Thursday, February 17, 2005

SENARAI 40 TERKAYA DI MALAYSIA:
APA KHABAR ORANG MELAYU?

Sebelum penubuhan Malaysia pada tahun 1963 negara ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu ataupun Federated Malays States. Sebelum itu ianya dikenali sebagai Tanah Melayu. Bermakna Malaysia yang kita duduki pada hari ini merupakan tanah air asal orang-orang Melayu sehinggalah apabila merdeka orang-orang bukan Melayu berupa pendatang dari negara Cina dan India diterima sebagai warganegara Malaya atas kehendak anak-anak bangsa ketika itu.

Saya tidaklah bermaksud mahu mengapi-apikan semangat perkauman ataupun seumpamanya namun ini adalah fakta sejarah.

Kini hampir 47 tahun negara merdeka, bukan hanya orang Melayu malah mereka yang berbangsa Cina dan India sudah menganggap negara ini sebagai tanah air mereka. Dan hakikat ini diterima oleh semua.

Persoalannya setelah 47 tahun negara merdeka, apakah kedudukan ekonomi orang Melayu yang merupakan penduduk asal bumi Malaysia ini lebih baik dari mereka yang terkemudian atau bagaimana? Sepatutnya sebagai penduduk asal yang telah mengerjakan aktiviti ekonomi, memiliki hartanah dan seumpamanya jauh sebelum kedatangan bangsa-bangsa lain, orang Melayu pastilah lebih maju dan kaya dari mereka yang terkemudian. Tambahan pula teraju negara sejak dari sebelum merdeka dari zaman kesultanan Melayu Melaka lagi sehinggalah hari ini terus dipegang oleh orang Melayu.

Walaupun demikianlah halnya, malangnya orang Melayu sebenarnya semakin terkebelakang dan tercicir di atas bumi tumpah darahnya sendiri. Bagaikan itik di air mati kehausan, orang Melayu yang asalnya Tuan kini semakin kecil dan rendah.

Majalah Malaysian Business hari ini mengeluarkan senarai 40 individu yang terkaya di Malaysia. Senarai Top 5 dibolot oleh bukan Melayu iaitu:


1. Tan Sri Robert Kuok - kekayaan RM16.96 billion

2. Tan Sri Ananda Krishnan - kekayaan RM12.23 billion

3. Tan Quek Leng Chan - kekayaan RM 8.97 billion


Sebagai perbandingan jumlah kekayaan ketiga-tiga mereka ini iaitu RM39.06 billion jauh melebihi anggaran perbelanjaan pembangunan untuk seluruh Malaysia sebagaimana yang terkandung dalam Bajet 2005 iaitu RM28.3 billion!

Senarai seterusnya:

4. Tan Sri Lim Goh Tong - kekayaan RM 6.87 billion
5. Tan Sri Teng Hong Piow - kekayaan RM 6.11 billion

Jika dijumlah kekayaan mereka berlima ini iaitu RM52.04 billion ianya lebih setengah daripada anggaran pendapatan negara bagi tahun 2005 iaitu RM99.03 billion!

Bukannya tak ada langsung orang Melayu yang termasuk dalam senarai Top 40 ini, adalah Tan Sri Syed Mokhtar di nombor 7 dengan kekayaan RM2.69 billion, tetapi tidakkah ini menunjukkan bahawa kekayaan negara hakikatnya dibolot oleh masyarakat bukan Melayu.

Dari industri pemakanan, pertanian, perjudian, pengangkutan, bank, hartanah semuanya di bawah kuasa mereka.

Tetapi bukankah kita diajar bahawa orang Melayu ini adalah Tuan. Konsep ketuanan Melayu selalu dipropogandakan oleh pihak tertentu samada kepada anak-anak Melayu khususnya di IPTA dan IPTS dan juga dalam konvensyen dan persidangan Melayu. Persoalannya kalau kita Tuan tetapi harta dan kekayaan berada ditangan orang lain, masih bolehkah kita berlagak Tuan?

Orang bukan Melayu seharusnya dipuji kerana mampu menjana ekonomi mereka dalam keadaan mereka asalnya sekadar pendatang di tanah bertuah ini. Tetapi apa nak dikatakan terhadap bangsa Melayu? Kita berjuang mati-matian untuk kemerdekaan negara, kita tentang dan lawan mereka yang tidak sealiran dengan kita. Bila Merdeka kita pegang segala pusat kekuasaan, kita yang lulus tanah, kita yang lulus projek, kita yang beri lesen, kita yang beri bantuan tetapi bila hitung kekayaan malangnya yang kaya orang lain!

Bukalah minda bukalah mata seluas-luasnya. Mungkinkah ini berlaku lantaran kita tidak telus, ada unsur salah guna kuasa, ada unsur rasuah, ada unsur penyelewngan sepanjang usia negara. Kerana kita mahu senang maka kita terima yang tidak sepatutnya kita terima, kita ali babakan projek dan hak kita kerana kita mahu cepat kaya, kita pajak tanah ladang dan kebun kita kerana nak meraih laba yang cepat, kita lentur-lenturkan peraturan dan undang-undang kerana mahu mengumpul harta walaupun akibatnya merugikan bangsa.

Kesimpulannya orang Melayu yang melaung Hidup Melayu satu ketika dahulu kini sekadar menjadi pemandu kepada taukeh yang kaya, menjadi jaga kepada rumah dan pejabat nyonya yang lumayan. Sedih tapi itulah realitinya maka tinggalah kita dengan nostalgia Keretapi Tanah Melayu, tanah rizab Melayu (yang semakin pupus) dan institusi Raja -raja Melayu, itupun entah sampai bila.

No comments: