GUANTANAMO SIMBOL KEDURJANAAN AMERIKA
Pagi tadi melalui CNN disiarkan secara langsung sidang akhbar hasil pertemuan Setiausaha Negara Amerika Dr Condoleeza Rice dan Menteri Luar UK Jack Straw. Salah satu soalan yang dibangkitkan oleh wakil media adalah berkenaan berita diakhbar Newsweek berkenaan penghinaan terhadap Al Quran yang sengaja dilakukan oleh tentera Amerika bagi mengugut tahanan di Guantanamo Bay.
Ekoran laporan ini demonstrasi besar-besaran telah tercetus di Pakistan dan Afghanistan (yang telah mengorbankan nyawa) serta beberapa Negara Islam yang lain.
Rice menegaskan bahawa berita itu telah memberikan gambaran yang negatif (Newsweek telah pun menarik balik berita tersebut, namun tidak menafikannya) terhadap Amerika dan sekutu-sekutunya. Malah menurut Rice pentadbiran Amerika menghomrati Islam dan amalan-amalannya dan tidak sekali-kali bersetuju dengan sebarang usaha atau langkah menghina Islam oleh mana-mana pihak pun.
Namun Rice tidak pula menyatakan sampai bila kira-kira 520 orang tahanan berbagai bangsa terutama dari Afghanistan dan Pakistan yang ditahan sejak peristiwa September 11 dan camnputangan Amerika ke atas Afghanistan itu akan dibebaskan. Para tahanan ini tidak diberikan hak sebagaimana tawanan perang lain, malah mereka dilayan seumpama haiwan, dan gambar-gambar keadaan mereka telah pun tersebar luas keseluruh dunia.
Mungkin laporan Newsweek itu tidak benar, mungkin benar tetapi cuba digelapkan oleh pentadbiran Amerika, kerana Newsweek mempunyai rekod sebagai majalah politik yang sentiasa tepat dan sahih. Apa pun yang jelasnya umat Islam sehingga kini masih tertanya-tanya apa nasib saudara se Islam mereka di sana yang sehingga kini masih ditahan tanpa bicara.
Kerana itulah apa sahaja berita yang terbit dari Guantanamo pasti akan mendapat perhatian seluruh umat Islam yang prihatin. Sesungguhnya Guantanamo adalah lambang kedurjanaan Amerika di bawah Bush. Amerika yang selama ini merupakan pejuang hak asasi telah tercemar tangannya melalui penjara Guantanamo.
Mudah-mudahan Allah swt memberikan kekuatan kepada saudara-saudara se Islam kita yang dituduh pengganas itu namun tidak pernah dibuktikan secara terbuka. Ya Allah lindungilah mereka.
No comments:
Post a Comment