Monday, May 30, 2005

USTAZ NASHARUDIN UNTUK TIMBALAN PRESIDEN:
RESPON DARI KAHERAH (PUTERA AL MARHUM USTAZ FADZIL)

Persaingan merebut jawatan timbalan presiden semakin rancak, tiga tokoh pimpinan parti telah mengesahkan perebutan jawatan tersebut. Seperti mana yang saya tahu perebutan jawatan timbalan presiden tidak pernah dipertandingkan sebelum kematian Al-marhum Ayahanda Ustaz Fadzil Noor. Selepas kematian beliau, perebutan jawatan timbalan presiden mula timbul. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak salah, kerana masing-masing ingin berbakti kepada parti dan ia menyuburkan lagi demokrasi di dalam parti.



Masalahnya, siapakah yang paling layak di dalam perebutan jawatan tersebut? Pada pendapat saya, orang yang paling layak ialah Al-Fadil Ustaz Nasharuddin Md Isa. Saya tidak bermaksud untuk menafikan kehebatan pimpinan yang lain, tetapi ketika saat yang genting ini, perlulah para perwakilan membuat pilihan yang tepat untuk kepentingan dan kemajuan parti dan bukan berdasarkan sikap taasub atau kasih kita terhadap sesorang sebaliknya berdasarkan kriteria dan kelayakan sesorang. Hal ini kerana saya merasakan Ustaz Nasha mempunyai ciri-ciri pimpinan yang berkualiti untuk membawa perubahan kepada perjuangan bersama presiden, dengan akhlak, ilmu, penguasaan dua bahasa iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris serta beliau mempunyai hubungan rapat dengan tokoh-tokoh antarabangsa seterusnya menjadikan beliau tokoh yang paling layak untuk menjawat jawatan timbalan presiden.

Beliau juga merupakan bekas ahli akedemik di dua buah universiti di Malaysia dan ini menunjukkan persamaanya dengan Al-Marhum Ustaz Fadzil yang juga merupakan bekas ahli akedemik. Kita telah menyaksikan sewaktu Al-Marhum Ustaz Fadzil melantik beliau sebagai setiausaha agung dalam usia yang muda. Sudah tentu Al-Marhum mempunyai tujuan dan harapan yang tinggi terhadap Ustaz Nasha untuk menjadi pimpinan tertinggi pada suatu hari nanti, sudah masanya kita semua mengangkat Ustaz Nasha sebagai timbalan presiden.

Pada waktu sekarang kita harus memilih berdasarkan realiti, logikal dan suasana semasa, ini tidak bermakna saya menafikan kehebatan dan kasih sayang saya terhadap pimpinan-pemimpin yang lain kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, cuma waktu dan masa yang memerlukan kita membuat pilihan yang bijak.

Saya ingin mengajak para pejuang Islam serta diri saya untuk membuang sifat taassub kepada seseorang pemimpin. Beralih kepada kebenaran dan realiti, saya teringat kata ulama silam, Syeikhul Islam (Ibnu Taimiah), Adalah kekasih kami tetapi kebenaran lebih kami kasihi.

Sifat beginilah yang kita inginkan,iaitu inginkan kepada kebenaran dan kebaikan. Tetapi kita perlu sedar bahawa apabila kita memilih seseorang ia tidak bermakud kita membenci atau kita menyukai seseorang itu, hadis ada menyebutkan, Letakkan manusia pada tempat yang sesuai baginya, inilah hakikat kehidupan kita meletakkan orang paling layak untuk sesuatu jawatan agar gerak kerja boleh dijalankan dengan baik dan kita semua harus membantu orang tersebut bagi menjayakan cita-cita kita agar mencapai tahap keikhlasan dalam perjuangan.

Saya mengharapkan pada sidang muktamar kelak para perwakilan akan memilih calon yang paling sesuai untuk kedua tertinggi ini. Sekiranya kita tersilap pilih maka kita akan melihat kemunduran parti kita, marilah kita istikharah kepada Allah dan meminta nasihat daripada orang-orang ikhlas siapa yang paling layak.

Saya berpandangan orang yang paling layak adalah Ustaz Nasha. Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat saya dan kita semua mempunyai pendapat masing-masing, kerana mengikut kaedah usul pendapat adalah sesuatu yang boleh dikongsi, jadi tidak mengapa jika di sana terdapat pendapat yang berbeda daripada pendapat saya,kerana kita semua bukanlah maksum, dan yang maksum adalah Nabi sallallah alaihisallam.

Mudah-mudahan kita semua diberi hidayah oleh Allah Taala. Amin.

Daripada,

Fauwaz Fadzil Noor,
Qaherah, Mesir.

No comments: