Nasib masyarakat Selatan Thai dipinggirkan ASEAN
Saya sengaja berkejang mata untuk melihat adakah isu penting ini akan dibangkitkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke 11 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur. BERNAMA malam tadi melaporkan PM Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata selaku Pengerusi Persidangan:
We strongly condemn such acts of terror, we condemn acts of terrorism in all its forms and manifestations. We continue to reject any attempt to associate terrorism with any race, religion, nationality and ethnic group.
Kami mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan, kami mengutuk serangan keganasan dalam apa sahaja bentuk dan tindakan. Kami akan terus menentang sebarang usaha untuk mengaitkan tindakan keganasan dengan mana-mana kaum, agama, kerakyatan dan kumpulan ethnic.
Sayang isu keganasan di Selatan Thai yang melibatkan umat Islam minoriti tidak disentuh. Jika kita bersungguh mahu mendesak Myanmar umpamanya untuk membebaskan Suu Kyi dan kembali ke jalan demokrasi, mengapa kita tidak boleh mengusulkan sesuatu penyelesaian yang bermakna di Selatan Thai.
Penyelesaian bermakna yang dapat menyelamatkan nyawa dan maruah umat Islam yang sekian lama tertindas dan hidup dalam kebimbangan.
Siapa lagi yang akan membangkitkan isu ini jika tidak Malaysia yang rakyatnya memiliki pertalian darah dan persaudaraan dengan masyarakat terlibat.
Kita tidak lagi sanggup melihat berulangnya Peristiwa Berdarah di Takbai dimana umat Islam yang berpuasa telah diperlakukan dengan begitu hina dan menyayat hati sekali. Kita tidak mahu lagi melihat umat Islam di kawasan tersebut lari lintang-pukang menyeberang masuk ke sempadan kita lantaran hidup dalam ketakutan.
Apa lagi forum yang sesuai jika tidak melalui ASEAN yang kebetulan kita selaku Tuan Rumahnya kali ini. .OIC yang sepatutnya membela nasib dan kebajikan masyarakat Islam sedunia, malangnya sekadar membisu sehingga hari ini, dan ternyata tidak boleh diharapkan!
Syabas kepada Sekretariat Pemuda Islam Asean (Amsec) yang begitu prihatin membangkitkan bukan sekadar isu di Selatan Thai, tetapi juga konflik di Aceh dan Mindanao yang melibatkan umat Islam. Mengapa penyelesaian diplomatik tidak diusahakan dan diberi perhatian oleh ASEAN?
Dalam isu masyarakat Islam di Selatan Thai umpamanya, Pengerusi AMSEC Tuan Hj. Mahfuz Omar telah berkata:
Asean perlu melihat tragedi di Selatan Thai sebagi isu bersama bukannya masalah dalaman Bangkok kerana itu Asean perlu membincangkan isu ini di Kuala Lumpur dan mengambil ketetapan untuk mengatasinya termasuk membentuk pasukan tentera pengaman atau pemantau di Selatan Thai
Tak perlulah kita pergi jauh dengan menghulurkan leher kita dalam konflik di seberang sana benua, sedangkan yang berada di depan mata, kita diam membisu. Malaysia sepatutnya mengunakan pengaruhnya terutama sebagai tuan rumah untuk membuka perbincangan dalam isu ini. Kita sepatutnya serius menutup pintu dan ruang bagi konflik keganasan dengan mengusulkan perdamaian.
Apabila konflik seumpama ini dibiarkan tanpa pembelaan diplomatik maka tatkala itulah keganasan akan bermaharajalela. Ketika itu sia-sia sahajalah kalau sekadar mahu mengutuk dan mengkritik. Lihatlah apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan dan Timur Tengah hari ini. Dalam hal ini kita semua perlu ketepikan kepentingan politik ataupun apa sahaja, dan bersama menggembeling tenaga untuk membentuk sebuah rantau yang aman dan sejahtera.
No comments:
Post a Comment