Thursday, May 05, 2005

HARGA PETROL DAN DIESEL NAIK
SATU LAGI PROJEK KERAJAAN BARISAN NASIONAL

Setelah naik 5 sen seliter pada bulan September tahun lalu kerajaan semalam mengumumkan sekali lagi kenaikan harga diesel dan petrol kali ini sebanyak 20 sen dan 10 sen seliter setiap satu pula. Iaitu kenaikan kedua dalam tempoh 8 bulan.

Alasan yang diberikan oleh kerajaan bahawa kenaikan ini adalah sebagai langkah untuk membendung peningkatan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk produk petroleum. Sekiranya kenaikaan harga ini tidak dilakukan bermakna kerajaan akan menanggung subsidi sebanyak RM8.9 billion bagi tahun 2005 ini.

Namun kita tidak dimaklumkan adakah ini kenaikan yang terakhir bagi tahun ini atau berapakah kali lagikah kenaikan akan dibuat bagi tujuan ini? Yang jelasnya kenaikan ini sudah pasti akan ada kesan limpahannya dimana kos yang ditanggung oleh industri-industri dan perkhidmatan yang terbabit pasti akan turut naik.

Pihak kerajaan tidak boleh menyalahkan umpamanya syarikat pengangkutan jika mereka pula menaikkan kos tambang mereka oleh kerana kenaikkan ini pasti turut menjejaskan mereka secara langsung. Bermakna apa pun keadaannya para penggunalah iaitu rakyat kebanyakkan, kita semua, yang bakal memikul semua bebanan ini. Kerajaan mahu menggugurkan bebanannya menanggung subsidi yang besar, maka dihempapkanlah bebanan itu atas kepala rakyat, tiada cara lain.

Kalau demikianlah sempitnya kedudukan kerajaan, sepatutnya dihempapkan terus RM8.9 billion tanggungan setahun itu terus sahaja ke atas kepala rakyat. Dari naikkan 10 sen mengapa tidak terus dinaikkan ke 90 sen atau RM1 seliter. Sekurang-kurangnya rakyat tahu selepas ini tidak ada alasan lagi untuk kerajaan menaikkan harga diesel dan petrol. Bolehlah rakyat berkira-kira mahu bermotor atau berbasikal sahaja ke pejabat!

Kalau kerajaan sudah tidak larat lagi berkebajikan kepada rakyat, subsidi pun sudah tidak mampu lagi ditanggung, kenaikan gaji yang dituntut CUEPACS tidak boleh diambil kira, tol naik kerana subsidi juga maka eloklah serahkan kembali semua bebanan ini kepada rakyat. Kerajaan BN diberi mandat besar oleh rakyat pada pilihanraya umum lalu dengan harapan nasib dan kebajikan mereka dipelihara. Rupanya kemenangan selesa ini digunakan untuk lebih membebankan rakyat yang kini sudah tidak boleh bersuara lagi.

Jangan dibandingkan harga petrol dan diesel di Malaysia dengan harga di Negara jiran semata-mata untuk menghalalkan kenaikan ini.

Kalau perbandingan dibuat dengan Singapura harus diingat Singapura tidak mengeluarkan petroleum dan pendapatan rakyat di Singapura juga adalah antara yang tertinggi di rantau ini. Kalau dibuat dengan Thailand, harus diingat kos hidup rakyat di Thailand adalah rendah berbanding dengan Malaysia, barang dan makanan murah, tidak seperti di sini.

Janganlah menggunakan alasan yang dangkal dan lemah serta merendah-rendahkan daya pemikiran rakyat. Kini apa pun yang diperkatakan bebanannya telah pun dialihkan kepada rakyat, maka tanggunglah beban ini selama mana anda larat ataupun sehingga kuasa diberikan kembali kepada tangan anda untuk membuat perhitungan pada pilihanraya umum yang akan datang.

Tradisi membela rakyat!

No comments: