Legasi terbesar Tun Abdul Razak
Pemuda Umno melalui Akademi Pemudanya dengan kerjasama Persatuan Alumni Yayasan Tun Razak telah menganjurkan seminar dua hari Legasi Tun Abdul RAzak baru-baru ini dengan tema: Perintis Kepimpinan Glokal.
Semasa menutup seminar ini Menteri Penerangan Zainuddin Maidin menyifatkan Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai seorang Jurutera Sosial oatau Social Engineer yang terbesar dalam sejarah pemerintahan negara.
Semasa hidupnya saya masih ingat kami di bangku sekolah menyanyikan lagu Bapa Pembangunan yang ditujukan kepada beliau. Kalau kita lihat dari sudut sejarahnya sesungguhnya Tun telah mencapai sesuatu yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pimpinan negara sehingga kini.
Bagi saya sumbangan terbesar Tun adalah kejayaannya duduk berunding dan akhirnya membawa parti-parti pembangkang terbesar dalam negara khasnya PAS dan Gerakan untuk bergabung bersama-sama demi perpaduan negara di bawah payung Barisan Nasional yang diciptanya (DAP enggan menyertai gagasan ini).
Ketika itu kita semua sedang merawat luka dari Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 yang telah menyaksikan pergaduhan kaum terbesar dalam sejarah negara.
Dari peristiwa ini Tun menyedari bahawa ketidakpuasan hati khasnya dikalangan orang Melayu yang masih jauh ketinggalan dari sudut ekonomi adalah salah satu punca tercetusnya penolakkan terhadap Umno dan Perikatan dan akhirnya menyemarakkan api ketegangan kaum. Tun sebagai Menteri Dalam Negeri sebelumnya telah berusaha berkali-kali menumpaskan kerajaan PAS di Kelantan namun tidak berjaya.
Akhirnya 13 Mei telah membuka lembaran kesedaran dikalangan semua pihak yang terbabit, dan ketika itu dirasakan perpaduan kaum khasnya dikalangan orang-orang Melayu/Islam adalah penting demi memperkukuhkan kedudukan kerjaan dan negara ini. Maka semua pihak khasnya Tun selaku Presiden Umno dan Allahyarham Dato (Tan Sri ) Asri Muda selaku Yang Dipertua Agung PAS akhirnya bersetuju mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersatu demi perpaduan dan survival negara pasca 13 Mei.
Tunku tidak berjaya menyatukan orang Melayu, Tun Hussien terlibat dalam merobohkan apa yang telah Tun Razak bina, Tun Dr Mahathir juga tidak berjaya apalagi Dollah Badawi. Itulah bagi saya pencapaian terbesar Tun Razak dan sekiranya Umno atau Pemuda Umno berminat menyingkap LEGASI Allahyarham saya kira itulah pencapaiannya yang terbesar.
Hasil dari penyertaan PAS dalam BN, wakil-wakil PAS telah duduk membentuk bersama kerajaan-kerajaan negeri khasnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah disamping Dato Asri sendiri dilantik sebagai Menteri Kabinet dan beberapa wakil PAS lain sebagai Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen termasuklah Allahyarham Ustaz Yusoff Rawa sebagai Duta Besar Malaysia.
Ianya kekal bertapak selama beberapa tahun sehinggalah PAS ditendang keluar dari BN apabila Tun Razak tiada lagi dan digantikan dengan Tun Hussien.
Saya membangkitkan isu ini bukan kerana PAS atau Umno kini tiba-tiba berminat duduk bersatu kembali, saya tidak terfikir pun ianya akan berlaku, tetapi bagi saya inilah cebisan sejarah yang penting apabila kita mahu membicarakan darihal Legasi Tun Abdul Razak. Kesedaran dan keinsafan beliau betapa apabila melihat peristiwa 13 Mei, yang merugikan bangsa dan agama itu telah mencetuskan dorongan untuk beliau bagi membina ukhuwah dan perpaduan Melayu/Islam bagi menjamin kelangsungan neagara dan peradaban bangsa ini.
Memang Tun turut terlibat dalam menggubal DEB, membangunkan negara, memajukan pertanian tetapi bagi saya yang paling penting adalah kejayaannya menyatupadukan rakyat demi kepentingan negara, ianya legasi kerana ternyata dalam hal ini Tunku, Tun Hussien, Tun Dr Mahathir dan Dollah kesemuanya telah gagal.
No comments:
Post a Comment