KEGAGALAN PAS ANTARA FAKTOR SPR DAN PR
BADMAS
Sering diperkatakan kegagalan PAS mempertahankan atau menambah kerusi sama ada di Parlimen dan DUN dalam pilihan raya yang lepas adalah disebabkan permainan kotor dan muslihat SPR. Memang kenyataan ini tidak dapat dinafikan apatah lagi perancangan jahat ini mula dihidu dengan usaha SPR melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Banyak peraturan-peraturan baru yang sengaja dibuat untuk membantut dan menyukarkan gerakerja dan kelicinan jentera pilihan raya parti pembangkang. Tidak payah ianya diperincikan di sini cukup sekadar kita mengatakan BN seharusnya merasa malu dengan sikap tidak gentlemen mereka apabila berhadapan dengan pembangkang ketika musim pilihan raya.
Apalah erti kemenangan sekiranya seorang peninju bertumbuk dengan lawannya yang diikat tangan dan kakinya yang menyebabkan pergerakan lawan terbatas.
Dalam masa yang sama, satu lagi faktor yang kurang diberi perhatian dan keutamaan oleh PAS perlu diwujudkan hubungan PR yang baik dengan semua lapisan masyarakat. Amat malang sekali sebagai sebuah gerakan Islam, PAS tidak menekankan aspek ini secara serius, walhal Islam menyarankan umatnya bukan sahaja merealisasikan hubungan dengan Allah s.w.t. tetapi juga hubungan sesama manusia.
Perlu diingat kita berhadapan dengan pelbagai golongan manusia. Jangan kita merasa selesa duduk dalam kepompong sendiri dan tidak mahu memahami apakah kehendak dan tuntutan semasa. Selagi kita tidak dapat membaca situasi sekeliling kita, selagi itulah perjuangan PAS tidak akan diterima oleh masyarakat.
Mursyidul Am telah melakukan kejutan kepada ahli PAS apabila beliau bersetuju Badan Perhubungan PAS Kelantan mencalonkan Dr Siti Mariah sebagai Naib Presiden PAS. Bukan sahaja berita ini mengejutkan ahli PAS tetapi juga ahli UMNO dan NGO-NGO wanita yang lain. Ini merupakan satu contoh PR exercise yang amat baik. Tindakan ini bukanlah satu gimik politik dan kita percaya Muslimat tidak pernah melobi atau berkempen untuk mendapatkan jawatan setinggi itu ataupun jawatan-jawatan lain sebagai ganti atau balasan di atas sumbangan besar mereka sebagai ahli parti yang terpaksa mengorbankan masa bersama anak, suami serta keluarga.
Tetapi Tok Guru Nik Aziz bijak membaca situasi kerana masyarakat kita mempunyai tanggapan bahawa sekiranya muslimat tidak diberi jawatan yang tinggi atau tidak diberi peluang sebagai calon dalam pilihan raya, maka mereka melihat muslimat tidak diiktiraf oleh PAS walhal kita yakin muslimat PAS tanpa diberi sebarang jawatan sekali pun akan tetap menyumbangkan masa dan tenaga demi perjuangan Islam.
Contoh lain PR exercise yang bijak ialah apabila Dr Siti Mariah menerima jemputan sebagai ahli panel Forum “Enforcing Public Morality” anjuran FNF di Hotel Le Meridian baru-baru ini. Walaupun ada pihak yang tidak bersetuju beliau menghadiri forum tersebut kerana beranggapan penganjur mempunyai agenda tersembunyi, namun natijah daripada keterbukaan serta pendekatan mesra beliau, sedikit sebanyak meleraikan beberapa persoalan dan keresahan para peserta khususnya non-Muslim yang sering mendapat gambaran salah mengenai Islam dan PAS khususnya.
Usaha-usaha sebeginilah yang perlu kita tingkatkan. Kebijaksanaan Tok Guru menggilap PR/imej PAS sama ada yang berkaitan dengan isu wanita atau isu lain perlu dicontohi oleh ahli PAS di semua peringkat. Tahniah juga kepada Muslimat yang kini sudah berani berdepan dengan realiti masyarakat pluralistik. Sudah tiba masanya kita mengorak langkah memastikan PAS menjadi sebuah parti dan gerakan Islam yang mudah didekati dan dipercayai oleh masyarakat.
Hentikan label-melabel dan jangan ada lagi prasangka. Walaupun kita akan terus berhadapan dengan pelbagai tipu-helah SPR, namun siapa tahu dengan izinNya satu hari nanti faktor PR ini pula yang akan memenangkan PAS?
No comments:
Post a Comment