CARSLBERG SUBUR DI BUMI ISLAM HADHARI
Menurut sebuah kajian bir Carlsberg yang berasal dari Denmark merupakan salah satu jenama bir yang paling laris di dunia. Salah sebuah negara dimana bir ini dikilang dan dijual secara meluas untuk pasaran Asia Tenggara adalah Malaysia. Malah syarikat ini disenaraikan di Bursa Malaysia dan diniagakan pada harga RM10.60 se unit yang meletakkannya di kategori saham mewah.
Menerusi kilangnya yang terletak di Shah Alam Carlsberg menghasilkan produk birnya yang jualannya untuk tahun 2003 sahaja mencecah RM900 juta. Menurut Pengarah Urusannya sebagaimana dilaporkan di THE STAR hari ini hasil pendapatan dari jualan ini mencecah RM100 juta setahun iaitu satu pencapaian terbaik yang tidak dapat ditandingi oleh para pesaingnya yang lain.
Demikianlah betapa industri yang menghasilkan produk yang diharamkan oleh Islam maju, subur dan berjaya di dalam negara kita yang kononnya mahu kembali kepada Islam. Mungkin ada yang mengatakan bahawa bir ini dibenarkan lantaran ianya diminum cuma oleh rakyat Malaysia yang bukan Islam, sejauh manakah kebenaran kenyataan ini ekoran peristiwa serbuan JAWI di Zouk baru-baru ini?
Industri yang diharamkan oleh Islam ini selain dari produknya turut dinikmati oleh masyarakat Islam, tiada larangan terhadap umat Islam untuk bekerja di syarikat dan kilangnya. Malah sahamnya yang diniagakan di Bursa Malaysia boleh dibeli oleh mana-mana individu atau badan korporat Islam tanpa larangan. Orang Islam juga boleh menjadi pengarah syarikat ini.
Sikap keterbukaan Malaysia turut menyaksikan anak-anak Melayu Islam dibenarkan menjadi pengarah dan pemegang saham disampin pekerja diindustri perjudian satu lagi industri yang jelas haramnya disisi Islam.
Yang membimbangkan kadangkala dalam usahanya meraih publisiti syarikat-syarikat ini termasuklah Carlsberg turut dibenarkan terlibat dalam kerja-kerja amal, membantu masyarakat miskin, anak-anak yatim termasuklah yang beragama Islam! Terus sahaja hasil mungkar ini dijolok ke dalam tembolok anak-anak serta masyarakat Islam yang dalam kesusahan kononnya atas alasan kebajikan dan kerja amal.
Kesimpulannya bagaimana kita mahu bercakap berkenaan agenda Islam dalam maupun luar negara sedangkan kita secara sedar memikul dibelakang bahu kita kerja-kerja kotor yang dilarang dan dilaknat oleh Allah swt. Carlsberg saya yakin akan terus subur dan meraih keuntungan dan kita akan terus bertanggungjawab di hadapan Allah swt oleh kerana tangan yang Allah kurniakan kepada kita telah kita gunakan untuk memungkinkan syarikat ini terus maju dan makmur.
No comments:
Post a Comment