Thursday, December 22, 2005

Kes Koporal Mohamad Abdullah aka Moorthy:
Bertegaslah pada tempatnya

Saya terkilan apabila melihat kenyataan peguam kepada balu Allahyarham yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3 dan NTV7 semalam.

Kedua-dua peguam A. Sivanesan dan M. Manoharan atas arahan anak guam mereka telah membuat beberapa permohonan di mahkamah semalam. Antaranya memohon injuksi menahan pihak JAWI dari menuntut mayat Allahyarham untuk dikebumikan, memohon pengisytiharan mahkamah bahawa dokumen penukaran agama dari Hindu ke Islam yang dikeluarkan oleh JAWI adalah tidak sah dan terbatal dan bahawa anak guam mereka Kaliammal adalah isteri Allahyarham yang sah sehingga tarikh kematiannya.



Allahyarham Koporal Mohamad Abdullah ataupun Moorthy adalah bekas wira negara, rakyat Malaysia pertama yang pernah berjaya mendaki Gunung Everest

Kedua-dua peguam itu semalam telah mengeluarkan kenyataan berkenaan permohonan mereka itu yang saya kira rata-rata menyinggung dan menghiris perasaan umat Islam. Saya mengatakan demikian kerana menurut laporan akhbar (khasnya UTUSAN, akhbar berbahasa Inggeris nampaknya memilih untuk menyepi) kita difahamkan pihak JAWI telah pun mengesahkan bahawa Allahyarham telah memeluk agama Islam pada 23 April 2004 di Unit Kor Agama Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan.

Oleh itu apabila kedua-dua peguam dengan ghairah menyatakan secara terbuka bahawa Allahyarham tidak pernah ke masjid, tidak pernah berpuasa, tidak pernah mengamalkan adat istiadat (amalan) Islam semasa hidupnya, mereka seolah-olah mencabar pengislaman Allahyarham, dan menganggap kalaupun Allahyarham telah memeluk Islam, dia pasti telah murtad!

Bagi saya kedua-dua peguam termasuklah kaum keluarga Allahyarham yang masih belum Islam perlulah menghormati sensitiviti umat Islam. Jangan kerana terlalu ghairah dalam tuntutan masing-masing sehingga berani memijak dan menghina Islam sebagai sebuah agama yang dianut oleh majoriti rakyat di negara ini.

Bagi saya rakan-rakan kita dari Angkatan Tentera perlulah dipuji kerana segera membuat tuntutan terhadap mayat Allahyarham itu. Sesungguhnya isu utama di sini adalah terbukti melalui dokumen dan persaksian bahawa Allahyarham telah memeluk Islam semasa hayatnya, maka di sana menjadi tuntutan FARDHU KIFAYAH terhadap kita yang hidup (tak kiralah Umno atau PAS atau sesiapa sahaja yang Islam) bagi memastikan jenazah Allahyarham disempurnakan menurut hukum Islam.

Masalah keluarga yang tidak berpuas hati, itu hak mereka, dan mereka bolehlah membuat tuntutan atau mencabar kesahihan dokumen pengislaman Allahyarham melalui proses undang-undang. Walaubagaimanapun hak kita dan hak si mati sebagai seorang Islam jangan pula dinafi atau dilengahkan.

Oleh kerana berdasarkan dokumen yang ada khasnya yang melibatkan Jabatan Agama Islam Wilayah, dan sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengarah JAWI dalam UTUSAN hari ini:

Jabatan Agama juga bukan sahaja merupakan agensi kerajaan, malah satu badan yang autoriti bagi apa juga masalah umat Islam di negara ini

maka mayat Allahyarham WAJIB dibebaskan oleh pihak Hospitak KL (HKL) untuk segera dikebumikan. Proses undang-undang boleh berjalan, tetapi proses hukum Allah juga perlu dijalankan dengan diberi keutamaan.

Saya tidak bermaksud mahu menyinggung hak atau tuntutan mana-mana pihak namun saya merasakan demi maruah Islam dan umatnya, JAWI yang bertanggungjawab terus kepada SPB Yang Dipertuan Agung perlu diberikan kebebasan dan laluan untuk menjalankan tugas mereka. Berlembutlah dimana yang perlu dan bertegaslah dimana perlu, jangan sampai Islam menjadi bahan dagangan, bahan tawar-menawar.

No comments: