MENGAPA JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN PAS KINI KRITIKAL
Muktamad demikianlah laporan Harakahdaily berkenaan penarikan diri Dato’ Dr Harun Din dari bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS walaupun mendapat pencalonan yang terbanyak dari kawasan-kawasan PAS seluruh Malaysia. Dengan penarikan diri beliau bermakna proses teka-teki semakin bermain di dalam benak pemikiran ahli-ahli PAS terutama para perwakilan ke mukatamar Jun ini, siapakah yang akan bertanding jawatan nombor dua terkanan itu?
Ustaz Nasharuddin
Sesungguhnya ramai yang dalam PAS mengharapkan suatu perubahan besar dalam saf kepimpinannya ekoran kekalahan besar parti itu dalam pilihanraya umum lepas. PAS memerlukan REPACKAGING bagi meyakinkan masyarakat bahawa ianya relevan dan merupakan alternatif penyelesaian yang mampu dan tepat kepada Umno dan Barisan Nasional.
Masyarakat alaf baru ini bukan sekadar melihat kepada FORM ataupun bentuk tetapi turut mahu menilai SUBSTANCE yang diwakili oleh mereka yang mengepalai parti. Islam dan PAS memang sinonim namun masyarakat pengundi kini tidak sekadar tergerak untuk mengundi PAS hanya kerana ia parti Islam pada nama. Masyarakat hari ini mahu turut diyakinkan dengan kemampuan dan kebolehan para nakhoda yang mengemudi bahtera PAS.
Dan pasti masyarakat pengundi tidak bersalah kerana membuat tuntutan sedemikian kerana ianya mencerminkan kedewasaan dan kematangan mereka sebagaimana ahli-ahli dan para perwakilan PAS juga tidak salah dalam menuntut agar saf kepimpinan yang dinamik dan bertaqwa memimpinnya bagi memastikan keyakinan masyarakat dipenuhi.
Apa pun bagi ahli-ahli PAS sudah pasti mereka mahu melihat Islam ini akhirnya berjaya dan prinsip serta matlamat perjuangan parti yang mereka perjuangankan selama ini akan dapat direalisasikan. Ini hanya akan dapat dicapai kiranya PACKAGE yang dibawa oleh PAS itu sesuatu yang memikat hati ramai. Islam itu sememangnya sudah cantik dan menarik namun realitinya ia akan menjadi bertambah berseri apabila teraju kepimpinan turut dilihat cantik dan menawan.
Politik berkait rapat dengan persepsi dan penerimaan masyarakat. Oleh kerana PAS bergerak atas wadah politik maka perkara ini perlu pada pemerhatian serius semua pihak khasnya para perwakilan yang akan mencorak masa depan parti.
Bagi saya dengan perkembangan mutakhir ini saya melihat satu-satu tokoh yang mampu merangsang dan memikat sokongan untuk parti dan menjadi gandingan yang padat dan cocok untuk Tuan Guru Presiden adalah Ustaz Nasharudin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS kini.
Ustaz Nasharudin walaupun pada usia yang jauh lebih muda dari calon-calon Timbalan yang lain namun beliau telah diuji. Melepaskan jawatan pensyarah di UKM diketika kariernya dibidang itu sedang bersinar. Berjaya menyerlah sebagai Setiausaha Agung di bawah Almarhum Ustaz Fadzil dan kemudiannya Tuan Guru Presiden. Juga memain peranan yang baik semasa sepenggal di dewan rakyat. Beliau memiliki karisama, mudah digauli dan disenangi oleh kawan dan lawan. Dan dari segi kelayakan beliau saya berani istilahkan sebagai tokoh dua dalam satu iaitu kedua-dua profesyional dan ulamak bersekali.
Saya menulis ini dengan hasrat menyatakan pendirian peribadi saya dalam suasana yang ada kini, jika berkempen namanya, insyallah berkempen secara positif dan penuh jujur serta ikhlas. Saya menghormati tokoh-tokoh lain yang saya sendiri dan saya percaya ramai yang lain hormati dan sayang belaka, namun yang penting kini adalah kelangsungan perjuangan Islam dan kejayaannya. Mudah-mudahan para perwakilan akan dapat memilih yang terbaik antara yang baik-baik dengan penuh rasional dan tanggungjawab insyallah.
No comments:
Post a Comment