ZAID BIMBANG UMNO TIDAK LAGI MEMATUHI
PROSES UNDANG-UNDANG
Hukuman telah pun dijatuhkan. Zaid Ibrahim, Ketua Umno bahagian Kota Bharu yang juga ahli parlimen kawasan berkenaan telah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno kerana mengamalkan politik wang dalam pemilihan parti September lalu dan dikenakan amaran.
Zaid tidak dipecat, tidak juga digantung keahliannya sebagaimana beberapa ahli lain, namun beliau tidak dapat menerima hakikat bahawa beliau bersalah sebagaimana yang dituduh berdasarkan proses undang-undang dalam Umno.
Zaid menyatakan ketidakpuasan hatinya secara terbuka apabila keputusan tersebut diumumkan melalui saluran media perdana. Beliau merasakan imejnya telah tercemar, sebagai seorang pemimpin, ahli parlimen serta barangkali sebagai seorang pengamal undag-undang. Malah beliau telah menyatakan sikap ingin bersara terus dari politik lantaran fitnah yang dikatakannya terlalu berleluasa dalam Umno.
Tidak cukup dengan luahan hati itu, akhbar tempatan (kecuali UTUSAN yang barangkali tidak menganggap isu ini sebagai berita atau mungkin seriau nak melaporkan) hari ini melaporkan Zaid telah membawa luka hatinya ke dalam Dewan Rakyat. Semasa Nazri Aziz sedang menggulung perbahasannya di parlimen, Zaid telah memohon penjelasan dengan bertanya:
Adakah kerajaan akan membenarkan parti-parti politik seperti Umno bertindak tanpa mematuhi proses undang-undang? Sekiranya ini berlarutan tidakkah nanti menjejaskan parti dan kerajaan? (Terjemahan dari laporan THE STAR)
Berdasarkan pertanyaan ini bermakna Zaid mendedahkan terdapat satu trend yang merbahaya wujud di dalam Umno yang kelak bakal menular dan menjejaskan kestabilan negara! Umno sudah tidak beroperasi mengikut amalan undang-undang biasa, THE BEST EVIDENCE RULE ataupun peraturan bukti yang terbaik sudah tidak dituruti dan dipatuhi lagi. Bermakna berlaku penyelewengan dan pilih kasih, SELECTIVE PROSECUTION ataupun pendakwaan yang berpilih-pilih yang sudah tentu menjurus kepada amalan kronisma dan nepotisma …….. satu istilah yang macam biasa kita dengar sahaja!
Trend ini akan atau mungkin telah menular ke dalam kerajaan kerana bukankah Umno tulang belakang kerajaan dan menjadi teraju negara dan memimpin 10 daripada negeri-negeri di Malaysia!
Tetapi jawab Nazri melanggar kod etika parti tidaklah bermakna seseorang itu mengamalkan rasuah. Saya tidak pasti apa maksud Nazri, yang saya pasti apa yang Zaid maksudkan itu adalah kod etika parti berkaitan amalan politik wang. (Bukankah Zaid dituduh kerana kononnya membenarkan ejennya mengunakan wang untuk meraih sokongan, agaknya sedekah bukan rasuah ……. )
Kalau politik wang itu bukan amalan rasuah, apalah heboh-heboh sangat nak dibicarakan oleh Lembaga Disiplin, terima sahaja dan jangan diisitilahkan sebagai politik wang berilah istilah lain supaya yang mendakwa dan didakwa tidak terpedaya seperti hari ini.
Kalau tak silap Profesor Di Raja Ungku Aziz pernah menyamakan politik wang ini dengan rasuah, saling tak tumpah, pelandok dua serupa.
Berbalik kepada apa yang dibangkitkan oleh Zaid ini bermakna Umno hari ini sedang dilanda penyakit yang kronik. Bagimana kita mahu memerangi rasuah sekiranya badan kita sendiri tiada daya ketahanan melawan serangan pemyakitnya, lebih kurang macam terkena AIDS. Tak panjanglah agaknya nyawa Umno jika demikian. Patutlah Zaid nak bersara .........
No comments:
Post a Comment