PELURU PERANG RASUAH TIDAK LUT
Minggu lalu saya dan rakan-rakan berkesempatan menyaksikan dengan mata kepala sendiri aksi sogokan di bawah terik mentari Kuala Lumpur. Berlaku secara terang-terangan dalam waktu kerajaan melancarkan perang rasuah di bawah kepimpinan Pak Lah.
Pengalaman pertama berlaku ketika menunggu seorang rakan berhampiran stesyen LRT di Masjid Jamek. Di situ kami menyaksikan beberapa penjaja sedang menjaja barangan makanan mereka termasuklah sebuah van yang sarat dengan minuman dan buah-buahan. Tiba-tiba lalu 3 orang pegawai penguatkuasa DBKL lengkap dan segak beruniform. Umur mereka kami kira masih muda sekitar awal 20an. 2 pegawai berada tidak jauh dari van berkenaan manakala seorang lagi telah menghampiri van tersebut dan pemiliknya bergegas ke pintu hadapan vannya.
Mungkin pegawai tadi tidak perasan yang aksinya sedang diperhatikan, secara selamba beliau menerima wang kertas dari peniaga tadi dan terus bersama rakan-rakannya meninggalkan tempat berkenaan.
Kejadian kedua berlaku pada hari yang sama ketika kami berada di Tol Sg. Besi. Pihak JPJ sedang membuat sekatan lalulintas terhadap kenderaan perdagangan. Seorang pegawai sedang duduk di hadapan sebuah meja sementara manakala kakitangan lain sedang sibuk mengawal lalulintas dan mengisyaratkan mana-mana kenderaan yang didapat bersalah agar berhenti.
Semasa menjelaskan bayaran tol dengan jelas dan nyata kami nampak seorang pemandu lori menghampiri pegawai yang di meja tadi. Macam dah dirancang beliau melontarkan sesuatu ke bawah meja pegawai tadi yang kami yakini wang kertas yang telah dilipat kemas, terus sahaja pegawai tadi bagaikan seorang yang terlatih memijak wang yang dilontar dengan kasut kulitnya.
Bermakna dalam jarak masa tidak sampai 3 jam seseorang yang observant akan dapat menyaksikan kerja-kerja rasuah berlaku di depan mata tanpa mana-mana pihak pun merasa segana ataupun silu apa lagi gentar dan takut pada Allah swt!
VICTOR MALLET
Saya mengukirkan pengalaman ini kerana mahu mendedahkan satu artikel yang terbit dalam akhbar FINANCIAL TIMES dari London bertarikh 11 April 2005. Artikel bertajuk MISSION IMPOSSIBLE IN MALAYSIA ini ditulis oleh wartawannya VICTOR MALLET. Ia mengisahkan darihal pengalaman perang rasuah di Malaysia. Mallet mengisahkan pengalamannya mewawancara Pak Lah pada tahun lalu berkenaan isu ini.
Namun yang menariknya adalah pengalaman Mallet sendiri darihal amalan rasuah di Malaysia, dimana beliau menulis:
We should have guessed when we drove to our interview with the amiable Abdullah Badawi last year that he was going to have a tough job as prime minister of Malaysia.
This was not because of anything he said. On the contrary, he sensibly vowed to cut the budget deficit and tackle corruption. The clues to Mr Abdullah's present difficulties were lounging on the roadside between the airport and his home. A gang of policemen, in broad daylight, was extorting sums of 20 ringgit - about $5 - from passing taxi drivers, including ours, on pain of prosecution for trumped-up traffic offences.
Kami sudah menjangkakan yang apabila sahaja dipandu ke tempat wawancara kami bersama Abdullah Badawi bahawa beliau pasti akan menghadapi tugas yang berat sebagai PM Malaysia.
Ini bukan kerana apa-apa yang telah beliau nyatakan. Sesungguhnya beliau telah berjanji untuk mengawal perbelanjaan dan menangani rasuah. Bukti beratnya masalah Abdullah dapat disaksikan dijalanraya menuju ke kediaman beliau dari lapangan terbang. Sekumpulan anggota polis pada siang hari secara terang-terangan sedang menuntut RM20 dari setiap pemandu teksi di situ, termasuklah teksi kami, jika tidak mereka akan didakwa kerana melakukan apa sahaja kesalahan trafik.
Adakah kita mahu memarahi pemberita asing ini kerana mendedahkan aib kita? Atau kita merasakan yang pemberita ini sengaja mahu membesar-besarkan isu kecil yang jarang-jarang berlaku?
Berdasarkan pengalaman saya di atas dalam keadaan kita sekarang ini, saya merasakan amalan rasuah sudah membarah dalam masyarakat dan diperingkat yang sukar dirawat. Perang rasuah tidak mengerunkan langsung sasarannya malah amalan terkutuk ini terus dilakukan tanpa ambil peduli mana-mana pihak pun.
Ini yang nampak di mata kita, bagaimana pula yang dilakukan di dalam bilik-bilik berhawa dingin yang tertutup? Sambil kita terus merenung memikirkan masalah berat ini ada sebuah parti besar telah dan sedang mengambil tindakan terhadap pemimpinnya yang dikatakan mengamalkan POLITIK WANG semasa proses pemilihan parti mereka tahun lalu! Semakin rancak berperang semakin rancak juga gerombolan yang terkutuk ini. Seolah-olah peluru-peluru yang dilancarkan Pak Lah dalam perang rasuanya gagal membunuh sasaran malah semakin kukuh dan teguh pula nampaknya mereka ini.
Lalu dimanakah silap kita sebenarnya?
No comments:
Post a Comment