Monday, February 28, 2005

MUNGKINKAH KERUSI MB SELANGOR
SUDAH TIDAK SELAMAT LAGI BUAT KHIR

Saya perhatikan serangan terhadap Khir Toyo sejak akhir-akhir ini semakin kritikal dan timpa-menimpa. Ia bersungguh-sungguh disensasikan oleh saluran media perdana sehingga dilihat seolah-olah mahu mengenakan tekanan terhadap Khir untuk mengosongkan kerusinya.

Sebentar tadi Buletin utama TV3 turut menyiarkan suasana kepulangan Khir dari Amerika Syarikat (lawatan yang terpaksa disingkatkan). Dilaporkan bahawa Khir terpaksa menyediakan laporan kedua kepada kabinet dalam tempoh terdekat terhadap isu perkosaan Taman Pertanian di Bukit Cerakah, setelah laporan pertama beliau ditolak oleh PM sendiri.

Isu Bukit Cerakah ini telah disensasikan oleh Utusan Malaysia berturut-turut dengan siri laporan khasnya. Dan terbaru ia diikuti dengan pendedahan penerokaan hutan dan penarahan bukit yang berlaku di daerah Selayang pula. Dalam hal ini Pak Lah dilaporkan berkata:

Takkan mereka yang menjadi perancang susun atur tak boleh rancang lebih awal dengan mengambil kira pokok-pokok besar yang tidak perlu ditebang.

Sebelum ini Khir turut dilibatkan dengan isu jawatankuasa pemeriksa kira-kira kewangan negeri (PAC) Selangor yang dikhabarkan merancang melawat sambil melancong ke Mesir dengan mengunjungi persembahan tarian gelek dan seumpamanya. Program ini akhirnya dibatalkan setelah didedahkan kepada rakyat.


MAT TAIB DAH RASA KINI GILIRAN KHIR

Jelas seolah-olah ada tangan hitam yang bertindak menekan Khir dari pelbagai sudut. Mungkin ada kem dalam Umno yang mula mual dan muak dengan tindak-tanduk Khir dan merasakan beliau wajar digantikan dengan kroni ataupun proksi mereka. Apa pun nasib dan masa depan Khir semakin malap.

Mat Taib satu ketika dahulu pernah berada dalam situasi yang sama, didedahkan kepada istana darihal pernikahan beliau dengan Puteri di Raja sehingga mengakibatkan murka pihak istana. Ini dituruti dengan peristiwa beliau ditahan di Australia dengan wang tunai berkilo-kilo beratnya sehingga akhirnya Mat Taib tergolek dan terlentang dari kerusi empok MB nya.

Demikian juga dengan Abu Hassan Omar (yang dikhabarkan telah terlibat dalam kes menjatuhkan Mat Taib). Apabila ada pihak mendedahkan darihal perlakuan sumbang mahramnya yang mengaibkan itu, akhirnya beliau tiada pilihan melainkan lari meninggalkan kerusi MB. Abu Hassan undur dengan berpesan bahawa kerusi MB Selangor ini adalah satu kerusi yang panas!

Kini nampaknya giliran Khir Toyo pula. Entahlah siapa yang terlibat di belakang tirai namun yang jelasnya kes-kes yang dikemukakan terhadap beliau terlalu berat untuk beliau terus dapat bertahan sebagai MB. Diisytiharkannya Selangor Negeri Maju 2005 tetapi MB dan EXCO nya tidak dapat mengawal aktiviti pembangunan dalam negeri sendiri malah pura-pura tidak tahu menahu dan menyalahkan pula kakitangan kerajaan.

Silap gaya silap langkah senasiblah Wak Khir dengan Mat Taib dan Abu Hassan. Puak-puak dalam Umno Selangor pasti melonjak gembira mahu menawarkan diri untuk mengantikan Khir. Noh Omar apa kurang layaknya?! Kasihan Wak Khir.

No comments: