Wednesday, May 25, 2005

BERCAKAP BOHONG LAMA-LAMA JADI MENTERI

Dalam masa tak sampai 48 jam satu berita yang dipetik dari seorang Timbalan Menteri boleh berubah-ubah dan akhirnya dari perkara yang serius dan besar menjadi kecil dan hilang nilai. Dari isu mengancam keselamatan Negara yang kritis dan sebesar gunung akhirnya bertukar menjadi kecil sekecil semut yang halus. Demikianlah al kisahnya polimik kumpulan militan baru yang dicetuskan oleh Noh Omar Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.


Ikan duri, Noh dan Ikan Senohong

Dalam akhbar-akhbar tempatan Isnin lalu Noh dilaporkan sebagai berkata Negara diancam oleh sekumpulan militan yang sedang dipantau pihak keselamatan. Akta Keselamatan Dalam Negeri yang Suruhanjaya Di Raja berkenaan Polis cadangkan untuk disemak semula itu, kononnya mungkin digunakan untuk mematahkan ancaman kumpulan ini.

Gegak-gempita bunyinya. Tidakkah menghairankan sesuatu yang demikian besar ancamannya kepada Negara, tiba-tiba kerajaan memilih sekadar seorang Timbalan Menteri yang tidak pun duduk dalam kabinet untuk membuat kenyataan.

Dan seperti diduga belum pun sempat berita kontroversi itu menggelegak panas, Noh berpatah arah dan menyatakan beliau kononnya telah disalah petik. Kononnya yang beliau maksudkan bukannya kumpulan militant tetapi kumpulan ajaran sesat.

Dalam waktu yang sama Timbalan PM yang juga Menteri Pertahanan mengeluarkan sindiran bahawa dalam hal perisikan sepatutnya kita tidak banyak bercakap!

Hari ini kredibiliti Noh terus disagat apabila Menteri di JPM Dr Abdullah Mat Zain menyatakan:

Kegiatan kumpulan ajaran sesat dalam negara pada masa ini adalah terkawal dan tidak membimbangkan

Bermakna kumpulan militan pun tidak, ajaran sesat pun tidak, oleh itu mengapa begitu celupar mulut Noh mahu menakut-nakutkan Negara dan rakyat? Tidakkah ini kelak bakal menghantar mesej yang negatif kepada para pelabur dan dunia asing. Dalam waktu kita bersungguh mahu menerangkan kepada dunia bahawa Malaysia ini sebuah destinasi yang selamat, tiba-tiba kita ada seorang Timbalan Menteri yang berlagak lebih dari Pak Pandir.

Barangkali ancaman sebenar adalah meletakkan Noh sebagai seorang Timbalan Menteri. Benarlah apabila orang moden memperkenalkan bidalan baru:

Siakap senohong gelama ikan duri. Bercakap bohong lama-lama jadi menteri!

No comments: