Thursday, April 28, 2005

ANWAR DAN GOLONGAN ISLAMIS AKAN GAGAL
: DR MAHATHIR


Setelah lama tidak bersua maka semalam dipertemukan dua bekas pemimpin otokrat Asia Tenggara iaitu Dr Mahathir dan Harry Lee Kuan Yew. Kuan Yew yang dalam kunjungan rasmi ke Malaysia sempat berjumpa dan beramah-mesra dengan bekas rakan sejawaatnnya itu di Putrajaya.


SAHABAT KARIB HARRY LEE DAN CHE DET

Sepanjang menjadi PM di Singapura dari tahun 1959 hingga 1990 Kuan Yew dikenali sebagai pemimpin yang telah membawa kemajuan yang pesat di Negara pulau tersebut. Tetapi Kuan Yew juga hebat dalam aspek yang lain. Di bawah beliau Singapura tidak mengenali apa itu hak asasi kecuali apa yang diizinkan Kuan Yew. Demi mengejar kemajuan beliau telah menginjak-injak dan menyepak-terajang sebarang suara yang menentang kehendak beliau. Akibatnya suara pembangkang luluh dan pupus. Penentang dipenjarakan tanpa bicara (Said Zahari bekas wartawan Utusan merengkok selama 17 tahun ditahan tanpa bicara oleh Kuan Yew) ataupun dibangkrapkan melalui pelbagai bentuk saman malu dan sebagainya. Badan kehakiman, polis dan lain-lain berada di bawah telunjuk beliau. Demikianlah hebatnya Kuan Yew.

Tak kuranglah juga dengan Mahathir. Pembangunan fizikal hebat ketika beliau PM. Turut hebat juga adalah tindakannya terhadap para penentangnya. ISA digunakan terhadap sesiapa sahaja yang beliau pandang bermasalah. Bukan sekadar penentang politik, Ketua Hakim dan Hakim-hakim kanan habis dipecat dan dibicarakan dizaman Mahathir. Mahathir akan dikenali sebagai PM yang mempunyai 4 TPM, bertukar ganti bukan kerana meninggal dunia, tetapi samada meletak jawatan (protes) ataupun dipecat sendiri oleh beliau. Islam dipacu mengikut pemahaman beliau. Bermakna berbanding dengan Kuan Yew beliau juga tidak kurang hebatnya dalam hal-hal tertentu jauh mengatasi Kuan Yew.

Lalu beramah-mesralah kedua pemimpin dihujung senja ini, bergembira, bergelak ketawa bertukar-tukar pengalaman terhadap apa yang telah bersama mereka lalui.

Kata Mahathir, Kuan Yew bertanya tentang Anwar Ibrahim, adakah mempunyai harapan kembali ke arus perdana politik tanahair. Jawab Mahathir:

I think he still has the capacity to cause trouble if he comes back but I doubt whether he can make any headway.

Saya rasa beliau mampu mencetuskan masalah bila kembali nanti tetapi saya tidak yakin beliau akan berjaya.




Kuan Yew juga bertanya adakah Malaysia akan diperintah oleh golongan ISLAMIS, jawab beliau:

My view is that I don’t think so. The Malay Muslims are very rational people. There are some who are not that knowledgeable about Islam and who can be misled, but the majority know what Islam is all about and they cannot be easily misled by people who pretend to be Islamists.

Pada pandangan saya tidak. Masyarakat Melayu Islam adalah golongan yang rasional. Mungkin ada kalangan mereka yang tidak mengerti darihal Islam yang mungkin terpedaya, namun majoriti mereka tahu apa itu Islam dan tidak akan mudah disesatkan oleh mereka yang berpura-pura berjuang Islam.

Tak tahulah samada Kuan Yew dapat menerima komen dan pandangan Mahathir itu atau sekadar mentertawakannya dalam hati. Yang pasti Mahathir masih menaruh dendam terhadap Anwar dan golongan Islam yang mahu kembali kepada kebenaran. Bermakna walaupun sudah tiada bertaring lagi Mahathir dan Kuan Yew masih tetap dengan pendirian dan pandangan mereka semasa muda dulu.

Kesimpulannya samada Anwar akan berjaya ataupun tidak maka terpulanglah kepada rakyat, dalam hal ini Mahathir sudah TIDAK RELEVAN lagi (meminjam istilah popular Augustine Paul). Manakala dalam soal masa depan Islam, Allah telah menjanjikan kemenangan bagi mereka yang bertaqwa dan istiqomah samada Mahahtir akan hidup menyaksikannya ataupun tidak wallahualam.

No comments: