"Saya pernah kata bahawa seandainya Umno hilang kuasa,
apa akan terjadi kepada bangsa Melayu dan umat Islam? Dalam banyak-banyak
perkataan dalam Kamus Dewan Bahasa, ada orang kata, orang Melayu akan
tersungkur, orang Melayu akan terkecundang dan ada yang kata orang Melayu akan
tertiarap. Saya pilih perkataan orang Melayu akan terbangsat kalau Umno hilang
kuasa. Terbangsat, ..tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan untung nasib
yang cukup tertekan, hilang segala-galanya, hilang kuasa, hilang maruah dan
hilang masa depan,"
Demikianlah secara “verbatim”sedutan ucapan Presiden Umno
Najib Tun Razak ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Padang
Besar, Kangar dan Arau di Dewan Wawasan 2020
Untuk berlaku adil dan bersangka baik pada beliau, pastinya
beliau telah membuat kajian atau sekurang-kurangnya para pegawainya telah membuat
kajian, bagaimana untuk beliau memberikan satu ucapan yang mampu memberikan
kesan ke atas mereka yang hadir agar bersama dan menyokong kepimpinannya.
Najib mahu memberi ingat dan amaran kepada orang-orang Umno
bahawa jangan sekali-kali bertindak sehingga mengakibatkan mereka hilang kuasa
politik. Kalau Umno hilang kuasa politik tegasnya maka BANGSAT lah orang-orang
Melayu.
Najib berkata demikian sebab orang-orang Umno sendiri kebelakangan
ini kelihatan sudah mula meragui kepimpinannya. Isu dan skandal melibatkan
kepimpinan beliau semakin timbun-menimbun sehingga bukan sahaja orang-orang
Umno, rakyat lebih-lebih lagi, sudah mula rasa mual dan lemas.
Kemarahan dan derita rakyat ini sedar tak sedar turut dirasai
tekanannya oleh orang-orang Umno. Dan kemuncaknya apabila Najib bertindak
memecat Timbalan nya sendiri dari jawatan TPM. Ini dilakukannya semata-mata kerana
Muhyiddin dan kelompoknya sudah mula berani buka mulut, sudah mula khianat
terhadap kepimpinannya.
Dalam Umno budayanya apabila ada pemimpin yang mula goyang
dan lemah, maka yang lain di bawah akan ambil kesempatan dan melancarkan
serangan dari pelbagai arah dengan harapan pemimpin itu tadi akan tergolek
jatuh, lalu atas kejatuhannya itu naiklah pula kellompok lain ke takhta kuasa.
Najib sedar musim persidangan Umno ini akan digunakan oleh
musuh-musuhnya untuk menyerangnya habis-habisan. Ini terbuklit apabila para
perwakilan Umno dalam persidangan-persidangan ini sudah mula berani menyerang
Presiden mereka dengan kata-kata yang barangkali tidak pernah terbayang Najib.
Lalu di Perlis beliau merasakan perlu satu mesej dihantar,
biar terkedu orang-orang Umno semua, biar terbangkit mereka dari sakan ghairah menyerang beliau, sehingga sedar dan insaf
bahawa tindakan mereka itu jika dibiarkan berterusan Umno akan hilang kuasa.
Dan apabila Umno hilang kuasa, maka mereka semua khasnya orang-orang Melayu
akan bangsat dan merana di bumi sendiri.
Samada mesej ini menangkap perhatian orang-orang Umno atau
tidak, tiadalah dapat dipastikan, namun yang pastinya ramai khasnya yang bukan
Umno tersenyum sinis dan malah terhibur dengan ugutan Najib itu.
Bangsatkah orang-orang Melayu jika Umno hilang kuasa?
Jika ugutan ini dibuat 50 atau 60 tahun dahulu mungkin ianya
boleh mempengaruhi sentimen orang-orang Melayu, akan tetapi hari ini sentimen orang-orang
Melayu bukan lagi boleh buta-bita dipengeruhi. Orang-orang Melayu bukan lagi
ayam daging yang boleh ditangkap begitu sahaja, tidak bergelut atau lari lalu
disembelih.
Sebagaimana orang lain, jangankan Melayu di Lembah Kelang,
Melayu di pedalaman Baling, di Hulu Kelantan, di Hulu Tembeling di pedalaman
Rompin, semua rata-rata sudah bijak dan matang. Mereka cerdik dan boleh melihat
disekeliling mereka.
Di Kelantan Umno kalah, PAS yang menang. Bangsa Melayu tidak
bangsat malah terpelihara maruahnya dan semakin kuat semangatnya dibentuk
dengan kesedaran dan pemahaman Islam. 25 tahun sejak 1990 orang-orang Melayu di
Kelantan telah menolak Umno berterus-terusan.
Begitu juga di Selangor sejak 2008. Kalah Umno di Selangor
yang menang wakil-wakil PKR dan PAS dikalangan orang-orang Melayu. Tiada pula
laporan orang Melayu menjadi terhina dan bangsat.
Tidak pernah Umno tewas yang menang wakil berbangsa Cina
atau India dari mana parti sekalipun. Kecundang MB Melayu Kelantan dari Umno
ditahun 1990 dahulu yang naik MB Melayu Kelantan dari PAS iaitu Almarhum Tok
Guru Nik Abd Aziz dan disambung hari ini oleh Ustaz Datuk Ahmad Yakub, juga
Melayu.
Oleh itu ancaman Najib sekadar dilihat sebagai ugutan yang
kosong yang langsung tidak membimbangkan mana-mana pihak pun.
Jatuh Umno di Selangor yang naik MB baru iaitu Tan Sri
Khalid Ibrahim dari PKR dan kini Azmin Ali, kedua-duanya Melayu juga.
Barangkali yang dimaksudkan Najib adalah Umno. Jika Umno
tiada kuasa maka bangsatlah pemimpinnya. Orang-orang Melayu tidak sekali-kali
akan bangsat, malah orang-orang Umno pun sekali-kali tidak akan bangsat
sebagaimana ancaman Najib itu dengan syarat orang-orang Umno berani beralih
pilihan.
Umno sudah demikian angkara pemimpin-pemimpinnya. Maka
langkah sebaiknya buat menjamin nasib dan masa depan yang baik buat bangsa
Melayu adalah bagi orang-orang Umno meninggalkan parti pimpinan Najib itu,
berhijrahlah ke arah yang lebih baik. PAS opsyen terbaik buat orang-orang Umno.
Yakinlah berjuang Islam ini tidak sekali-kali menjadikan bangsa dan keturunan
kita bangsat, samada kita menang mahupun kalah.
Ayuh tinggalkan Najib dan mari kita bersama PAS
memperjuangkan Islam yang pasti akan menyelamat dan memuliakan bangsa dan
keuturunan kita.
No comments:
Post a Comment