ZAM TERUS MENGHODOHKAN WAJAH ISLAM
Apa lagi komen yang boleh kita berikan apabila membaca kenyataan berikut (sebagaimana tersiar dalam akhbar THE STAR hari ini) :
Orang Islam tidak seharusnya dihalang dari memasuki tempat-tempat tertentu yang dikira tidak Islamik sekiranya (kehadiran mereka) dapat membantu memperbaiki diri mereka.
Muslims should not be prevented from entering certain places considered unIslamic if that would help them improve themselves.
Kenyataan kurang bijak ini dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Penerangan Zainuddin Maidin di Alor Star. Dan beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Terengganu yang mendesak agar 100 orang yang ditahan oleh JAWI di pusat maksiat ZOUK di KL itu didakwa di mahkamah.
Nampak sungguh kekalutan dan kekeliruan yang dicetuskan oleh kalangan pimpinan Umno yang sepatutnya menjuarai Islam Hadhari sebagaimana yang dicetuskan oleh Presiden mereka. Dalam hal ini desakan Ketua Pemuda Terengganu itu sebenarnya telah terlambat kerana Kabinet sendiri telah mengarahkan agar saman JAWI terhadap 100 yang dituduh itu dibatalkan. Kabinet dianggotai rata-rata oleh pimpinan terkanan Umno peringkat kebangsaan!
Bagi Zainuddin pula apa sebenarnya yang cuba beliau utarakan? Tidakkah beliau sedari bahawa kenyataannya itu mempertikaikan prinsip dan aqidah Islam sehingga boleh membuka ruang dan peluang untuk Islam itu dipersenda dan diperlekehkan terutama oleh masyarakat bukan Islam. Malah pegangan aqidah beliau sendiri kini boleh dipertikaikan dengan kenyataan demikian. Apakah atas alasan mahu maju maka kita perlu gadaikan prinsip dan aqidah? Saya tidak tahulah tentang orang lain tetapi bagi saya tempat yang tidak Islamik tu tak banyak, antara lain tempat maksiat, pelacuran, minum arak dan seumpamanya. Dan saya tidak nampak tempat-tempat ini boleh mendatangkan manfaat bagi umat Islam.
Saya kira kenyataan beliau ini sungguh merbahaya dan mencerminkan betapa liar dan kelirunya pandangan pimpinan Umno terutama dalam isu berhubung dengan Islam. Janganlah kerana menjuarai Islam moderat ala barat maka kita perlu menjual dan menggadaikan maruah Islam dengan begitu mudah.
Gerakan memberi pelbagai tafsiran terhadap Islam ini akan berlarutan kerana Umno lah yang bertanggungjawab membuka gelanggangnya. Siapakah lagi yang akan bangun mempertahankan maruah dan kebenaran Islam? Pada siapakah lagi nasib dan masa depan Islam mahu diharapkan? Jawapannya terletak ditangan umat Islam sendiri, fikirkanlah sebelum terlambat!
No comments:
Post a Comment