Ikuti ROSLAN SMS
di Harakah (print) Bil. 2068 Edisi Isnin muka F15
Kestabilan kerajaan negeri
Selangor pimpinan Dato Menteri Besar Mohamed Azmin Ali sedikit tercabar berikutan
perkembangan yang berlaku di dalam PAS serta yang membabitkan DAP dan PKR
bersekali. Adakah kerajaan ini akan kekal memerintah Selangor sehingga tamat
penggalnya atau adakah sesuatu yang luar biasa bakal berlaku di Selangor?
Pakatan Rakyat yang DAP anggap telah mati itu, berjaya membentuk
kerajaan Selangor selepas PRU ke 13 lalu apabila bersama meraih 44 daripada 56
kerusi di Dewan Negeri Selangor.
PAS dan DAP masing-masing
memenangi 15 kerusi manakala PKR 14. Umno kekal sebagai pembangkang dua penggal
berturut-turut apabila ketinggalan dengan hanya 12 kerusi.
Berikutan pemecatan Tan Sri
Khalid Ibrahim dari PKR dan perlantikkan Azmin sebagai Menteri Besar yang baru
pada September 2014 komposisi kedudukan kerajaan yang memerintah berubah di
dewan. PAS dan DAP kekal 15 manakala PKR kurang 1 menjadi 13, Umno kekal 12 dan
Bebas 1.
Hari ini isu yang di hadapan
Azmin adalah status atau kedudukan kerajaannya.
Kerajaan Selangor yang baru ini
telah mengambil alih pentadbiran sejak Pilihanraya Umum 2008 dahulu apabila
Umno dan BN buat pertama kalinya gagal pertahankan kedudukan mereka. Walaupun
pada mulanya berbagai tindakan sabotaj dilakukan oleh pelbagai pihak untuk
menggugat kestabilannya, pentadbiran yang baru ini dapat melaluinya dengan
tenang sehingga berjaya memupuk dan membina keyakinan rakyat terhadapnya.
Selangor bangkit dengan
pembangunan dan janji-janji baru buat rakyatnya yang ternyata berbeza
sama-sekali dengan pendekatan politik rasuah, nepotisma dan kronisma di zaman
BN dahulu.
Pentadbiran negeri mendapat
pujian dan sanjungan rakyat kerana berjaya menterjemahkan kehendak dan citarasa
rakyat. Wakil-wakil rakyat, ahli-ahli majlis PBT, ketua-ketua kampung dan ahli-ahli
JKKK kesemuanya dikalangan mereka yang ikhlas dan bersungguh mahu membawa
perubahan kepada negeri termaju di Malaysia ini.
Rata-rata pentadbiran baru Selangor
yang maju dan berkebajikan ini mendapat sokongan rakyat dan disenangi oleh
semua pihak yang berkenaan termasuklah kakitangan kerajaan dan malahan pihak
Istana.
Walaubagaimanapun ekoran konflik
dalam Pakatan Rakyat dewasa ini, kedudukannya hari ini menjadi tanda-tanya.
Jika di Pulau Pinang, penguasaan
DAP dalam kerajaan negeri lebih dominan dari parti-parti lain, oleh itu konflik
yang sama tidak sangat menganggu pentadbirannya, apatah lagi di Kelantan di
mana dimana kerajaan negeri diwakili 32 PAS dan 1 PKR.
Walaubagaimanapun di Selangor ia
berbeda kerana kedudukan dan kekuatan parti-parti dalam kerajaan hampir sama.
Selangor perlukan satu dikri dari
Menteri Besarnya bagi memutuskan kedudukan kerajaannya yang hari ini didukung
oleh parti-parti yang bertelagah sesama sendiri. Tambah-tambah akan muncul pula
parti serpihan PAS yang dianggotai oleh golongan yang kecundang dalam pemilihan
PAS baru-baru ini yang kononnya mahu menggantikan PAS dalam pakatan yang baru.
Azmin memang berada di dalam
delima dan di sinilah kewibawaan kepimpinannya diuji, sejauh manakah beliau
boleh mengemudi bahtera kerajaan ini keluar dari konflik, tanpa menjejaskan
mana-mana pihak bukan sahaja ketiga-tiga parti malahan yang lebih penting
keyakinan istana, kakitangan kerajaan dan rakyat jelata terhadap beliau dan
pentadbirannya.
Kalau ikutkan kemahuan DAP, Azmin
didesak agar menendang keluar sahaja PAS dari kerajaan. Ia memang boleh
dilakukan jika semata-mata mahu memuaskan nafsu politik DAP tanpa mengambil
kira pertimbangan dan kepentingan lain. Ini kerana gabungan kerusi-kerusi milik
DAP dan PKR iaitu 15 dan 13, jumlahnya 28 sudah cukup untuk membentuk kerajaan
tambahan pula dua ADUN PAS iaitu wakil Morib dan Hulu Klang yang digantung
keahliannya oleh PAS atas sebab-sebab disiplin telah mengisytiharkan bersedia
bersekongkol dengan DAP dan parti serpihan PAS yang belum berdaftar itu.
Tetapi adakah wajar Azmin
semata-mata memikirkan nafsu politik DAP, mengatasi dan melangkaui kepentingan
rakyat Selangor keseluruhannya?
Sebagaimana PKR dan DAP, rakyat
Selangor dalam tempuh hampir dua penggal ini telah mula menerima dan mesra
dengan PAS. Bagi mereka sebaiknya Selangor ini jangan sekali-kali kembali ke
tangan Umno dan BN. PKR, DAP dan PAS sudah dapat diterima sebagai gabungan yang
layak dan lebih mampu dari Umno dan BN
Memutuskan hubungan dengan PAS
semata-mata atas tekanan DAP akan mengakibatkan rakyat khasnya di Selangor mula
sangsi pada kerajaan baru ini. Kesangsian ini akan tambah bersarang apabila
serpihan PAS yang ternyata telah mengkhianati perjuangan PAS ditimang dan
dijulang pula sebagai rakan kongsi baru.
Azmin saya yakin dengan
pengalamannya yang luas dan pemahaman politiknya yang tinggi dan mendalam tidak
sekali-kali akan menjerumuskan kerajaan pimpinannya ke dalam satu situasi yang
dicuragai oleh istana dan rakyat jelata.
Saya bukannya bermaksud mahu
membangkitkan isu perkauman akan tetapi hakikatnya jika kerajaan Azmin
menceraikan PAS dan membentuk kerajaan dengan 13 PKR, 15 DAP dan 2 serpihan
PAS, maka buat pertama kali dalam sejarah di Selangor, kerajaan negeri akan didukungi
oleh majoriti wakil-wakil bukan Melayu.
Apabila ini berlaku sudah pasti
ia menjadi bonus terbaik buat Umno untuk mencanagkan betapa lanskap politik
kerajaan ini sudah tidak mewakili majority sebenar penduduk di Selangor.
Tidak ada sebab kerajaan yang
stabil dan disenangi rakyat ini mahu ditukar status quo nya semata-mata atas
kepentingan politik pihak tertentu.
Memang PAS dan DAP seakan telah
berkerat rotan dan berpatah arang, namun pada dasarnya Azmin dan PKR tiada
masalah dengan PAS mahupun DAP.
Jalan yang terbaik adalah
meneruskan status quo yang ada sehingga berakhirnya penggal ini, dan dalam
waktu itu berunding dan memutuskan suatu penyelesaian terbaik buat semua pihak.
Ibarat menarik rambut dalam tepung tiada yang disakiti mahupun dihodohkan.
Sementara itu Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor Dato Iskandar Abd Samad telah pun mengumumkan bahawa kesemua 13
ADUN PAS Selangor bersama-sama beliau kekal menyokong kepimpinan PAS dan yang
lebih penting bersedia meneruskan khidmat di bawah kerajaan negeri pimpian
Azmin.
Saya juga yakin bahawa Azmin
sangat menghargai sumbangan dan pengorbanan orang-orang PAS terhadap kerajaan
negeri dan kepimpinannya selama ini. Mengapa perlu kawan baik dijadikan musuh
dan akibatnya negeri yang terkorban?
Sebagai Timbalan Presiden PKR dan
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor Azmin dipercayai akan menjadi pengimbang
antara PAS dan DAP di Selangor sekurang-kurangnya sehingga berakhirnya penggal
ini. Beliau pastinya mahu mengelakkan konflik yang berlanjutan yang boleh
menjejaskan pentadbirannya apa lagi hubungannya dengan istana.
Hari ini rakyat Selangor memberi
tumpuan pada langkah Azmin seterusnya. Dan kita berdoa semoga Allah swt
mencampakkan hidayah dan petunjuk buat Azmin semoga keputusannya nanti
benar-benar mencerminkan kredibiliti seorang pemimpin ulung dan terbilang
dizaman kita.
No comments:
Post a Comment