Monday, April 18, 2005

KEDEWASAAN USIA MENUNTUT KETELUSAN

Pemilihan pimpinan berlaku dalam mana-mana parti politik di tanahair. Samada parti pemerintah maupun pembangkang kesemuanya mengamalkan sistem demokrasi dalam proses pemilihan ini. Dimana pencalonan biasanya dibuat oleh ahli-ahli parti diperingkat cawangan ataupun bahagian.

Parti yang sering mendapat perhatian apabila berlaku pemilihan pimpinan adalah Umno. Oleh kerana Umno memegang teraju negara maka pastilah pemilihan pimpinannya turut mendapat perhatian rakyat dalam negara dan diperingkat antarabangsa.

Namun sejak kebelakangan ini semacam ada satu trend dalam Umno yang cuba mengelakkan pertandingan diperingkat jawatan tertinggi partinya khususnya bagi jawatan Presiden dan Timbalan. Selepas pengalaman pahit cabaran besar-besaran terhadap kepimpinan Umno dalam pemilihan tahun 1987 yang menyaksikan Tengku Razaleigh hampir-hampir mengalahkan Dr Mahathir, Umno semakin takut menghadapi pemilihan.

Kerana itulah dicipta desakan supaya tiada pertandingan diperingkat dua jawatan tertinggi dalam Umno dan nampak-nampaknya semakin tua usia Umno semakin akan berlarutan trend ini. Hari ini jawatan Presiden dan Timbalan esok entah-entah sampai keperingkat Naib-naib dan akhirnya jawatan MT pun tak payah ditandingi lagi!

Yang tidak disedari semakin tua usia Umno semakin terhakis keteguhan demokrasi di dalamnya, apabila pemilihan pucuk pimpinan tiada lagi diserahkan kepada golongan ramai tetapi terhad dikalangan kehendak dan kemahuan golongan kecil.

Hari ini dalam PAS yang juga semakin tua usianya kita lihat perkembangan sebaliknya pula yang berlaku. Dalam akhbar tempatan hari ini dilaporkan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang berkata PAS bersedia menerima Naib Presiden dikalangan wanita sekiranya itu kemahuan para perwakilan dalam Muktamar Tahunan PAS awal Jun nanti.

Malah sebelum ini Tuan Guru pernah menyatakan beliau bersedia memberi laluan kiranya ada calon Presiden selain beliau yang menerima lebih pencalonan. Dan hari ini AJK PAS Pusat Dr Hatta Ramli dalam Harakahdaily menyebut jangan ada ahli (PAS) yang berasa bersalah atau malu untuk menggantikan pimpinan di mana-mana peringkat yang didapati tidak menunjukkan prestasi baik.

Parti yang matang dengan usia sepatutnya semakin telus dalam pemilihannya agar tidak timbul keraguan dikalangan ahli maupun rakyat. Barulah menjunjung demokrasi namanya!

No comments: