Thursday, May 12, 2005

TSUNAMI BESAR BAKAL MELANDA UMNO?

Umno menyambut ulangtahunnya yang ke 59 pada tanggal 11 Mei semalam. Majlis rasmi diadakan di PWTC dengan pelbagai anugerah dan gelaran diberikan oleh Presiden Umno kepada tokoh dan individu tertentu.

Umno sebenarnya telah meredah pelbagai hutan belantara dan mendaki serta menuruni gunung dan lurah sepanjang usianya yang lebih setengah abad itu. Presidennya (Dato Onn Jaafar) pernah keluar meninggalkan parti, Ketua Wanita (Khatijah Sidek) kebangsaannya pernah dipecat, Timbalan-timbalan Presiden letak jawatan (Musa dan Ghaffar), seorang Timbalan Presiden dipecat (Dato Seri Anwar Ibrahim) dan pelbagai lagi yang berlaku diperingkat pertengahan dan rendah.

Malah arah perjuangan Umno pun berubah-ubah dari masa kesemasa sehingga Umno kini sudah boleh dianggotai bukan sekadar orang Melayu Islam, orang asli, suku kaum di Sabah sehinggalah masyarakat Cina Sabah (satu ketika dahulu bekas ahli Akar) pun sudah boleh menganggotai Umno. Akibatnya senikata lagu Umno yang berbunyi:

Kita anak Melayu terpaksa ditukar kepada Kita rumpun Melayu

Kemudian kita lihat sejak dari zaman Dr Mahathir Umno mula diserang satu penyakit satu barah yang yang sangat jijik. Politik wang satu bentuk amalan jijik yang menurut Prof Di Raja Ungku Aziz penerima anugerah Melayu Terbilang sempena Hari Umno adalah satu bentuk rasuah. Ianya terus menyerang Umno sehinggalah ke zaman Pak Lah ini.

Tapi apa yang hendak saya coretkan di sini adalah sejak akhir-akhir dikalangan ahli-ahli Umno sendiri terdapat semacam satu sindrom tidak berapa selesa, tidak berapa sesuai, rimas duduk di dalam Umno. Samada kita sedari ataupun tidak ada sekelompok dalam Umno mungkin kerana pelbagai perkembangan luar kawalan yang sedang berlaku dalam Negara, mula menimbang-nimbang untuk samada berihat, bersara atau keluar terus dari Umno.

Saya lihat khususnya di Kelantan riak-riak ini sedang berlaku. Dari Gua Musang ke Pasir Mas, perlahan-lahan ianya sedang membakar. Kebetulan semalam semasa Umno merayakan ulangtahunnya bekas Timbalan Presidennya Tun Ghaffar Baba membuat kunjungan hormat kepada MB Kelantan Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Demikian juga kita lihat di Selangor sejak bekas Timbalan MBnya menyertai PKR berlaku riak-riak kecil di negeri itu.

Mungkinkah ini semua akan berakhir dengan satu tsunami politik besar lebih besar dari yang melanda semasa Dato Seri Anwar dipecat dahulu?

Nampak gaya kiranya situasi ini berterusan dan Allah swt menghendakinya pasti akan berlaku suautu perubahan besar dalam senarion politik Negara. Mudah-mudahan kea rah kebaikan kali ini.

No comments: