SEKSYEN 27 AKTA POLIS
MEMBELENGGU DEMOKRASI DI MALAYSIA
Sejak Laporan Suruhanjaya Di Raja berkenaaan Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM didedahkan kepada orang-awam maka banyaklah komen dan pandangan dari pelbagai pihak diterima. Tahniah seharusnya diberikan kepada anggota suruhanjaya berkenaan kerana berjaya menerbitkan dengan bebas laporan setebal lebih 500 mukasurat itu.
Bagi saya salah satu syor yang diberikan oleh suruhanjaya berkenaan yang saya kira wajar diberikan perhatian serius adalah berkenaan meminda Seksyen 27 Akta Polis 1967 yang sejak zaman berzaman telah membelenggu dan mengekang kebebasan dan demokrasi khususnya terhadap kegiatan parti-parti politik pembangkang. (Parti pemerintah biasanya terlepas dari sebarang peraturan ataupun diberikan keistimewaan).
Seksyen berkenaan adalah berkaitan hak parti-parti politik untuk menganjurkan perhimpunan, persidangan, perarakan dan perjumpaan. Dalam hal ini polis diberikan kuasa yang terlalu luas dan pentafsiran akta adalah berdasarkan kehendak dan kemahuan pihak polis semata-mata, yang biasanya dibuat berdasarkan cita rasa menteri yang bertanggungjawab. Sehinggakan parti-parti politik yang berdaftar sah dalam Negara menurut peraturan undang-undang pun terpaksa melutut kepada pihak polis apabila berhasrat menganjurkan majlis-majlis tertentu.
Apakah sebenarnya hasrat undang-undang ini pada asalnya? Saya pasti ianya bukan untuk menyekat kebebasan mana-mana pihak untuk mengamalkan hak mereka. Pada saya perlunya undang-undang ini barangkali adalah semata-mata untuk memastikan kelancaran sesuatu majlis, agar ianya tidak menghalang lalu-lintas atau kehidupan orang awam yang lain. Agar suasana tegang dan huru-hara tidak wujud. Itu sahaja.
Pihak berkenaan perlu ingat bahawa yang mahu dikawal ini bukannya golongan pengganas, kumpulan haram atau seumpamanya. Mereka adalah anggota parti-parti yang sah disisi undang-undang yang masing-masing terima, akur dan junjung kedaulatannya.
Takkanlah kerana mahu menganjurkan suatu majlis dalam premis sendiri atau premis yang disewa maka pelbagai syarat dan peraturan yang tidak masuk akal dikenakan. Menurut rekod pihak polis pernah menyerbu dan menghentikan majlis-majlis yang dianjurkan oleh badan-badan politik walaupun dianjurkan dalam premis sendiri, rumah ahli ataupun premis yang disewa. Pernah seorang ADUN di Kedah yang cuba berunding dengan pihak polis ketika majlis diserbu, digari dan diseret ke trak polis di depan khalayak ramai!
Saya kira di Malaysia tidak pernah pun kita melihat mana-mana majlis yang dianjurkan oleh parti-parti pembangkang khususnya berakhir dalam suasana tegang, huru-hara dan seumpamanya. Malah demonstrasi yang dianjurkan pun biasanya berakhir dengan aman, ada majlis bacaan doa pula dipenghujungnya. Yang kita nampak jadi tegang dan huru-hara biasanya bila pihak polis campurtangan, dalam keadaan demikianlah apabila gas pemedih mata dan water canon ditalakan kea rah majlis yang aman, maka kekecohan tercetus.
Kita perlu bersikap rasional, memberikan kebebasan dan peluang kepada semua pihak untuk berinteraksi dan menyampaikan mesej serta penerangan kepada rakyat darihal sikap dan pendirian mereka terhadap satu-satu isu. Apabila undang-undang yang ada kita guna-pakai untuk menyekat dan menghalang aktiviti demokrasi seumpama ini maka kita sekaligus terlibat dalam membelenggu demokrasi itu sendiri.
Yang penting kita minta parti-parti politik bertanggungjawab terhadap majlis-majlis yang mereka anjurkan. Jika berlaku sesuatu yang melanggar peraturan atau apa sahaja yang seumpamanya maka parti berkenaan yang latarbelakang pimpinan dan ahlinya ada pada pihak cawangan khas PDRM bolehlah dipanggil untuk memberikan keterangan.
Jangan kita biarkan pihak polis diperalatkan untuk kepentingan politik pihak yang berkuasa. Peraturan yang ada jika tidak dipinda memang pun telah dipergunakan sepenuhnya untuk kepentingan politik mereka yang berkuasa.
Kalau kita berhasrat menjadikan Malaysia setaraf dengan Negara dunia pertama yang lain maka demokrasi yang diamalkan juga perlu setaraf dan setanding dengan yang terdapat di dunia pertama. Jangan Negara sahaja nak jadi dunia pertama tetapi demokrasi ala Mugabe ala Saddam, dari dunia ketiga. Syabas pihak suruhanjaya!
No comments:
Post a Comment