Monday, May 09, 2005

DAN MEREKA KATA NIK AZIZ
EKSTRIMIS DAN GENDER BIAS

Setiap kali Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengeluarkan pandangan, pasti akan ada pihak yang memberi reaksi negative terutama mereka-mereka yang kononnya menjuarai pihak itu dan ini. Lantaran kenyataan-kenyataan ikhlasnya sering Nik Aziz dilemparkan pelbagai gelaran dan kata-kata kesat.

Ada yang pernah memanggil beliau, jenis manusia yang tidak membaca, ekstrimis, tokoh yang sering mendiskriminsasi golongan wanita, ultra, ekstrim dan pelbagai lagi yang buruk-buruk.

Pernah apabila beliau mencadangkan agar kerajaan negeri hanya mengambil kerja wanita yang kurang cantik, beliau dikatakan mendiskriminasi wanita cantik sedangkan beliau sebenarnya cuba mengelakkan pemilihan wanita berdasarkan kecantikan semata-mata yang memang lazim merupakan keutamaan dunia pada hari ini.

Pernah apabila beliau mahukan kaunter di pasar-pasaraya diasingkan, demi memelihara kehormatan wanita, beliau dikatakan mahu mengamalkan segregasi dalam masyarakat.

Dan pernah apabila beliau mahu memperkenalkan pakaian menutup aurat untuk jurujual muslim serta yang bersopan untuk yang bukan muslim beliau dituduh cuba mengekang hak kebebasan wanita.

Semalam dalam BERITA MINGGU Nik Aziz memberikan pandangan beliau tentang poligami. Barangkali ramai penentangnya mengharapkan agar Nik Aziz akan mengagung-agungkan amalan ini dan sekaligus menghalakan apa sahaja label yang telah mereka lontarkan terhadap beliau selama ini.

Rupa-rupanya tidak. Sebaliknya Nik Aziz telah menerangkan darihal tuntutan yang perlu sebelum seseorang itu dibenarkan berpoligami dalam Islam. Ianya bukan soal sekadar melayan nafsu tetapi lebih kepada tanggungjawab dan keadilan yang memang sukar ditegakkan. Beliau berkata:

Mengenai kahwin dua, itu isu terlalu peribadi. Kahwin dua atau tiga tiada dalam kepala saya. Yang saya harapkan hanyalah kerja, kalau mengganggu kerja saya, masalah. Kalau kahwin dua, ada giliran, itu dan ini sedangkan saya tiada masa untuk itu. Macam mana nak kahwin dua. Kahwin dua mengundang masalah, lebih-lebih lagi isteri saya begitu memuaskan saya, makan minum dan tidur saya dijaganya dengan baik, buat apa saya fikirkan kepada orang lain.

Pemimpin Pas yang kahwin lebih dia punya pasal selagi caranya halal. Saya tidak kata apa atau tegur, nak kahwin kahwinlah tetapi jaga peraturan yang dibuat oleh Allah, jangan sekadar nak melepaskan nafsu.

Saya yakin ramai wanita Muslim khususnya senang dan boleh menerima dengan baik pandangan Nik Aziz ini. Pentafsiran seumpama ini oleh seorang ulamak terhadap isu poligami yang dihalakan oleh Islam itu sangat dinanti-nantikan. Kalau seorang yang berilmu dan alim umpama beliau pun berhati-hati dalam isu ini bagaimana pula yang jahil kadangkala bersungguh-sungguh mahu mengamalkan poligami?

Nik Aziz turut menyentuh hal kedudukan Muslimat dalam PAS. Para pengkritik selalu melabelkan PAS sebagai parti yang mendiskriminasi wanita, meminggirkan wanita dan pelbagai lagi. Dalam hal ini Nik Aziz berkata:

DALAM Islam yang menjaga dunia ini sama. Wanita bertanggungjawab dalam bidang tertentu, begitu juga lelaki. Dosa pahala bukan kena pada lelaki saja, perempuan pun sama. Ahli syurga bukan lelaki saja, tetapi perempuan juga. Tetapi oleh kerana keadaan semasa, golongan perempuan terpinggir, maka Pas menaikkan semangat dan kerjasama dengan wanita dalam parti. Saya sudah lama melantik senator di kalangan wanita untuk mewakili Kelantan (Senator Siti Zailah Mohd Yusoff dan Senator Wan Ubaidah Omar). Saya tidak lantik lelaki tapi saya lantik perempuan.

Bagaimana PAS dan Nik Aziz sebagai MB di Kelantan dilihat sebagai membelakangkan serta tidak mengiktiraf wanita sedangkan penonjolan wanita di era beliau jauh lebih baik dari dimasa Umno dahulu. Kini PAS ada 2 Senator muslimat, seorang ADUN, ramai ahli-ahli majlis disamping penghulu-penghulu yang telah dilantik dikalangan wanita.

Dan dalam isu pencalonan seorang muslimat sebagai calon Naib Presiden, ianya diusulkan oleh Nik Aziz sendiri sebagai pengiktirafan kepada peranan muslimat di dalam PAS selama ini. Kata beliau biar PAS mendahului Umno dalam memilih seorang wanita dijawatan ketiga tertinggi dalam parti.

Malah dalam PAS sendiri pada hari ini bilangan para perwakilan ke muktamarnya dari kalangan wanita telah mula meningkat sejak sebelum pilihanraya umum 1999. Para perwakilan PAS dengan senang hati memilih tokoh muslimat sebagai ahli jawatankuasa pusat semasa muktamar.

Bagi saya trend ini sangat membimbangkan banyak pihak, tambahan pula kesediaan untuk memberi laluan kepada muslimat serta memartabatkan muslimat dalam hal dan keadaan tertentu datangnya dari seorang tokoh yang selama ini dicap sebagai mebenci dan mendiskriminasi wanita.

Barangkali senak perut pihak-pihak tertentu melihat perkembangan yang dicetuskan dan dipelopori oleh Nik Aziz ini. Apabila Nik Aziz dilihat membela wanita, memartabatkan wanita, maka yang tinggal bagi musuh-musuhnya adalah sekadar mempersoalkan mengapa baru sekarang, mengapa tidak dari dahulu lagi?

Persoalan seumpama ini hanyalah datang dari puak yang telah berputus-asa, tiada modal dan tiada lagi peluru fitnah untuk ditaburkan.

No comments: