Saturday, December 10, 2005

Tuntutan refomasi demokrasi di Myanmar
Malaysia bagaimana?

ASEAN akan mendesak Junta Tentera Myanmar agar segera membebaskan pejuang pro demokrasi Aung San Suu Kyi dan segera bergerak ke arah reformasi demokrasi yang menyeluruh. Demikian kata Menteri Luar Syed Hamid Albar sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar The STAR hari ini dibawah tajuk muka depan:

ASEAN tells Myanmar: Free Suu Kyi

Menurut akhbar The STAR lagi:

Myanmar which joined ASEAN in 1997 is causing unease within the grouping due to its human rights record.

Myanmar yang menyertai ASEAN pada tahun 1997 sebenarnya telah mewujudkan suasana tidak selesa sesama anggota ekoran rekod hak asasi manusianya.



Kita bersetuju agar Junta Tentera Myanmar segera kembali ke jalan demokrasi, berikan hak dan kebebasan kepada rakyat untuk menentukan nasib dan masa depan mereka. Myanmar juga perlu membebaskan semua tahanan politiknya ataupun membicarakan mereka di mahkamah terbuka.

Sesungguhnya kebebasan dan hak asasi manusia merupakan pra syarat kehidupan bertamaddun dalam dunia pada hari ini.

Dan berkebetulan kita meraikan Persidangan ke 11 Ketua-ketua Negera ASEAN ini, kita juga perlu menyemak semula dan mengkaji rekod dalaman kita yang sebenarnya tidak semolek mana pun.

Jangan nanti bak kata pepatah Melayu:

Pacak mencerca biduk orang, biduk sendiri tak terkayuh.

Takut nanti kita asyik dan ghairah mendesak Myanmar silap-silap Myanmar pula bangun mendesak agar Malaysia turut melakukan perkara yang sama terlebih dahulu.

Kita nak desak agar Suu Kyi dibebaskan akan tetapi kem tahanan kita masih penuh dengan mereka yang ditahan tanpa perbicaraan di bawah akta ISA yang zalim dan kejam itu. Jika ada bukti seharusnya sebagai sebuah negara yang menjunjung keadilaan dan hak asasi, hak untuk bersuara dan membela diri, bawa sahaja mereka ini ke mahkamah untuk diadili. Mengapa mereka seperti Suu Kyii dinafikan hak sedemikian?

Kita mahu Myanmar bergerak ke arah reformasi demokrasi. Tetapi demokrasi yang kita amalkan sendiri sungguh hodoh dan tempang. Kita contohnya baru sahaja selesai menyaksikan pilihanraya kecil di DUN Pengkalan Pasir Kelantan, apa agaknya yang Myanmar boleh belajar dari proses demokrasi itu?

Pihak SPR yang sepatutnya menjadi badan bebas yang mengendali dan menguruskan pilihanraya tersebut bertindak laksana sayap kepada parti pemerintah. Pengundi-pengundi hantu berkeliaran, rasuah dan sogokkan diamalkan secara terbuka semasa berkempen, undi pos yang ternyata berat sebelah itu masih diamalkan. Dan tiba-tiba kita mahu mengajar apa itu demokrasi kepada Myanmar!

Jangan pula kita lupa darihal layanan kerajaan pusat (yang mana Syed Hamid merupakan salah seorang anggota kabinetnya) terhadap kerajaan negeri Kelantan. Kerajaan negeri ini dipilih secara sah oleh rakyat Kelantan. Oleh kerana mereka dari parti yang berbeza dari yang memerintah di pusat, disaat mereka berkuasa sehinggalah ke hari ini mereka ditekan, disekat dan dianak-tirikkan seolah-olah mereka merupakan kerajaan buangan yang tidak bernaung di bawah Persekutuan Malaysia.

Itu kita belum mendedahkan lagi darihal kebebasan media yang telah sekian lama dinodai, belum pula lagi membicarakan perkosaan terhadap hak berhimpun termasuklah perhimpunan dikalanganahli dan penyokong parti-parti politik yang sah yang diganggu, disekat dan dilarang.

Dan tiba-tiba kita malu terhadap tahap hak asasi dan kebebasan di Myanmar!

Sesungguhnya tidak ada sebab mengapa Junta Tentera di Myanmar tidak membebaskan Suu Kyi dan para tahanan politik yang lain serta mengembalikan hak asasi dan kebebasan kepada rakyatnya. Semoga lahir dan suburlah demokrasi di Myanmar, semoga rakyatnya bebas bergerak, bersuara, berpersatuan dan menetukan nasib mereka sendiri. Semoga semua pelariannya dapat kembali ke Myanmar yang bebas dan adil.

Begitulah juga sepatutnya di Malaysia mudah-mudahan.

No comments: