Sunday, May 22, 2005

MENGENALI PEMIMPIN MELAYU ISLAM YANG SEJATI

Menelaah MINGGUAN MALAYSIA hari ini saya dapat mengumpulkan persepsi kepimpinan yang berbeza dari tiga pemimpin Melayu yang berbeza melalui tiga liputan berita yang berbeza.

Tiga pemimpin yang dimaksudkan adalah Pak Lah, Syed Razak MB Kedah dan Tok Guru Nik Aziz.

Pak lah di dalam perutusan sempena Hari Wesak menyatakan:

Dengan berpandukan ajaran agama yang kita anuti, kita dapat memastikan Negara ini terus ditadbir secara beramanah, adil dan saksama.

Syed Razak pula dalam temuramah khasnya menyebut:

Dunia politik ini macam duduk berumah di tepi laut. Kita terdedah kepada angin dan ribut, dan kalau datang tsunami habis kena sapu semua sekali (ketawa).

Manakala Tok Guru Nik Aziz juga dalam wawancara khas yang lain menyebut:

Saya duduk di atas kerusi Menteri Besar serupa saya duduk di atas sejadah. Sama-sama berabdi kepada Allah. Abdi dalam solat, jaga harta benda kerajaan supaya tidak membazir dan tidak rasuah itu juga ibadat kepada Allah begitu juga dalam soal menjaga maruah manusia.

Saya mengajak para pembaca menilai persepsi kepimpinan ketiga-tiga pemimpin ini. Mungkin isu yang mereka ulas berbeza, namun ketiga-tiga dilihat cuba mengenengahkan fahaman masing-masing terhadap isu politik dan kepimpinan.

Saya lihat Pak Lah cuba selitkan mesej agama, tetapi tampak kabur. Syed Razak
lebih mengambarkan frustration terhadap situasi politik di Kedah. Tapi mesej Tok Guru bagi saya sungguh menyentuh kalbu, dalam dan penuh pengajaran.

Orang Melayu Islam perlu kepada pemimpin yang melihat dunia dengan kaca mata Islam yang jelas dan bukan dwi fokal atau berbagai fokal. Keadaan masyarakat hari ini kita akui runcing dan kita dalam teraba-raba mencari penyelesaian. Pemimpin yang mampu menyedar dan menyelamatkan kita adalah pemimpin yang beramal dengan apa yang ia cakapkan.

Itulah bagi saya pemimpin Melayu Islam yang sejati, yang harus dihormati dan diteladani. Rugilah bangsa Melayu bila tidak tahu menilai antara kaca dan permata.

No comments: