Thursday, December 22, 2005

Isu Allahyarham Korporal Mohammad:
DAP tak perlu bermain dengan api

Berdasarkan rekod yang ada pada pihak JAWI dan kesaksian rakan-rakan dan para pegawai di Angkatan tentera Malaysia dan KAGAT Allahyarham Korporal Mohammad bin Abdullah atau M. Moorthy telah memeluk Islam diwaktu hayatnya.

Takdir menentukan yang Allah swt telah menjemputnya dalam keadaan ramai dikalangan ahli keluarga dan kenalannya tidak berkesempatan mengetahui darihal perubahan kepercayaan dan aqidahnya itu.

Isu ini bukan konspirasi, isu ini bukan isu perkauman, isu ini bukan disengajakan, ianya adalah masalah seorang warganegara Malaysia berbangsa India, bekas anggota keselamatan, yang asalnya dari keluarga Hindu tetapi kemudiannya telah memeluk Islam, bukannya tanpa pengetahuan orang-ramai, pengislamannya cukup syarat dan disaksikan ramai, masalahnya beliau memilih untuk tidak memaklumkan ahli keluarganya, mereka yang dikelilingnya.

Pasti Allahyarham ada sebab-sebabnya. Pasti Allahyarham yang berusia 36 tahun itu telah memikirkan semasak-masaknya perkara ini. Apa pun itu hak beliau, hak yang dijamin oleh perlembagaan dan undang-undang, dan tidak ada sesiapa yang memiliki kuasa untuk menghalang atau menarik-balik hak tersebut.

Dalam hal ini saya kesal dengan kenyataan akhbar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang boleh didapati di :



http://www.malaysia-today.net/Blog-s/2005/12/army-corporal-m-moorthys-conversion-to.htm

Kata Guan Eng:

Tidak ada sesiapa yang dapat memahami mengapa pihak Tentera dan pihak berkuasa agama enggan memaklumkan darihal pengislamana bekas hero Everest ini. Adakah kerana mereka bimbang akan penentangan kaum keluarga terhadap agama barunya. Itu tidak sepatutnya terjadi kerana imannya sepatutnya teguh, cukup teguh menahan tekanan dari semua pihak termasuk kaum keluarga.

DAP berharap agar pihak yang berkenaan dapat bertindak dengan penuh ihsan dan menyerahkan mayat si mati kembali kepada pangkuan keluarganya, tempat di mana beliau telah selama ini hidup sebagai seorang Hindu.

Terbukti berdasarkan peruntukkan undang-undang yang ada, sebagaimana yang dikemukakan oleh pihak JAWI dan KAGAT, Allahyarham meninggal dalam keadaan beragama Islam, maka sepatutnya kaum keluarga termasuklah Guan Eng dan DAP sendiri menghormati hakikat ini berdasarkan pilihan yang dibuat oleh si mati.

Pihak JAWI dan KAGAT sekadar melaksanakan tanggungjawab mereka menurut peruntukkan undang-undang dan berdasarkan peraturan yang dipakai oleh mereka yang menganut agama Islam.

Dalam hal ini membenarkan mayat si mati dikebumikan dengan cara yang selain dari peraturan Islam sesungguhnya merampas hak si mati dan menghina umat Islam keseluruhannya.

Pasti Guan Eng dan DAP lebih bijak dari mahu bermain api dan melukakan hati umat Islam yang sedang memerhati perkembangan kes ini dengan penuh kesabaran.

No comments: