DISKRIMINASI TERHADAP WANITA
APA SUMBANGAN PERWAKILAN MALAYSIA?
Persidangan NAM mengenai kemajuan wanita telah pun selesai dengan Deklarasi Putrajaya. Deklarasi 50 perkara itu menggariskan bidang khusus yang dibahagikan kepada sembilan isu termasuklah Wanita, Kemiskinan dan Pembangunan Ekonomi; Wanita dalam kuasa dan membuat keputusan; Wanita dan Pendidikan dan lain-lain.
Tetapi rata-rata liputan TV dan akhbar lebih mencerminkan darihal diskriminasi terhadap wanita dalam Negara-negara Islam. Kononnya wanita dalam Negara-negara Islam ramai yang terlepas peluang, diletakkan sebagai warga kelas dua, dinafikan pendidikan dan berbagai lagi.
Namun bagi Malaysia perkara ini jika pun berlaku rasanya tidaklah pada tahap yang membimbangkan. Bagi Malaysia sepatutnya isu ini dilihat pada perspektif berbeza, jika benar kita bersungguh mahu membela dan mempertahankan hak wanita.
Hari ini pada pengamatan saya wanita di Malaysia lebih dieksploitasi sebagai bahan promosi untuk melariskan barang dagangan. Ini yang sepatutnya diutarakan oleh perwakilan Malaysia.
Lihatlah dimana-mana sahaja wanita diperkudakan untuk melariskan barangan atau apa sahaja promosi. Tubuh badan wanita diekploitasi untuk merangsang minat kaum Adam. Tidakkah ini satu isu yang membimbangkan para pejuang hak wanita?
Mengapa perlu ada umpamanya jawatan GRO di Malaysia? Tidakkah kerja GRO itu sekadar melayan tetamu lelaki di kelab-kelab malam, pub, karaoke dan seumpamanya. Tidakkah ini menghina martabat wanita, pasti isteri-isteri di rumah pasti tidak sudi suaminya dilayan demikian rupa oleh wanita lain. GRO ini pula sudah semestinya berpakaian seksi, berbadan seksi dan macam-macam lagi, tidakkah ini memperalatkan wanita? Begitu juga dengan kerja social escort.
Demikian juga para promoter barangan, baik kenderaan, syampu, sabun, alat kosmetik, malah barang-barang mewah. Mengapa lazimnya promoter wanitanya dikenakan pakaian seksi? Menjual barangan atau menjual wanita tadi? Tidakkah ini merendahkan martabat wanita?
Ini tak termasuk lagi podium girls semasa acara-cara sukan termasuklah F1. Mengapa wanita seksi yang perlu diperagakan, mengapa tidak diberikan tugas ini kepada kaum lelaki sahaja?
Kesimpulannya bagi saya sesungguhnya wanita di Malaysia telah lama diperalatkan, dieksploitasi untuk kepentingan golongan kapitalis dan kerajaan, namun semacam ada pengiktirafan bahawa perlakuan seumpama ini tidak mengapa kerana ianya menguntungkan semua pihak.
Sepatutnya kehormatan dan harga diri wanita inilah dijuarai oleh wakil Malaysia dan bukannya memperjuangkan gender equality yang lebih merupakan agenda barat yang banyak tidak terpakai pun dirantau sebelah sini. Jangan kita ghairah meniru-niru orang lain sedangkan masalah dalam Negara lebih rumit, dan perlu diperbetulkan terlebih dahulu.
Biarlah wakil Afghanistan, Iraq atau apa sahaja Negara terbabit berjuang memperbetulkan keadaan wanita dalam Negara mereka. Kita di Malaysia sepatutnya berjuang mempertahankan maruah wanita dalam Negara kita dari digadai dan diperagakan untuk kepentingan golongan kecil. Dijadikan bahan pemuas nafsu oleh binatang-binatang yang rakus dan tidak berakhlak.
Apa ertinya persidangan NAM jika wanita di Malaysia terus diperalatkan?
No comments:
Post a Comment