Saturday, April 30, 2005

SAYANGILAH KELANTAN: TERUSLAH MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

Sempena Konvensyen Kemajuan Kelantan 2005 di Kota Bharu anjuran Umno Kelantan sebagaimana biasa bagi Umno Kelantan maka dilontar dan diperkenalkanlah pelbagai slogan baru. Antaranya ERA PAK LAH KELANTAN BERUBAH. Dan SAYANGILAH KELANTAN KITA.

Annuar Musa selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri telah menghuraikan secara panjang lebar maksud slogan ini dalam sisipan khas Utusan Malaysia sempena konvensyen ini (bukti betapa mewah dan kayanya Umno Kelantan).

Kata Annuar:

Apabila kita bercakap soal politik pembangunan kita harus merombak pemikiran rakyat Kelantan supaya mereka mempunyai sifat ASSOBIYAH positif kerana Ibnu Khaldun berkata pra syarat untuk maju sesuatu masyarakat itu perlu sikap sedemikian.

Sebab itu saya anjurkan slogan SAYANGILAH KELANTAN KITA ramai orang tahu Kelantan tetapi mereka tidak kenal Kelantan, untuk kenal kita harus mempunyai perasaan sayang seperti mana juga kalau kita hendak sayang kepada Allah kita harus tahu sifat Nya begitu juga terhadap ibu bapa kita.

Kalau kita kaji tanggungjawab kita sebagai rakyat dan apabila kita sudah sayang kita tidak akan merosak atau mengabaikan negeri kita hatta ketika mengundi sekalipun.

Sebab itulah saya kata dalam bahasa kiasan kalau sayangkan Kelantan tidak payah undi Umno atau PAS tetapi undi atas factor Kelantan maknanya memberi undi kepada kepada pihak yang kita yakin boleh memberikan kebaikan kepada Kelantan.

Saya rasa dalam hal ini rakyat Kelantan bersetuju dengan Annuar, ini terbukti kerana sejak tahun 1990 mereka telah memberikan undi kepada kerajaan yang memberikan kebaikan kepada mereka iaitu kerajaan PAS pimpinan Tok Guru.

Konvensyen Umno ini menjanjikan Kelantan akan menjadi negeri maju pada tahun 2015. Dan cadangan-cadangan konvensyen tersebut penuh dengan lagu-lagu dan janji pembangunan yang saya percaya rakyat Kelantan telah muak mendengarnya. Tiada yang baru dan tiada yang luar biasa.

Kesimpulannya eloklah kita meneliti apa yang pernah diucapkan oleh Tok Guru MB Kelantan pada tahun 1995 dahulu:

Kita lawan Umno bukan bertujuan hendak berlumba pembangunan, tetapi hendak berlumba ikhlas dengan Allah taala, berlumba melaksanakan Islam. Itu perkara pokok. Benda ini tidak boleh dilaksana tidak boleh dibuat dengan baik kalau tidak melalui ilmu Islam …

Annuar perlu sedar diperingkat ini bahawa rakyat Kelantan menerima PAS kerana Umno gagal mengemukakan barisan kepimpinan yang ihlas dan bertaqwa sebagaimana yang mereka kehendaki. Isu pembangunan memang dimahukan oleh rakyat dimana sekalipun namun yang lebih penting adalah pemimpin yang jujur, ikhlas dan bersih. Rakyat Kelantan mahu bangun di akhirat kelak bersma pemimpin jenis ini.

Renunglah apa yang pernah diucapkan oleh Tok Guru MB Kelantan ketika Kempen Penghayatan Ramadhan pada 25 Syakban 1415 dulu:

Bila hati saya seorang (sebagai MB) rosak secara otomatik orang lain turut rosak sama. Inilah yang saya jaga iaitu hati ini supaya tidak rosak. (Kerana jika rosak) itulah yang saya sungguh-sungguh takut, kalau rosak hati ku seorang Ya Allah, jahanamlah Kelantan.

Betapa begitu prihatin, cermat dan teliti sekali seorang MB PAS yang saya rasa tidak berapa diberi perhatian sangat oleh MB Umno. Kerana itulah bila rakyat Kelantan enggan menaikkan MB Umno, bukan kerana mereka tidak sayangkan Kelantan, sesungguhnya mereka berbuat demikian kerana mereka sebenarnya sayangkan Kelantan. Inilah yang Annuar dan rakan-rakannya perlu fahami dan sedari

No comments: