Monday, December 05, 2005

Surat terbuka kepada pengundi Pengkalan Pasir

Assalamualaikum

Salam persuadaraan dari dari saya anak kelahiran Kelantan yang kini berada di negeri Selangor, yang kononnya merupakan satu-satunya Negeri Maju di Persekutuan Malaysia.

Jauh di sini saya sesungguhnya mencemburui suasana dan kehidupan anda semua di negeri Serambi Mekah lantaran bernaung di bawah kerajaan pimpinan PAS sejak 1990 walaupun di sini Selangor kononnya sebuah Negeri Maju sejak tahun 2005.

Di Kelantan berpayungkan slogan Membangun Bersama Islam di bawah kepimpinan ulamak, suasana keindahan dan ketenangan Islam itu dapat dirasai bukan sekadar di negeri Kelantan malah terpancar juga ke seluruh negara sehingga ke Selatan Thai, hasil dari keikhlasan dan kerja-kuat dan ikhlas pimpinan negeri di sana. Berbanggalah Tuan-tuan kerana mempunyai Menteri Besar, ahli-ahli EXCO, ADUN-ADUN yang boleh dan mampun bukan hanya memimpin ke arah kesejahteraan dunia tetapi berkeupayaan juga membimbing kearah kesejahteraan di akhirat.



Di Selangor walaupun kononnya maju, suasana di sini jauh berbeza, Islam semakin terpinggir dan kebejatan sosial semakin menjadi-jadi

Seluruh masjid dan surau-surau di Selangor untuk pengetahuan anda semua walaupun seni binaan dan belanjanya jauh mengalahkan Kelantan, akan tetapi suasananya sugul dan berbeza sama-sekali. Di Selangor pengurusan dan pentadbiran masjid dan surau tidak lagi dijalankan oleh anak-anak kariah. Kuasa ini telah dirampas dengan rakus oleh Jabatan Agama dan kini aktiviti masjid dan surau hanya boleh dijalankan berdasarkan kemahuan dan kehendak JAIS.

Satu ketika dahulu aktiviti masjid dan surau di negeri Selangor terutama di Lembah Kelang adalah antara yang paling aktif. Orang-ramai yang dahagakan ilmu dan cintakan Islam berbodong-bondong ke sana untuk mengikuti majlis-majlis ilmu, forum perdana, qiyamullail, kuliah subuh dan seumpamanya. Kini sejak JAIS berkuasa, masjid dan surau bertukar menjadi lesu dan sunyi.

Kerajaan Selangor melalui JAIS telah mengharamkan para ulamak tertentu dari menyampaikan ceramah di masjid dan surau semata-mata kononnya kerana mereka ini mewakili parti pembangkang. Bayangkan bekas Mufti Selangor, Dato Ishak Baharom, yang dihormati dan disegani oleh umat Islam dalam negara, di Brunei dan Singapura, anak jati Selangor, pun diharamkan dari berceramah di mana-mana masjid dan surau di Selangor!

Demikianlah suasana Islam Hadhari di Selangor.

Di Selangor walaupun Menteri Besarnya bergama Islam sebagaimana MB Kelantan, namun arak dan judi tidak dikawal malah semakin mewah dan menjadi-jadi. Kalau di Kelantan kerana patuh kepada tuntutan agama premis judi telah di tutup, Selangor pula memiliki antara premis judi berlesen yang terbanyak dalam negara.

Kedai yang menghidangkan arak di Kelantan dikawal, dengan berbagai syarat dan larangan, hanya untuk hidangan masyarakat bukan Islam sahaja sebagaimana perintah kerajaan negeri. Di Selangor jangankan larangan, rakyat Selangor dipaksa berbangga dengan dua buah kilang arak yang terbesar dalam negara malah di rantau sebelah sini.

Premis dan kedai yang menghidangkan arak memang dilarang dari menjual arak kepada masyarakat Islam, akan tetapi atas alasan kurangnya tenaga pihak penguatkuasa, anda boleh dapati anak-anak Melayu Islam termasuklah yang tua-tua dengan senang hati boleh menikmati minuman haram ini di hotel-hotel dan pusat-pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Itu tidak mengambil kira anak-anak Melayu yang bekerja menghidang dan melayan arak di premis-premis ini.

Selain itu ekoran melimpah-ruahnya tempat dan pusat-pusat maksiat ini, gejala sosial khususnya dikalangan remaja Melayu Islam adalah antara yang terparah di Selangor. Dari Pelabuhan Kelang ke Bandar Kelang sehingga Shah Alam, Petaling Jaya, Selayang, Gombak, Ampang dan lain-lain daerah besar, bandingkanlah suasana malam khususnya malam minggu di sini dengan di Kelantan.

Itu pun kita belum berhujah berkenaan gejala rasuah dikalangan ahli-ahli politik dan para pegawai kanan termasuklah kakitangan kerajaan di Selangor. Di Kelantan sejak tahun 1990 anda semua memegang rekod kerana memiliki kerajaan negeri yang terbersih, tidak ada seorang pun anggota EXCO ataupun ahli dewan undangan negeri yang disiasat atau didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah.

Berbeza di Selangor, bekas MB pernah didakwa, bekas Speaker pernah didakwa, kini mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes rasuah seorang bekas EXCO. Apabila pimpinan negeri kotor maka demikianlah juga kakitangannya, kita lihat para pegawai termasuklah dari pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diseret ke mahkamah kerana bahana rasuah.

Oleh itu kesimpulanya berhati-hatilah anda semua. Dalam suasana dikekang oleh kerajaan BN Pusat anda masih boleh terus menjalankan hidup di bawah sebuah kerajaan negeri yang telus, jujur dan bersih dan yang paling penting bertaqwa. Limpahan barakah yang dikurniakan Allah swt lebih bermakna dari maju tetapi sentiasa mengingkari Nya.



Berbanggalah dengan kerajaan negeri yang anda ada dan teruslah Membangun Bersama Islam, Mempertahanakan Kepimpinan Ulamak, jangan tersilap seperti kami di sini.

Undilah PAS dan salam sejahtera.


Dari saya: Roslan SMS





No comments: