UMNO KELANTAN TERUS BERNAFSU MAHU MERAMPAS KELANTAN
Sejak tewas tipis pada pilihanraya umum lalu UMNO Kelantan semakin ghairah dan menganggap seolah-olah kerajaan negeri pada bila-bila masa akan menjadi milik mereka. Kalau ketika kalah teruk dalam pilihanraya umum 1999 pun mereka dah menyalahgunakan kuasa untuk memeras kerajaan negeri tambahan pula kini dengan kedudukan yang ada.
Mereka lupa bahawa kerajaan PAS pun sedang memantapkan kedudukan mereka bagi memastikan upset pada pilihanraya umum 2004 lalu tidak akan berulang lagi. Segala usaha digunakan untuk memperbaiki kedudukan mereka. Sehinggakan barisan EXCO kerajaan negeri yang diketuai oleh Tuan Guru MB pada hari ini dianggap oleh penganalisa politik sebagai team yang terbaik dalam sejarah politik negeri Kelantan.
Lantaran itulah UMNO bawah kepimpinan Annuar Musa yang masih belum bersih namanya dari terpalit dengan skandal penyelewengan wang PPRT itu, semakin hari menjadi semakin rimas. Sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar THE STAR hari ini Annuar mahu memperkenalkan beberapa langkah bagi mengatasi usaha gigih PAS untuk memperteguhkan kedudukan mereka di negeri tersebut. Antaranya Annuar akan menempatkan EXCO bayangannya (macam lagu rindu bayangan saja bunyinya) menganggotai agensi-agensi Persekutuan di Kelantan bagi kononnya membantu mempercepatkan pembangunan.
Annuar sebagaimana yang dilaporkan THE STAR menyatakan kebimbangannya terhadap strategi baru PAS memperuntukkan sejumlah RM250,000 kepada setiap ADUN nya bagi tujuan melaksanakan projek-projek kecil di kawasan masing-masing.
Kata beliau:
Kelantan Barisan would respond to this by applying for additional funds from the Federal Government for its assemblymen and MPs in the state.
BN Kelantan akan bertindak-balas dengan memohon peruntukkan tambahan dari kerajaan persekutuan untuk disalurkan kepada ADUN dan ahli-ahli parlimennya.
Demikianlah agenda irihati, hasad-dengki dan pecah-belah Annuar Musa. Sedangkan semasa mula-mula menjadi Ketua Pembangkang dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dahulu beliau menyatakan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri PAS untuk membangunkan Kelantan. Rupanya cakap tak serupa bikin.
Dari kita berebut-rebut mencuri sokongan rakyat dengan menaburkan wang dalam pelbagai bentuk apa salahnya kita duduk semeja berunding dan bekerja untuk kebaikan bersama. Saya percaya kerajaan negeri telah berkali-kali mempelawa hal ini namun dipandang dingin oleh Umno. Umno seolah-olah merasakan yang sebarang kerjasama akan hanya menipiskan lagi harapan mereka untuk menang pada pilihanraya yang akan datang, itupun kalau prestasi mereka pada PRU 2004 dapat dikekalkan.
Annuar dan rakan-rakannya perlu menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat Kelantan kepada PAS. Mereka juga sepatutnya tidak menggunakan kedudukan mereka bagi melaga-lagakan antara agensi Persekutuan dengan kerajaan negeri yang sesungguhnya hanya akan merugikan rakyat pada jangkapanjang. Agensi Persekutuan sepatutnya menyokong segala usaha kerajaan negeri, bukankah Kelantan secara sah adalah merupakan sebahagian dari anggota Persekutuan Malaysia?!
Berilah kerajaan negeri yang dipilih rakyat peluang untuk bergerak dan menjalankan tugas mereka. Jadilah pembangkang yang membina jangan menjadi petualang yang sekadar menangguk di air keroh. roslan_s@yahoo.com
No comments:
Post a Comment