu?

Kerana memilih untuk terus duduk dipersimpangan inilah maka tidak secara langsung kita telah secara sedar menggadaikan nilai dan martabat Islam. Ia terhakis dikikis dari hari ke hari, sedang kita asyik memilih jalan selamat.

Saya membangkitkan hal ini apabila membaca satu laporan dalam akhbar BERITA HARIAN. Akhbar tersebut melaporkan:

Datuk Bandar Delcambre, sebuah bandar di Louisiana, Amerika Syarikat, Carol Broussard menandatangani rang undang-undang bagi mendenda mereka yang memakai seluar londeh sehingga menampakkan seluar dalam dan mengisytiharkan memakai seluar itu sebagai satu jenayah.Penduduk bahagian selatan Amerika sudah lama menggesa agar cara memakai seluar londeh sehingga menampakkan seluar dalam diharamkan sejak fesyen itu diperkenalkan beberapa tahun lalu.

Sebuah negara yang tidak Islam, tidak kenal kepada Islam Hadhari, tetapi bersikap lebih berani dan tidak membatu dipersimpangan apabila berhadapan dengan isu akhlak dan moral yang melibatkan rakyatnya. Tidak berbangkit langsung soal MORAL POLICING yang dengan mudah diungkap oleh rakyat yang memaktubkan dalam perlembagaan negaranya Islam sebagai agama rasmi Persekutuan!

Saya kira kita perlu banyak bermuhasabah diri menjelang 50 tahun kemerdekaan negara ini. Semua kita tidak kira PAS atau Umno atau apa sahaja fahaman dan anutan politik kita. Kita mahukan negara ini terus kekal merdeka dan berdaulat. Kita juga mahu melihat Islam yang merupakan anutan majoriti rakyat di negara ini terus bermaruah dan dimartabatkan. Kita semua mahu menjadi Muslim yang baik dan dicintai Allah dan Rasul Nya saw.

Oleh itu dalam kita menyusun-atur negara yang dikasihi ini ke arah melangkah ke fasa seterusnya, marilah kita junjung bersama agama yang dicintai ini. Berikan pemahaman yang sebaik-baiknya kepada sahabat-sahabat kita yang bukan Islam namun dalam waktu yang sama kita pastikan bahawa kita yang telah Islam ini berpegang teguh kepada aqidah kita tanpa berkompromi dalam bab hukum walaupun terpaksa membuat pilihan.

Kita tidak mahu terus duduk dipersimpangan, kita mahu melangkah ke hadapan dengan yakin dan penuh keazaman.

No comments: