TAWAN KELANTAN MELALUI PEMBANGUNAN
PRESIDEN BARU LAGU LAMA
Berakhirlah sudah Konvensyen Kemajuan Kelantan anjuran Umno negeri. Konvensyen dua hari itu disertai oleh lebih 1,500 peserta dengan sumbangan idea dan pemikiran oleh lebih 100 orang ahli akademik, professional dan tokoh korporat. Majlis penutupannya disempurnakan oleh Presiden Umno semalam.
Dengan majlis sambutan gilang gemilang, bunga manggar yang dibawa oleh gadis-gadis genit dan kehadiran beribu orang termasuk anak-anak pondok yang lengkap berjubah putih dan berserban (bagi membuktikan golongan ulamak turut menyokong Umno) Pak Lah telah menyampaikan amanatnya.
Nada dan bunyi ucapan beliau tidak jauh berbeza dengan nada bekas Presiden Umno Dr Mahathir yang juga telah berkali-kali mencuba untuk merampas kembali Kelantan dari PAS sejak 1990 melalui pelbagai taktik. Mahathir sendiri pernah menjadi Ketua Perhubungan Negeri, kemudian melantik Ku Li dan kemudian Mustapha Mohamad namun tidak juga berjaya merebahkan kerajaan PAS. Dan kini giliran Pak Lah pula.
Kata Pak Lah:
Tidak ada gunanya memiliki idea ataupun pelbagai rancangan sekiranya sikap rakyat masih sama. Sekiranya mereka mahukan perubahan, mereka mesti memberikan sokongan penuh kepada Barisan Nasional.
Maka dinyanyikanlah kembali lagu-lagu pembangunan, kekayaan, kemajuan semuanya dengan harapan agar akan melilihlah air liur rakyat Kelantan dan akibatnya mereka akan tergiur dan bertindak menerajang keluar Tok Guru Nik Aziz dan rakan-rakannya dalam kerajaan negeri kini dan menggantikannya dengan Annuar Musa dan rakan-rakan. Kalau rakyat Kelantan bertindak demikian maka Kelantan akan serta merta dibangunkan, dikayakan dan semua orang akan menjadi senang!
Aneh Mahathir pun pernah menjanjikan demikian namun Tok Guru dan PAS terus memerintah masuk penggal yang ke empat. Apa rakyat Kelantan tak mahu majukah? Rakyat Kelantan rela hidup susah kah?
Jawapannya rakyat Kelantan sebenarnya bijak dan matang. Mungkin pembangunan yang mereka terima tidak sehebat Selangor dan Wilayah Persekutuan, tetapi semasa Umno memerintah pra 1990 dahulu pun Kelantan macam tu juga, tidaklah hebat sehingga mampu duduk di tangga teratas dari segi kemajuan dan pembagunan.
Sebenarnya yang rakyat Kelantan lebih utamakan adalah pemimpin yang jujur, ikhlas, bersih dan telus. Pemimpin yang tidak korap, tidak cenderung menyalah-gunakan kuasa, mengamalkan kronisma dan nepotisma. Inilah keinginan rakyat Kelantan. Mereka kenal siapa dia Annuar Musa, Awang Adek, Zaid Ibrahim dan lain-lain. Dan yang lebih penting mereka juga mengenali Tok Guru Nik Aziz, Ahmad Yaakob, Husam Musa dan lain-lain.
RUMAH NIK AZIZ RUMAH ANNUAR MUSA (dari Malaysia Today & Laman Marhaen)
Jika Umno Kelantan terus memeras dan mengugut rakyat dengan sogokan pembangunan dan kemajuan, saya yakin mereka akan terus menempah kegagalan yang sama yang telah dirasai oleh Dr Mahathir dulu.
Eloklah saya fikir Annuar dan rakan-rakannya merenung apa yang pernah diucapkan oleh Ketua Umno Gua Musang beberapa minggu lalu, dalam majlis yang turut dihadiri Annuar sendiri. Kata Ku Li:
Kita mestilah memajukan Negara atau bangsa menurut keadilan berdasarkan konsep atau prinsip wasatiah itu, iaitu konsep pembangunan ummah berdasarkan keseimbangan atau pembangunan pertengahan atau sederhana antara pembangunan materialistic atau fizikal dengan pembangunan manusia, antara pembangunan Negara dengan pembangunan bangsa. Negara boleh menjadi maju tetapi tidak semestinya bangsa atau penduduknya turut maju, tidak sahaja dari segi keadaan ekonominya tetapi lebih penting lagi dari segi kemajuan moral dan adabnya.
Ku Li turut berkata:
Bagi bangsa Melayu hari ini sangat pentinglah kuasa politik diimbangi dengan kuasa agama, kuasa budaya Melayu yang sejati, selain diimbangi dengan nilai amanah, moral yang tinggi dan peri laku yang bersih dari segala unsur yang boleh merosakkan umat Melayu Islam di Negara ini.
Ringkasnya selagi kita berniat jahat menghamburkan pembangunan dan kekayaan semata-mata untuk meraih kuasa, maka kita telah mempersetankan nilai amanah dan moral malah kita meletakkan nilai bangsa sendiri bagaikan ayam itik yang boleh dibela dan sembelih bila-bila sahaja perlu! Lantas bagaimana mungkin di era Pak Lah Kelantan berubah sebaliknya ia rasanya akan menjadi semakin kukuh dan padu menjunjung nilai budaya bangsa dan agama terus isitqomah membangun bersama Islam di bawah kerajaan PAS yang lebih jujur, telus dan berakhlak berbanding dengan Umno Kelantan di bawah Annuar.
No comments:
Post a Comment