Sunday, February 13, 2005

UTUSAN MEMPERSENDAKAN LANGKAH MPKB
MENGHADKAN BUNYI PEMBESAR SUARA

Majlis Perbandaran Kota Bharu MPKB minggu lalu mengumumkan bahawa pemilik kedai, pasar raya dan peniaga pasar malam dilarang menggunakan pembesar suara dengan kadar bunyinya melampaui 72 decibel ataupun melampaui empat kaki dari sumber bunyi.

Menurut Yang Dipertua MPKB, Abdul Aziz Abdul Rahman larangan ini dikuatkuasakan ekoran rungutan yang diterima dari orang ramai. Tindakan mengawal pencemaran bunyi ini meletakkan MPKB sebagai PBT yang pertama di Malaysia memperkenalkan larangan seumpama ini setelah menerima nasihat dari pihak RTM.

Sesungguhnya gangguan seumpama ini memang berlaku dimana-mana termasuklah di Bandaraya Kuala Lumpur. Kalau kita umpamanya berpeluang mengunjungi kawasan Chow Kit khususnya di bazaar berhampiran Pasar Chow Kit kita akan dapati betapa gangguan seumpama ini benar-benar dapat dirasakan.

Akan tetapi langkah MPKB yang bertindak proaktif ini dipandang serong malah dipersendakan pula oleh pihak MINGGUAN MALAYSIA. Dalam ruangan Cubit Manja hari ini di bawah tajuk RADIO TAK BOLEH KUAT DI KB penulis ruangan menulis:

Siti tahu memang payah nak bagi orang ketawa. Lebih-lebih lagi ketawa sampai berguling-guling kerana kelakar sangat. Tapi kalau ambil idea MPKB tentu orang akan ketawa. Kala tak percaya cubalah. Mesti gelak punya.

Penulis berkenaan bukan hanya telah mempersendakan langkah MPKB malah dengan jahat telah memutarbelitkan pula fakta dan memberikan gambaran seolah-olah larangan ini kena ke atas setiap individu di Kota Bharu. Beliau menulis:

Nak jerkah orang pun kena perlahan juga. Bisik-bisik gitu. Kalau cakap kuat kena denda RM500. Kalau gelak kuat pun sama juga. MPKB larang orang cakap kuat.

Nak pasang radio macam Manis FM pun kena hati-hati. Nanti tak fasal-fasal kena sama dek MPKB.

Jelaslah laporan beliau adalah bohong dan mempunyai niat jahat untuk memburuk-burukkan MPKB. Sejak bila pula larangan ini terkena ke atas individu yang berbual ataupun bercakap? Kalau pasang radio di rumah atau dalam kereta, memang tak ada kena mengena dengan larangan ini, bukankah sasarannya sebagaimana yang dijelaskan oleh pihak MPKB adalah terhadap PEMILIK KEDAI, PASARAYA dan PENIAGA PASAR MALAM.

Longgar sungguh etika kewartawanan mereka di UTUSAN sehingga sanggup membohong dan memfitnah demi untuk melariskan akhbar mereka!

Saya mengucapkan syabas kepada MPKB kerana prihatin dengan rungutan rakyat dan bertindak dengan memperkenalkan peraturan yang munasabah. Rupa-rupanya niat baik MPKB ini walaupun dibodohkan oleh UTUSAN telah mendapat pujian dari mereka yang di luar Kelantan. Seorang warga Pulau Pinang K RAMAMURTHY telah menulis kepada akhbra THE STAR:

The Kota Bharu council is RIGHT in banning business premise from playing music or making public announcements through loudspeakers.

It has become a trend almost everywhere to promote sales by playing unwanted and unnecessary high volume of music and making loud announcements.

I hope the Penang Municipal Council would follow the example of the Kota Bharu council in apprehending these noise polluters.

Langkah pihak Majlis di Kota Bharu adalah TEPAT iaitu dalam melarang premis perniagaan dari memainkan muzik ataupun membuat pengumuman (yang terlalu kuat) melalui pembesar suara masing-masing.

Kini sudah menjadi trend di merata tempat dimana dalam usaha mempromosikan jualan masing-masing pengusaha memainkan muzik yang tidak dikehendaki dengan terlalu kuat serta membuat pengumuman dan seumpamanya.

Saya berharap agar pihak Majlis di Pulau Pinang akan mencontohi MPKB dalam menangani isu pencemaran bunyi ini.

Hairan orang bukan Islam pun boleh faham dan menyokong , tapi orang di UTUSAN nampak benda yang baik ini macam bahan senda gurau!

No comments: