Wednesday, February 16, 2005

KABINET ISLAM HADHARI BEBASKAN RATU MAKSIAT

Allah swt berfirman dalam surah Ali Imran: 110

Kamu (wahai ummat Muhammad) adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan bagi (faedah) ummat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)

Dengan imej Islam Hadhari yang Pak Lah jaja sehingga ke Pakistan hari ini ramai yang menjangkakan isu serbuan JAWI ke pusat maksiat Zouk di Jalan Ampang KL akan berakhir dengan keputusan mahkamah. Mereka yang ditahan pada malam puaka tersebut dijangka didakwa di mahkamah pada bulan April ini.

Akan tetapi rupa-rupanya kesungguhan pihak-pihak tertentu untuk mencalar dan terus mengaibkan imej Islam dalam negara yang tak seberapa adanya itu akhirnya berjaya jua. Sebagaimana yang dilaporkan oleh THE MALAY MAIL hari ini pihak JAWI telah menarik balik saman ke atas semua yang ditahan pada malam 20 Januari itu.

Mereka yang dituduh telah dipanggil ke pejabat JAWI semalam dan pegawai yang bertugas telah bertindak membatalkan kesemua saman mereka. Ini bermakna mereka tidak lagi akan didakwa di bawah enakmen jenayah syariah sebagaimana yang dijangka sepatutnya dan segala pertuduhan terhadap mereka digugurkan.

Apa dah jadi? Adakah pembatalan ini kerana pihak pendakwa tidak memperolehi bukti yang cukup ataupun ianya dibatalkan atas tekanan dan arahan pihak tertentu?

Kebetulan dalam sisipan akhbar THE STAR hari ini Marina Mahathir anak bekas PM telah menggunakan ruangan mingguannya untuk menyerang hebat JAWI dan kerja-kerja nahi mungkar yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama. Marina meminta para pembacanya menentang habis-habisan segala bentuk nahi mungkar yang beliau anggap sebagai satu penderaan yang keterlaluan katanya:

We ought to fight against something that is so obviously abusive especially when the grounds for the raid are suspicious in the first place

Kita sepatutnya menentang sebarang usaha yang jelas berbentuk penyalahgunaan kuasa lebih-lebih lagi serbuan yang dimaksudkan dilakukan di atas syak wasangka semata-mata.

(dalam hal ini Marina lupa semasa bapa beliau Menteri Dalam Negeri dulu berpuluh ditahan di bawah ISA semata-mata kerana disyaki menggugat kestabilan negara - kenapa tak ajak orang tentang bapanya sendiri)

Marina terus menusuk dengan mata penanya apabila menganggap mana-mana pihak yang menyokong langkah JAWI itu sebagai berfahaman ala Taliban. Dan beliau turut mendesak agar pihak kerajaan menghentikan sama sekali kerja-kerja nahi mungkar ataupun penguatkuasaan kesalahan agama ini demi mempertahankan imej Islam moderat yang kononnya cuba dipaparkan oleh negara ini.

Rupa-rupanya memang pihak atasan berhasrat mempertahankan mereka yang mungkar ini dan sekaligus menerima fahaman Marina dalam hal ini. Ianya terbukti apabila MALAY MAIL melaporkan:

The officer told us that the Cabinet instructed them to do so and that it has to be settled by Tuesday before the Cabinet meeting on Wednesday (today)

Pegawai tersebut memberitahu kami bahawa pihak Kabinet telah mengarahkan mereka membatalkan saman tersebut pada hari Selasa iaitu sebelum mesyuarat Kabinet pada hari Rabu (hari ini).

Pak Lah kini berada di Pakistan dan kebetulan kabinet dipengerusikan oleh Najib Tun Razak, anak emas Dr Mahathir yang memang tidak senang hati dengan tindakan JAWI tersebut. Demikianlah berakhirnya episod seribu satu malam di negara Islam Hadhari Malaysia.

Jelas dengan perkembangan ini Pak Lah tidak memiliki sebarang kekuatan untuk menyuntik program Islam Hadharinya yang dah memang pun longgar itu. Beliau cuma tegak dengan satu dua penyokong manakala yang selebihnya dikeliling-kelalang beliau adalah mereka yang tidak gemar dengan corak Islam yang ingin beliau jaja itu.

Dalam sajak Pak Lah yang terkenal AKU CARI DAMAI DI HATI beliau ada menyebut:

Aku cari mana dia Al Ghazali

untuk itu di sini saya petik tulisan Imam Al Ghazali di dalam kitabnya BIDAYATUL HIDAYAH:

Dan ketahuilah apabila engkau cuai maka akibatnya akan kembali kepadamu dan apabila engkau rajin maka mafaatnya juga akan kemabli padamu. Allah Maha Kaya daripadamu dan Kaya daripada amalanmu tetapi setiap orang akan tertakluk (pada hari kiamat nanti) dengan amalan yang dikerjakannya di dunia. Maka jangan sekali-kali engkau berkata: Allah itu Tuhan yang Maha Mulia lagi Pengampun. Ia mengampuni dosa-dosa hamba yang berbuat maksiat, kerana ucapan seperti itu adalah ucapan yang benar tetapi mempunyai tujuan yang salah. Orang yang memperkatakannya digelar AHMAQ (bodoh).

Semoga kita yang lain akan insaf dengan malapetaka yang kita hadapi ini. Islam semakin dipermain dan dipersendakan oleh mereka yang dari kalangan kita juga. Janganlah kita terpedaya lagi. Insaflah dan kembali ke jalan yang benar. Allah swt berfirman dalam surah al Maidah ayat 49:

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah enkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan mu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.

Berbahagialah Jeslina, Najib, Azalina, Noraini, Sisters in Islam dan ramai lagi yang telah bersekongkol dalam menggelapkan kebenaran dan merendah serta mengaibkan Islam dimata ramai ini. Apakah kita juga turut berbahagia?

No comments: