Bendera bedebah Israel di PWTC:
Segera turunkan sebelum ianya diturunkan orang
Ini bukan isu kecil. Ini bukan isu main-mainan. Ini bukan darihal konflik Umno lawan PAS. Ini adalah isu serius, melibatkan persoalan maruah dan harga diri umat Islam. Ia melibatkan semua pihak samada Umno, PAS, setiap individu Muslim di negara ini.
Sesungguhnya buat masa ini Umno adalah tulang-belakang Barisan Nasional. Parti yang terkuat dalam gabungan parti yang memegang tampuk kuasa di peringkat Persekutuan. Umno rata-rata dianggotai oleh ahli-ahli berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Soalnya, bagaimana dalam keadaan dan kedudukan yang sedemikian, Umno boleh mengizinkan dikibarkan bendera negara yang merupakan musuh nombor satu umat Islam sejagat itu? Bagaimana Umno boleh mengizinkan berkibarnya bendera negara haram Israel, yang telah membunuh, mencederakan dan menjadikan pelarian akan umat Islam Palestin yang pada buminya terpacak tanah suci Masjid al Aqsa, masjid ketiga terpenting dalam dunia Islam!
Hilangkah sensitiviti Umno terhadap perkara ini? Apakah Umno sudah terlupa akan darah dan nyawa umat Islam samada dewasa, kanak-kanak maupun bayi yang telah dengan sewenang-wenangnya dicabut dengan rakus oleh rejim ganas Israel ini? Apakah Umno tidak pernah melihat keganasan yang ditimpakan terhadap mereka yang sujud menunaikan solat di masjid yang di Mikraj Rasulullah saw itu?
Prof Muhsin Muhammad Sulayman Salih, dari Jabatan Sejarah dan Budaya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di dalam buku kecilnya OUR BELOVED PALESTINE : A BRIEF HISTORY (edisi tiga : 2005) telah menulis:
Pada petang 14 Mei 1948, negara Israel telah diisytiharkan. Mereka ini telah mengalahkan tentera-tentera Arab yang ketiadaan pemimpin dan pengalaman. Puak Zionis ini telah menduduki kira-kira 70 peratus bumi milik rakyat Palestin, menghalau keluar kira-kira 800 ribu dari 925 ribu penduduk Palestin di sana, memusnahkan 478 dari 585 perkampungan Palestin, dan mencetuskan sebanyak 34 insiden penyembelihan terhadap rakyat Palestin. Jordan di tebing Barat menyelia saki-baki wilayah Palestin, manakala Semenanjung Gaza di bawah kawalan Mesir (ketika itu). Dan bagi pihaknya, PBB (UN) telah mengiktiraf dan menerima keanggotaan Israel.
Sebak dan hancur hati umat Islam dirantau kita (tanpa mengira fahaman politik) apabila melihatkan tindakan dan perlakuan biadap regim Israel terhadap umat Islam Palestin dan penduduk Arab. Apakah kepentingan dagang dengan negara pengganas ini kalau pun ada kepentingannya boleh mengatasi dan melangkau isu maruah dan kesucian Islam?
Mengizinkan pengibaran bendera Israel di ibupejabat parti Melayu Islam yang terbesar dalam negara seolah-olah mencerminkan Umno tidak lagi kisah akan penderitaan rakyat Palestin. Umno sudah bersedia mengiktiraf Israel, satu tindakan yang tidak pernah dipersetujui oleh mana-mana pemimpin atau umat Islam Malaysia sejak dari tanggal kemerdekaan negara lagi!
Ingat, Allah swt telah berfirman kepada kita, hamba-hambanya dalam surah al Baqarah ayat 120, maksudnya:
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka (Yahudi dan Nasrani itu) sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Dalam hal ini saya kira jika Umno ambil peduli akan sensitiviti umat Islam tempatan (yang saya percaya termasuklah ahli-ahli biasa Umno) maka Umno perlu bertindak segera menurunkan bendera negara haram itu.
Selagi ia berkibar maka selagi itulah Umno samada secara langsung ataupun tidak menyatakan yang ia mengiktiraf negara haram Israel itu.
Sekadar untuk renungan kita berikut sata siarkan petikan wawancara JIM International bersama Dr Azzam Tamimi : dari Muslim Association of Britain , yang juga selaku Pensyarah Politik Islam Universiti Leicester (2004)
JIM: Akhir sekali, apakah yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia di dalam usaha membantu usaha membebaskan bumi Palestin?
AT: Pertamanya, semua rakyat Malaysia, tidak kira agama apa pun mereka, perlu memahami isu Palestin ini sebagai isu kemanusiaan sejagat. Isu penindasan rakyat yang tidak berdosa oleh sekumpulan pengganas yang bertaraf negara dan antarabangsa. Isu kezaliman yang dilakukan oleh sebuah rejim ke atas rakyat sebuah negara yang berdaulat. Isu penjajahan ke atas sebuah negara yang mempunyai rakyatnya yang sendiri.
Bagi umat Islam pula, isu Palestin adalah isu aqidah, isu yang semua individu muslim, tidak kira dari mana pun mereka, mereka akan dipersoalkan di akhirat nanti. Adalah menjadi tanggung jawab anda untuk menyebar luaskan kesedaran umat dan manusia terhadap hakikat sebenar isu ini. Gunakan media, gunakan kemudahan IT yang membolehkan anda berhubung dengan manusia di serata dunia. Wujudkan public opinion, bukan sekadar di Malaysia, malah di seluruh dunia bahawa Palestin perlu dibebaskan, dan Zionis adalah pengganas dan penjenayah nombor satu dunia.
Segeralah bertindak wahai saudara-saudara ku dalam Umno, jika tidak demi maruah agama dan bangsa WAJIB kami yang lain memanjat PWTC untuk kami turunkan sendiri bendera simbol keganasan terhadap umat Islam sedunia itu. Jangan kerana Israel kita biarkan ini berlaku!
No comments:
Post a Comment