MAS lebih mulia dari Dewan Negara
Ungkapan DEWAN YANG MULIA INI sering kita dengar apabila mengikuti perbahasan ataupun ucapan ahli-ahli dewan di Parlimen samada di Dewan Rakyat maupun di Dewan Negara. Maksud ungkapan itu adalah bagi mencerminkan betapa tingginya kedudukan dan taraf dewan tersebut sebagai salah sebuah badan perundangan dan perhimpunan wakil-wakli rakyat yang tertinggi dalam negara (samada melibatkan wakil yang dilantik secara langsung ataupun tidak langsung).
Semalam semasa sessi Dewan Negara ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2006 untuk kementerian beliau Timbalan Menteri Penangkutan Tengku Azlan Sultan Abu Bakar telah diajukan persoalan bertalu-talu berkenaan krisis pengurusan yang sedang dihadapi oleh syarikat penerbangan negara MAS.
Tengku Azlan memaklumkan beberapa penemuan kontroversi yang berlaku dalam pengurusan lama MAS (walaupun bagi setengah-setengah pihak mungkin ianya bukanlah dianggap baru). Antara lain:
3 buah lukisan yang menghiasi dinding di pejabat Pengerui MAS yang bernilai RM1.5 juta. Menurut Tengku Azlan ianya bertujuan menaja taraf premis (pejabat Pengerusi) berkenaan.
Pengurus Kanan MAS Chris Andrews, seorang warga asing yang dibayar gaji RM7,525 sehari! (bersamaan hampir suku juta sebulan ataupun RM2.7 juta setahun!) Menurut Tengku Azlan gaji demikian sama dengan bayaran gaji untuk pengurus-pengurus kanan lain dari segi pakej dan statusnya?
Bagi saya jawapan-jawapan Timbalan Menteri berkenaan sungguh lemah dan tidak meyakinkan. Apa guna menjaga taraf premis dengan lukisan berharga RM1.5 juta sedangkan syarikat kerugian beratus juta? Apa hebatnya warga asing tersebut sehingga gajinya lebih lumayan dari yang diterima oleh Perdana Menteri sendiri?
Tidak hairanlah apabila ada para senator yang tidak berpuas hati dengan jawapan Timbalan Menteri berkenaan, UTUSAN Melaporkan:
Tengku Azlan bagaimanapun enggan menjawab soalan Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang mencelah meminta penjelasan kerana tidak puas hati dengan jawapan mengenai pembelian lukisan yang mencecah jutaan ringgit itu.
Dan yang sungguh aneh adalah apabila Timbalan Menteri berkenaan membuat kenyataan:
Anggota-anggota Dewan Negara yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang beliau berikan boleh bertanya terus kepada Pengerusi MAS, Datuk Munir Majid dan Pengarah Urusannya, Idris Jala pada pertemuan malam ini.
Saya kira jawapan ini sungguh tidak bertanggungjawab, apa lagi datangnya pula dari seorang Timbalan Menteri yang mewakili kerajaan Persekutuan di dalam Dewan Negara. Munir Majid dan Idris Jala tidak bertanggungjawab kepada Parlimen, yang memiliki tanggunjawab dan akauntabiliti adalah pihak kerajaan.
Sepatutnya Timbalan Menteri meminta tanguh dan mendapatkan lebih maklumat untuk dibentangkan dalam dewan dan bukannya menyuruh para senator terkejar-kejar ke luar bagi memperolehi maklumat dari pihak-pihak berkenaan dengan cara sendiri.
Mana yang lebih mulia sekarang, dewan atau MAS atau Timbalan Menteri atau sudah hilang segala-galanya?
No comments:
Post a Comment