GT JEPUN MEMOMOK PEJUANG HAK WANITA
Persidangan NAM mengenai kemajuan wanita dah pun berlalu dengan Deklarasi Putrajaya yang kononnya mahu memperjuang dan membela hak wanita dunia. Dalam tulisan saya di BLOG ini berkenaan persidangan itu saya menyebut bahawa para pejuang wanita jangan sekadar diperalatkan untuk menyerang Islam, masyarakat dan institusi serta amalannya kerana kononnya mendiskriminasi wanita dalam hal-hal tertentu.
Kita perlu buka mata kita lebih luas lagi dan melihat hal-hal lain dimana wanita jelas didiskriminasi, diperalat dan dijadikan bahan dagangan untuk kepuasan nafsu pihak berkepentingan tanpa kita berasa apa-apa. Mengapa perkara yang sangat berleluasa khususnya di Negara-negara maju termasuklah di Malaysia ini tidak diperjuangkan malah digalakkan pula.
Wanita dikenakan pakaian sehalus dan sekecil mungkin, diperagakan untuk mempromosi barangan tertentu yang kadangkala tiada kaitan langsung dengan wanita itu sendiri. Mengapa dan apa tujuan mereka diperalatkan sedemikian rupa, apa para pembeli petrol atau rokok contohnya hanya akan tergiur untuk membeli barangan tersebut apabila melihat wanita diperagakan sedemikian?
Mengapa Menteri Wanita senyap, pejuang-pejuang wanita khususnya yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan tidak bersuara? Wanita dan Puteri bagaimana?
Menurut UTUSAN MALAYSIA hari ini lebih 50,000 orang dijangka membanjiri Litar F1 Sepang untuk menyaksikan Kejuaraan GT Jepun 2005 pada 26 Jun ini. Utusan memuatkan gambar gadis-gadis Jepun yang membuat promosi kejohanan ini. Nak tonton GT atau nak tonton gadis Jepun yang separuh bogel itu nanti?
Apa pandangan Shahrizat Jalil dalam hal ini? Tak mengapa agaknya?
Demikianlah sikap berpilih-pilih kita.Apabila ada usaha untuk memartabatkan wanita dari perspektif Islam dengan kita mensyaratkan mereka berpakaian sopan dan menutup aurat, mengasingkan mereka dari yang bukan mahram, banyak pihak serang dengan alasan kononnya mendiskriminasi dan menyekat hak wanita.
Sekarang contohnya tiga wanita Jepun yang memperagakan dada dan betis ni macam mana, terkecuali atau OK? Sia-sialah Malaysia membakar duit menganjurkan persidangan itu kalau akhirnya begini murah wanita diperlakukan.
No comments:
Post a Comment