Wednesday, February 09, 2005

PAK LAH AKUI RAKYAT MASIH TAK FAHAM
KONSEP ISLAM HADHARI

Semalam di Putrajaya Perdana Menteri telah memberikan taklimat berkenaan konsep Islam Hadhari kepada para pegawai dan kakitangan yang bertanggungjawab hal ehwal agama termasuklah dari JAKIM, YADIM dan JASA. UTUSAN MALAYSIA melaporkan:

Perdana Menteri mengakui kurangnya penerangan dan penjelasan yang diberikan oleh agensi terbabit berhubung konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan kerajaan menyebabkan timbul salah faham dan kekeliruan mengenainya termasuk dikalangan umat Islam sendiri.

Sesungguhnya rakyat memang keliru dan tidak faham konsep ciptaan Pak Lah ini. Apakah kita mahu berpegang teguh kepada agama dan melaksanakan tuntutannya sepenuhnya atau kita sekadar mahu mengambil beberapa aspek agama yang dikira menguntungkan dan boleh diterima masyarakat dan mengemukakan yang berkenaan sahaja? Dari segi perlaksanaan rakyat melihat sejak Pak Lah memperkenalkan konsep ini tidak nampak apa-apa perubahan mendadak kecuali Pak Lah sendiri yang menyentuhnya ke sana kemari.

Yang sering didengar adalah penekanan kepada aspek pembangunan fizikal dan kemajuan jasmani yang dari segi perbandingannya lebih hebat dizaman Mahathir. Di Putrajaya Pak Lah berkata:

Kalau kita hendak menjadikan orang Islam maju dan berjaya saya pasti tidak ada orang yang merasa cemburu dan menentangnya kerana apabila semua maju dan berjaya ia akan membawa kebaikan kepada negara.

Bagaimana Islam berperanan dalam melahirkan kemajuan ini? Bagaimanakah pegangan kita yang teguh kepada Al Quran dan Hadis berkait dengan kemajuan ini? Adakah matlamat akhir kemajuan semata-mata dalam erti kata lain jika ada aspek serta prinsip Islam yang dirasa tidak sesuai maka kita akan berpegang kepada matlamat akhir dan mengenepikan Islam?

Lantaran pelbagai persoalan yang tidak terjawab inilah maka bukan hanya rakyat biasa malah para pegawai agama pun naik pening. Kita lihat apa kata Pirdaus Ismail bekas calon Umno di Permatang Pauh yang kini EXCO Pemuda Umno Malaysia sebagaimana dilaporkan oleh Utusan:

Konsep Islam Hadhari yang berlatarbelakangkan Al Quran dan Hadis merupakan satu kaedah untuk memajukan orang Melayu sebagai umat yang mempunyai ciri-ciri unggul. Maka hayatilah kekuatan agama sebagai sumber untuk kegemilangan orang Melayu.

Rakyat tak nampak significant ISLAM dalam konsep ini kerana realitinya tidak nampak aspek berpegang teguh kepada Al Quran dan Hadis ini diberi keutamaan dan dilaksana. Yang nampaknya seolah-olah kedua-dua sumber perundangan Islam ini sekadar duduk di kerusi penumpang dan dipandu ke sana-sini oleh kerajaan. Bila rasa perlu tolak ke depan bila tidak maka didiamkan di belakang.

Aspek moral dan rohani langsung tidak nampak penekanannya malah dari kenyataan para pimpinan seolah-olah melihatkan aspek ini tidak berapa penting, cuma sekadar masalah peribadi dan bukan agenda negara untuk diutamakan.

Industri arak dan judi contohnya bebas dan tiada kawalan, keruntuhan moral anak-anak muda seolah-olah menjadi penyakit masyarakat yang sudah tidak mampu dirawat lagi dan dalam waktu yang sama atas nama kebebasan dan keterbukaan segala bentuk budaya hedonisma dan seumpamanya terus digalakkan. Pemimpin negara terus berkokok berkenaan konsep Islam Hadhari ini.

Sebagai kesimpulan perbincangan ini saya ingin memetik sebahagian tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ruangan sekapur sirih yang terkandung di dalam buku terbaru karya Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang HADHARAH ISLAMIYAH BUKAN ISLAM HADHARI:



Apabila ada pihak yang menyebut Islam Hadhari secara langsung mereka menanggap di sana ada Islam yang tidak Hadhari. Sedangkan Islam dari awal sampai akhir adalah bersifat Hadhari (bertamaddun). Bahkan sejak manusia mula menerima Islam lagi itulah detik permulaan manusia dianggap berhadhari (bertamaddun) bukannya bermula dari revolusi indsutri seperti yang diwar-warkan oleh Eropah.

PAS telah menegakkan kerajaan di Kelantan dengan Hadharah Islamiyyah dengan mengenepikan hadharah Melayu yang tidak bercorak Islam. Diantara usaha yang telah dilaksanakan di Kelantan ialah mebersihkan akaun kerajaan daripada sistem riba kepada sistem kewangan Islam, menghapuskan nightclub, budaya tari-menari, tempat-tempat judi, pelacuran dan sebagainya.

Selain itu pihak kerajaan juga telah mewajibkan amalan menutup aurat hatta wajah-wajah wanita yang dipamirkan di papan-papan iklan di tepi-tepi jalan pun diwajibkan menggunakan wajah yang menutup aurat, mewajibkan sekurang-kurangnya 3 bilik dalam projek perumahan (untuk diasingkan ibu-bapa, anak perempuan dan anak lelaki) dan lain-lain untuk menjamin kehormatan wanita serta membersihkan zuriat daripada zina, sumbang mahram, rogol dan sebagainya.

Kesemua ini dilaksanakan demi menghayati 3 asas pentadbiran Islam yang disedut daripada Al Quran dan As Sunnah iaitu Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan. Hasilnya sampai ke hari ini tiada pihak yang berjaya menimbulkan persoalan berlakunya rasuah, politikwang, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya dikalangan pimpinan kerajaan negeri.

Sebenarnya Hadharah Islamiyyah mengajar kita agar tetap berpegang teguh kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW sampai ke akhir zaman kerana syariat Islam itulah yang menjadi sumber Hadharah yang melayakkan manusia diterima menjadi penghuni syruga di akhirat kelak.

Saya merasakan penjelasan Tok Guru ini sungguh padat dan meyakinkan. Inilah bentuk penerangan yang Pak Lah selama ini gagal kemukakan. Kerana itu rakyat semacam terhoyong-hayang, gagal dan sesat dalam mendapatkan penjelasan sebenar. Kerana itu juga Islam Hadhari sekadar menjadi ungkapan mainan, laksana rencah yang perlu ada bagi menjamin sokongan rakyat khususnya umat Islam. Hakikatnya ia kosong dan lebih merupakan retorik politik untuk menyedapkan halwa telinga mana-mana pihak yang perlu dan mahu.


PENYOKONG TERBARU ISLAM HADHARI

Lantaran itu juga jika kita perhatikan antara yang terbaru menyokong dan memuji Islam Hadhari tajaan kerajaan Umno BN pimpinan Pak Lah ini adalah Abuyya Ashaari Muhammad yang satu ketika dahulu (Oktober 1994) pernah dicap sebagai sesat akidahnya dan menyesatkan pula umat Islam oleh kerajaan Umno BN yang sama. Pelik tapi benar!


No comments: